`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, October 20, 2023

Harga kawalan benih padi diselaras RM40, RM45

 

Mohamad Sabu berkata, penyelarasan itu tidak mengubah struktur pengeluaran, pembekalan dan pengedaran benih padi sah sedia ada di seluruh negara. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melaksanakan penyelarasan harga kawalan maksimum baharu bagi program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) di Semenanjung berkuatkuasa hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu mengumumkan ia membabitkan penyelarasan harga maksimum di pintu gudang syarikat pengeluar benih padi sah (BPS) daripada RM31 kepada RM40 per kampit 20kg.

“Ia juga melibatkan penyelarasan harga maksimum di peringkat peruncit daripada RM35 kepada RM45 per kampit 20kg.

“Penyelarasan ini tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata, perkara itu juga tidak mengubah struktur pengeluaran, pembekalan dan pengedaran BPS sedia ada, membabitkan 12 syarikat pengeluar BPS, 13 syarikat pemborong dan 456 peruncit di seluruh negara.

“Penyelarasan ini akan menggalakkan penggunaan BPS bermutu tinggi dan rintang penyakit dalam kalangan pesawah, di samping mengelakkan penggunaan benih padi tidak sah atau benih ‘kampit putih’ di pasaran.”

Mohamad berkata, KPKM cakna dengan rungutan pesawah berhubung kesukaran mendapatkan BPS di pasaran, selain peningkatan harga BPS per kampit 20kg sehingga mencecah RM50.

Justeru katanya, kerajaan memutuskan meningkatkan harga lantai belian padi daripada RM1,200 per tan metrik kepada RM1,300 per tan metrik, selaras Belanjawan 2024 dibentangkan 13 Okt lalu, di mana peningkatan itu dijangka memberi impak kepada harga padi, khasnya padi benih, iaitu padi ditanam untuk dijadikan benih.

Beliau berkata, KPKM menjangkakan kenaikan harga padi benih akan menyebabkan kos pengeluaran benih padi, termasuk bagi program IBPS turut meningkat dan tidak dapat dijual pada harga kawalan maksimum RM35 per kampit 20kg.

Semalam, pesawah di Kedah dilaporkan merungut sukar mendapat BPS pada harga berpatutan bagi memulakan proses menanam padi pada hujung bulan ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.