`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, October 25, 2023

Kembalikan UPSR untuk nilai pelajar ke Tingkatan 1, kata wakil pembangkang

 

Peperiksaan UPSR boleh menjadi satu ukuran standard lebih sistematik untuk murid. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat pembangkang menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dimansuhkan dua tahun lalu.

Hassan Saad.

Hassan Saad (PN-Baling) berkata langkah itu bagi membolehkan kemampuan pelajar dapat dinilai sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah.

“Wujudkan semula peperiksaan UPSR sebagai satu ukuran standard yang lebih sistematik dan bersepadu supaya dapat mengukur kemampuan seseorang pelajar untuk memasuki sekolah menengah dan sebagainya,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

Pada 2021 kerajaan memutuskan UPSR dimansuhkan sepenuhnya, manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan.

Sebelum ini, seorang ahli akademik berpandangan UPSR wajar dikembalikan semula kerana kaedah penilaian menggantikannya kurang berkesan menilai penguasaan 3M (membaca, mengira dan menulis).

Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) menggantikan UPSR sejak dua tahun lalu sangat bergantung kepada guru dalam pemberian markah dan boleh menyebabkan penilaian tidak telus.

Dalam perkembangan lain, Hassan turut meminta KPM menilai semula jumlah pelajar bagi sekolah di kawasan luar bandar supaya tidak melebihi 25 murid satu kelas bagi membolehkan guru memberi lebih perhatian.

“Sekarang jumlah murid di kelas sekolah daerah luar bandar, seperti Baling antara 35 hingga 45 orang. Kita minta KPM kurangkan jumlah antara 20 hingga 25 orang murid kerana jumlah pelajar yang ramai sukar bagi guru memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan anak,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.