`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, October 22, 2023

PAS patut dibaca terbalik

 

Andai dipersetujui sesetengah kenyataan dalam politik harus dibaca terbalik, maka dapatlah difahami mengapa Presiden PAS Hadi Awang menyanggah satu kenyataan berkisar kepada tujuh kebaikan jika parti Islam itu menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Kita tak tahu bagaimana khalayak mentafsir satu kenyataan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki kelmarin. Kalau hendak dibaca positif, maka positiflah jadinya tapi jika ia dilihat secara berkias pula, mungkin maksudnya jauh lebih mendalam daripada apa yang tersurat.

Satu hantaran bekas ketua Pemuda Umno itu menerusi Facebook menyatakan penyertaan PAS dalam kerajaan perpaduan akan membuat Umno kembali “dibersihkan” daripada pelbagai label termasuk “sesat, “kafir”, “ahli neraka” dan “munafik” antaranya.

Juga, katanya, akan tiada lagi fatwa atau ceramah daripada pimpinan dan pendukung PAS yang “mengkafirkan” atau menyesatkan mana-mana pihak, terutama terhadap parti yang berbeza ideologi dengan mereka, khususnya Umno.

Dengan PAS menjadi sebahagian kerajaan perpaduan, Asyraf mengandaikan akan lenyaplah isu “Islam terancam” dan “Melayu terancam” sebagaimana sering disebarkan PAS dalam pelbagai platform media selain di pentas ceramah.

Kebaikan seterusnya ialah DAP – rakan kedua terbesar dalam kerajaan perpaduan dengan menang 42 daripada 47 kerusi ditandinginya pada PRU15 — sekali lagi akan disucikan dengan fatwa baharu sebagaimana ketika parti itu dan PAS bersama dalam gabungan menghadapi PRU 1999, 2004 dan 2008.

Lantaran itu, tambah Asyraf, akan tiada lagi istilah Malaysia menuju negara sekular kerana bersekongkol dengan DAP yang dilabelkan PAS sebagai “kafir” dan sekular. Seiring dengan itu, akan tiada lagi parti dalam kerajaan perpaduan terutama yang mempunyai orang Melayu Islam seperti Umno, Amanah dan PKR yang akan dilabel “barua” dan “penjilat” DAP atau label-label “kafir” dan “toghut”. Menyimpulkan semua kebaikan itu, Anwar Ibrahim akan kembali dijulang PAS sebagai pemimpin Islam yang suci dan bersih sebagaimana ketika PRU10, PRU11 dan PRU12 dahulu.

Tapi nanti dulu. Kita harus tertanya-tanya juga mengapa Asyraf menimbulkan kenyataan itu? Presiden Umno Zahid Hamidi baru-baru ini menyatakan Barisan Nasional (BN) sudah “fed-up” dengan sikap PAS yang tidak setia kepada BN apabila begitu mudah “jatuh cinta” lalu “berkahwin” dengan parti lain. Itu dinyatakannya sebagai reaksi kepada satu temu bual Anwar yang memberi jaminan tidak akan menghalang kerjasama dengan PAS jika ia wujud pada masa akan datang.

Kita percaya bukanlah niat Asyraf — dilantik Zahid sebagai setiausaha agung Umno menggantikan Ahmad Maslan 22 Mac lalu – mengambil pendirian berlawanan dengan presidennya. Sebaliknya, mengambil kira hantaran Facebooknya itu dibuat ketika PAS sedang bermuktamar di Shah Alam, mungkin juga ia dibuat sebagai sindiran tajam.

Jika dilihat semula kepada tujuh kebaikan dihuraikannya, ia berkisar kepada tujuh keburukan PAS jika semuanya itu dibaca terbalik – parti itulah yang memberikan Umno pelbagai label tidak baik, PAS sering “mengkafirkan” lawannya, parti itu juga yang mendakwa Islam dan Melayu terancam, memburuk-burukkan DAP, melabelkan Umno, Amanah dan PKR sebagai mengikut telunjuk DAP di samping Anwar didakwanya pemimpin “cakap tak serupa “bikin”.

Jika benar itulah yang tersirat daripada kenyataan Asyraf itu, maka hebat sekali persilatan kata-katanya sehingga ia bukan saja jauh daripada dialu-alukan, sebaliknya mengundang reaksi keras pihak-pihak yang terasa.

Apa reaksi Hadi? PAS, katanya, tidak mampu nak bersihkan kerajaan yang sudah sedia “tercemar”. “Pakatan Harapan (PH) siapa ada di dalamnya? Ada bekas banduan, kluster mahkamah pun ada, macam mana kami (PAS) nak ikut. Kalau nak bersihkan najis, tak boleh masuk dalam tong najis, kita duduk di luar,” kata Hadi pada sidang media selepas majlis perasmian Muktamar PAS kelmarin yang turut dihadiri Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.

Makna kata kerajaan perpaduan yang didakwanya tercemar itu diumpamakan dengan “tong najis” sambil PAS dalam konteks ini pula “suci lagi menyucikan” di sebalik kemenangan calon parti itu di Kuala Terengganu dan Kemaman dalam PRU15 dibatalkan mahkamah selepas mendapati pempetisyen berjaya membuktikan elemen rasuah yang bertujuan mempengaruhi pengundi. Itu pun mujur kerusi Marang yang dimenangi Hadi terselamat kerana pihak pempetisyen gagal membuktikan keraguan munasabah.

Perhatikan pula satu kenyataan Takiyuddin pada sidang media sempena muktamar kelmarin bahawa PAS tidak boleh menerima golongan bukan Islam yang ekstrem, termasuk parti politik yang mengambil pendekatan begitu. Ini susulan kenyataan Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang membidas Hadi tidak konsisten dalam tindakannya apabila mengarahkan ahli PAS menarik undi bukan Islam.

Hadi, katanya, “hari ini cakap lain, esok cakap lain” kerana pernah mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.”Nampaknya Hadi sedang menagih undi kumpulan yang sebelum ini pernah beliau label sebagai perosak negara. Sejak dari dulu beliau terkenal dengan sikap tidak konsisten dalam berkempen,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Persoalannya golongan bukan Islam yang ekstrem atau PAS yang ekstrem sehingga ditolak oleh pengundi bukan Islam? Saya petik kata-kata seorang penganalisis, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara yang menyebut PAS seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal meraih sokongan masyarakat bukan Islam kerana mengamalkan retorik keterlaluan berkaitan agama dan bangsa.

“Memang betul PAS paling hebat dari segi jumlah kerusi Parlimen tapi masih tidak boleh bersama-sama Bersatu tubuh kerajaan persekutuan. Pengundi bukan Melayu tidak akan menyokong PN atau PAS selagi retorik mereka begitu kuat sekali,” katanya merujuk kepada kecenderungan kedua-duanya memainkan isu 3R.

Berkongsi pandangan itu, penganalisis daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali pula mencadangkan PAS kembali kepada slogan kesederhanaan “PAS For All” sinonim dengan bekas mursyidul am Nik Aziz Nik Mat yang turut disenangi pengundi bukan Islam.

“Mereka lihat gerakan sederhana dengan slogan ‘PAS For All’ dan parti itu sering bercakap berkenaan konsep negara berkebajikan. Ini semua ketika PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) pimpinan Anwar Ibrahim. Sekarang nampak seperti fokus PAS hanya kepada pengundi Melayu,” katanya.

Atau mungkinkah ini kesan negatif daripada tiadanya pertandingan bagi lima jawatan tertinggi – presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden – pada muktamar kali ini yang membawa maksud PAS akan kekal dengan pendirian dan pendekatan lamanya dengan ahli parti itu akan terus terbuai dengan kejayaan memenangi 43 kerusi dalam PRU15 untuk menjadi parti tunggal terbesar di Dewan Rakyat?

Mungkin tidak silap untuk PAS dibaca terbalik, baik kebaikan yang dikatakan Asyraf terhadap parti itu jika menyertai kerajaan perpaduan, hujah-hujah keras kepemimpinannya mahupun maksud singkatan daripada nama parti itu sendiri. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.