`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, October 25, 2023

Skuad hoki Piala Dunia ‘75 gamit kekaguman

 

Apabila pemilihan akhir skuad hoki Piala Dunia 1975 diputuskan, ketua pasukan N Sri Shanmuganathan atau lebih mesra disapa Sri Shan diminta seorang wartawan meramalkan bagaimana Malaysia akan berkesudahan. “Saya beritahunya kami akan berada dalam kelompok empat teratas,” katanya kepada wartawan The Star R Nadeswaran ketika itu.

Seperti yang masih diingati sesetengah peminat, skuad negara tewas 2-3 kepada India dalam perlawanan separuh akhir yang dramatik bersaksikan 50,000 penonton di Stadium Merdeka pada 14 Mac 1975 – menafikan Malaysia tempat dalam perlawanan akhir kejohanan hoki terbesar yang kali pertama dianjurkannya.

Ketika masih bersekolah sesi petang di tingkatan dua, saya masih ingat seluruh kelas kami 2E7 dibenarkan menonton siaran langsung perlawanan itu di televisyen di dewan makan asrama kami di Sekolah Anderson, Ipoh. Kebetulan sekolah ini terkenal melahirkan penjaga gol hoki kebangsaan Ahmad Fadzil Zainal Abidin (1978 hingga 1993) dan Mohd Sayuti Abdul Samat (1977 hingga 1986).

Ramai yang meninggalkan apa saja yang sedang dilakukan mereka ketika itu untuk tidak terlepas menontonnya. Malah, ia terpahat sebagai satu perlawanan bersejarah – yang kesudahannya melukakan hati peminat sukan tanah air.

Malaysia lebih dahulu membuka jaringan menerusi Poon Fook Loke (m-33) tapi India mengimbangi kedudukan hasil gol Shivaji Pawar (m-40), hanya untuk menyaksikan tuan rumah kembali 2-1 di depan melalui Sri Shan (m-42). Namun, sekali lagi India mengikat kedudukan daripada jaringan Aslam Sher Khan (m-66). Kesudahannya terserah kepada Harcharan Singh (m-79) meleraikan ikatan dengan gol dalam masa tambahan untuk pelawat unggul 3-2.

Seterusnya, dalam perebutan tempat ketiga dan keempat keesokannya pada 15 Mac 1975, Malaysia yang seakan-akan sudah kehabisan tenaga mudah ditundukkan Jerman Barat 4-0 hasil gol Ralf Lauruschkat (m-4), Wolfgang Strodter (m-15) dan Peter Trump (m-45, 60) tapi skuad negara masih dapat berbangga dengan pencapaian terbaiknya yang belum dapat ditandingi hingga ke hari ini.

India, dengan Ajit Pal Singh memakai lilitan lengan selaku kapten, tampil juara dengan menundukkan Pakistan yang diketuai Islahuddin Siddiquee 2-1 dalam final. Gol-gol India dijaringkan oleh Sardar Surjit Singh Randhawa (m-44) dan Ashok Kumar (m-51) manakala lawan mendahului menerusi Muhammad Zahid Sheikh (m-17). Perlawanan itu turut menampilkan G Vijayanathan dari Malaysia sebagai salah seorang pengadil.

Terdahulu, Malaysia seri 0-0 dalam dua aksi permulaannya menentang New Zealand dan Sepanyol sebelum menang 3-1 (gol-gol A Francis, Sri Shan dan M Mahendran) ke atas Poland tapi tewas 1-2 kepada Pakistan (gol Fook Loke) dan seterusnya mengalahkan Belanda 2-1 (gol-gol Fook Loke dan Sri Shan) untuk menduduki tangga kedua Kumpulan A dengan enam mata, dua di belakang Pakistan.

“Saya akan sentiasa terhutang budi kepada ketua pemilihan pasukan, (Almarhum) Tan Sri Azlan Shah kerana jika tidak kerananya, saya harus tidak mewakili negara dalam hoki, sebaliknya mungkin bersama pasukan kriket kebangsaan,” tulis Sri Shan dalam buku ‘Sports Flame: Stories Never Told Before”.

“Apabila Tan Sri Azlan Shah bertanyakan apa yang akan buat saya terima tanggungjawab kapten, saya tanpa ragu-ragu mahu jurulatih Sidek Othman digantikan dengan Ho Koh Chye. Kemudian saya minta (dibawa masuk) Franco De Cruz dari Australia, A Francis dari Jerman dan Poon Fook Loke dari London. Selain mereka saya maklumkan bahawa Balasingam, Phang Poh Meng dan Harnahal Singh juga akan jadi aset buat pasukan. (Balasingam, Poh Meng dan Harnahal sebenarnya sudah bersara selepas Sukan Olimpik 1972 di Munich).

“Tan Sri Azlan Shah bersetuju terhadap pemain berkenaan (kecuali Harnahal yang menolak undangan) dan itulah ceritanya bagaimana kami memiliki sebuah pasukan Malaysia yang kuat dalam Piala Dunia 1975 di Kuala Lumpur,” tambahnya. Pemain selebihnya yang melengkapkan pasukan ialah R Pathmarajah, M Mahendran, Wong Choon Hin, N Palanisamy, Franco D’Cruz, Khairuddin Zainal, Len Oliveiro, R Ramakrishnan, Brian Sta Maria dan Azraai Zain.

“Saya masih sukar untuk melupakan kekecewaan daripada pengalaman 1975 itu. Kami sudah terlalu hampir (untuk ke final),” kata Fook Loke mengingati kekalahan kepada India itu dalam satu temu bual dengan The Star yang tersiar pada 20 Apr 2007. Lima minit terakhir dalam perlawanan itu mengubah segala-galanya apabila Aslam Sher Khan masuk sebagai pemain gantian India.

Ketika itu Malaysia sedang mendahului 2-1 apabila Aslam menghadirkan sentuhan pemusnah melalui pukulan sudut penalti yang meluruhkan hati 50,000 penyokong di Stadium Merdeka dan berjuta-juta lagi yang terpaku pada skrin televisyen masing-masing.

Menyorot keakraban dan semangat setiakawan dalam pasukan itu, Fook Loke yang dikagumi kelincahan dan skil gelecekannya oleh pasukan-pasukan lawan, menyimpulkan rahsia kejayaan pasukan 1975 itu ialah setiap pemain adalah pakar di posisi masing-masing dan seluruh pasukan saling membantu dengan semangat kerjasama dan komitmen tinggi.

“Kami menikmati momen-momen terbaik di dalam dan di luar padang dan masih bercakap mengenainya setiap kali bertemu untuk secawan teh. Pemain-pemain seperti Sri Shan, Mahendran, Francis dan Pathmarajah, kami dah seperti adik-beradik. Dalam perlawanan itu, malah sepanjang kejohanan, kami bermain seperti orang dirasuk dan kehadiran penyokong yang ramai meningkatkan keyakinan kami,” tambahnya dala temu bual itu.

Sebilangan anggota skuad berkenaan akan menjadi tetamu dalam satu majlis Sports Flame di Hotel Concorde Kuala Lumpur pada 9 Dis ini — satu sambutan meraikan pemain-pemain hebat Malaysia dari tahun 60-an, 70-an dan awal 80-an. Acara itu, yang disokong oleh FMT, dianjurkan oleh empat wartawan sukan dari era itu – George Das, R Velu, Lazarus Rokk dan Fauzi Omar – yang telah menulis mengenai ikon sukan negara dalam pelbagai akhbar dan dalam mysportsflame.com.

Sri Shan, barangkali lebih daripada rakan-rakan sepasukannya, turut berterima kasih dengan perubahan nasibnya untuk terus mengetuai skuad 1975 itu. Selepas penampilan mengecewakan dalam Piala Dunia 1973 di Amsterdam apabila Malaysia berkesudahan di tempat ke-11, dia sebenarnya sudah menyerahkan balik lilitan lengan selaku kapten. Tapi Raja Azlan Shah yang ketika itu timbalan presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHF) tetap mahukannya menggalas tanggungjawab itu dalam Piala Dunia 1975 di Kuala Lumpur.

“Selebihnya adalah sejarah,” kata Sri Shan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.