`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, March 28, 2024

Israel dengan jari tengahnya

 

Israel tidak hirau, tidak peduli, tidak patuh resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata di Gaza serta-merta. Kata menteri luar Israel yang namanya sama dengan nama negaranya – Israel Katz negaranya tidak akan turuti resolusi Majlis Keselamatan itu.

“Negara Israel tidak akan lakukan gencatan senjata. Kami akan musnahkan Hamas dan akan terus lawan sehingga tebusan terakhir pulang ke tanah air,” Katz berkata dipetik CNN. Sememangnya memerangi Hamas digunakan sebagai alasan melakukan genosid ke atas rakyat Palestin. Hamas dan tebusan seolah-olah menghalalkan kekejaman.

Erti kenyataan Katz ialah keganasan dan kekejaman Israel di Gaza akan diteruskan tanpa rasa bersalah. Bagi Israel resolusi Majlis Keselamatan PBB tempoh hari tidak “mengikat” atau “non binding”.

Resolusi itu diluluskan Isnin 25 Mac apabila 14 daripada 15 anggota majlis mengundi menyokong. Amerika Syarikat berkecuali atau “abstain”. Langkah itu memeranjatkan dan menimbulkan kemarahan Israel.

Amerika berkecuali bermakna ia tidak membantah walaupun tidak menyokong resolusi. Lantas AS dilihat “mengizinkan” resolusi itu diluluskan. Kali ini AS tidak menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang resolusi diluluskan. Tidak seperti lazim. Ini sememangnya di luar dugaan Israel yang yakin sekutunya akan menggunakan kuasa veto seperti biasa.

Bagaimanapun, selepas resolusi itu diluluskan pegawai AS “bersusah-payah” atau menurut CNN “went to great lengths to say the resolution isn’t binding”. Senada dengan Israel resolusi itu tidak mengikat. Ertinya tidak ada kuasa menuntut, mendesak apa lagi memaksa Israel mematuhinya.

Sebelum ini sering diuar-uarkan menerusi laporan agensi berita antarabangsa apa-apa resolusi Majlis Keselamatan adalah “binding’ kerana ia disifatkan suatu perundangan antarabangsa berbeza dengan resolusi perhimpunan PBB atau “UN general assembly” yang merupakan moral “obligation” terhadap sesuatu isu yang tidak mengikat.

Oleh itu, bagaimana pula resolusi Majlis Keselamatan PBB kali ini dianggap Israel dan AS sebagai tidak mengikat? Benar kedua-duanya mempertikai perkataan digunakan dalam draf resolusi itu dan dalam merangka dokumen PBB “words are everything”. Tidak perlulah saya huraikan setiap perkataan resolusi itu. Cuma ingin menyatakan tindakan menolak bulat-bulat tuntutan resolusi diluluskan 14 anggota majlis adalah sesuatu yang angkuh dan bongkak serta tidak menghormati suara majorti. Malah suara masyarakat antarabangsa.

Perlu dinyatakan juga setelah menyifatkan resolusi itu tidak “binding” AS akur pula bahawa “perincian teknikal terserah kepada peguam antarabangsa menentukan”. Tidak ada penjelasan lanjut diberi. Bagi saya AS mahu jaga hati kawan baiknya Israel dan pada masa sama tidak pula mahu dilihat sebagai bertentangan dengan suara antarabangsa.

Menurut Hamas, “Israel is ‘losing’ political cover and protection even in the Security Council and the US is unable to impose its will on the international community”. Ini saya petik laporan Al Jazeera semalam.

Kata Antonio Guterres setiausaha agung PBB resolusi mengenai Gaza adalah sesuatu yang sudah lama ditunggu. Sedikit latar belakang. Resolusi diusul oleh 10 anggota bukan tetap Majlis Keselamatan dan menuntut atau “demand” gencatan senjata “serta-merta dalam bulan Ramadan ini, membebaskan semua tebusan tanpa syarat dan meluaskan pengaliran bantuan masuk ke Gaza dengan cepat”.

Kata Guterres kegagalan melaksanakan resolusi itu adalah sesuatu yang “tidak boleh dimaafkan”. Sesungguhnya betul kata beliau. Namun persoalannya apa yang PBB akan atau boleh lakukan ke atas Israel khususnya, yang dengan lantang menolak resolusi berkenaan dan berkeras tidak akan patuh tuntutan gencatan senjata.

Jika resolusi itu benar-benar mengikat adakah PBB terutama Majlis Keselamatan boleh memaksa Israel mematuhi tuntutannya? Jika ia bagaimana? Mungkinkah PBB menerusi “general assembly” memutuskan tekanan ekonomi dikenakan ke atas Israel? Seperti “sanction” dikenakan ke atas Iran? Dan memutuskan untuk menubuhkan pasukan tentera pengaman disertai negara anggota PBB? Untuk dihantar ke Gaza bagi memastikan gencatan senjata terjadi dan tuntutan lain yang terkandung dalam resolusi dipatuhi. Bolehkah itu dilaksanakan PBB? Atau mungkin ada cara lain? Jika ada apa?

Yang wajib ialah sesuatu mesti dilakukan segera supaya resolusi Majlis Keselamatan Isnin lalu dihormati dan lebih penting dituruti. Jika tidak Israel akan lakukan apa yang mereka lakukan sejak 7 Okt lalu (meskipun mengikut sejarah kekejaman Israel sudah berlaku sejak Nakba 1948 lagi).

Semasa artikel ini ditulis, tentera Israel terus menyerang, membedil kawasan penginapan, penempatan pelarian, hospital, membunuh dan mencederakan ribuan rakyat Palestin sama ada lelaki, wanita, tua, muda dan kanak-kanak. Dan kita tahu ribuan kanak-kanak kini kebuluran akibat kemasukan bantuan makanan terhalang.

PBB mesti membuktikan ia bukan harimau tidak bertaring. Arahannya mesti dipatuhi walaupun sedar AS ada kuasa veto yang akan digunakan untuk menolong Israel. Sehingga kini “Israel is making a mockery of the Security Council resolution”.

Saya akhiri penulisan kali ini dengan menghurai sedikt tajuk artikel ini. Yang ingin saya katakan ialah Israel sedang tunjuk jari tengahnya kepada dunia. Takkan tidak ada apa yang dunia boleh lakukan? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.