`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, April 17, 2024

Apa selepas raya, Bersatu?

 

Free Malaysia Today

“Biar mereka beraya dulu, selepas itu kita akan ambil langkah-langkah sewajarnya,” kata Muhyiddin Yassin dalam video di Facebook pada 5 April terhadap enam Ahli Parlimen Bersatu menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang disasarkan untuk dikosongkan kerusi Parlimen mereka. Kiranya presiden Bersatu yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu bertimbang rasa jugalah untuk tidak merosakkan kemeriahan sambutan raya mereka.

Sambutan raya sudah masuk seminggu – yang beraya di kawasan Parlimen masing-masing juga sudah kembali ke ibu kota – namun kita faham Muhyiddin mungkin enggan tergesa-gesa melaksanakan tindakan. Lagipun, raya disambut sebulan dan Ahli Parlimen lazimnya sarat dengan jadual dan undangan majlis rumah terbuka anjuran pelbagai pihak dan pertubuhan. Mungkin sesudah semuanya reda barulah enam Ahli Parlimen terbabit serta seorang Adun di Selangor yang memihak kepada kerajaan harus membimbangi nasib mereka.

Sambil menepis dakwaan mengatakan pindaan pada perkara 10 perlembagaan parti itu tidak akan beri kesan kepada wakil rakyat terbabit, Muhyiddin kata mereka mungkin nak sedapkan hati sendiri sedangkan partinya mahu pastikan segala bentuk tindakan akan diambil dibuat mengikut peraturan. Kita akan bincangkan apa maksudnya itu kemudian.

“Mungkin mereka tak faham atau sengaja nak cari alasan untuk menyatakan sesuatu nak sedapkan diri sendiri,” katanya sambil menambah Bersatu mempunyai pasukan peguam yang meneliti penguatkuasaan pindaan itu nanti.

Perhimpunan agung khas Bersatu pada 2 Mac meluluskan pindaan pada perkara 10 perlembagaan parti, yang melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada pihak lain, bertentangan dengan arahan atau pendirian parti. Cuma, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Mohd Zulfikar Ahmad dalam suratnya kepada parti itu secara khusus memperincikan bahawa pindaan itu berkuatkuasa pada 1 April.

Mengikut pencerahan Muhyiddin sebelum ini, setiausaha agung parti akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimen itu dan seorang Adun di Selangor (Abdul Rashid Asari – Selat Klang) untuk memberi peluang kepada mereka menetapkan pendirian semula sebelum tindakan pengguguran keahlian dilakukan. Mereka diberi tempoh untuk menyatakan pendirian, jika tetap menyokong Anwar, keahlian akan gugur secara automatik.

Kita boleh fahami langkah itu bertujuan mengabsahkan pendirian enam Ahli Parlimen berkenaan – Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) serta Abdul Rashid sebagai masih menyokong kerajaan selepas pindaan perlembagaan parti diluluskan pada 1 April. Ini di sebalik mereka asalnya menyuarakan sokongan terbuka kepada perdana menteri dalam tempoh antara 12 Okt 2023 dan 24 Jan lalu – lama sebelum pindaan itu berkuat kuasa.

Menjelaskan langkah agar enam Ahli Parlimen dan seorang Adun itu diberi peluang untuk menetapkan pendirian semula – masih sokong Anwar atau buat pusingan U dengan kembali menyokong kepimpinan Bersatu – ketua penerangan parti Razali Idris menekankan bahawa parti itu mengamalkan sikap bertimbang rasa.

“Kita tidak akan mengambil tindakan tergesa-gesa, sebaliknya masih memberi peluang kepada mana-mana ahli parti untuk kembali menyokong perjuangan parti,” kata Razali sambil menambah tindakan susulan akan dilakukan selepas menerima maklum balas enam Ahli Parlimen dan Adun berkenaan.

Tapi itu cerita sebelum raya ketika masih berlapar dan dahaga sewaktu berpuasa. Sejurus raya, keadaan nampaknya sudah bertukar. Bersatu sebaliknya memberi bayangan bahawa parti itu tidak lagi mahu menunggu dan tidak lagi berasa perlu untuk menghantar surat kepada tujuh wakil rakyat terbabit untuk menyatakan pendirian semula. Seolah-olah sikap timbang rasa awalnya itu sudah dicampak ke luar tingkap sambil sikap tergesa-gesa kembali menjadi amalan.

Patutlah Syed Abu Hussin pada 11 April menyatakan belum menerima apa-apa notis daripada parti. Lantaran itu, persoalan sama ada beliau dan enam yang lain perlu mengosongkan kerusi Parlimen dan DUN mereka enggan dijawabnya selagi notis berkenaan belum diterima.

Apa yang menghairankan ialah Razali – berlawanan dengan kata-katanya sendiri dan Muhyiddin sebelum raya – sebaliknya berkata pada 12 April bahawa Ahli Parlimen dan Adun terbabit tidak perlu menunggu surat daripada parti kerana keahlian mereka sudah tergugur secara automatik dan perlu mengosongkan kerusi masing-masing. Tiada lagi cakap-cakap untuk memberi mereka peluang kedua. Apakah ini yang dimaksudkan Muhyiddin “segala bentuk tindakan akan dibuat mengikut peraturan?”

“Parti hanya akan menghantar surat pemakluman berserta notis kelulusan pindaan perlembagaan parti. Enam Ahli Parlimen dan Adun digesa tidak menunggu surat daripada Bersatu, sebaliknya jika anak jantan, lepaskan jawatan dan umum kosongkan kerusi. Jangan jadikan alasan menunggu notis daripada Bersatu untuk buat keputusan,” katanya.

Berperanan selaku Ketua Penerangan, Razali harus tampil sebagai contoh penerangannya yang mengelirukan. Dalam beberapa keadaan, penerangan olehnya mengundang lebih banyak persoalan daripada menawarkan jawapan. Atau Razali menyengajakan itu untuk mendesak kepimpinan parti menurutkan kehendaknya?

Bolehlah diandaikan tiadanya komunikasi dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti itu atau Razali yang mendahului mereka. Antara Muhyiddin, Setiausaha Agung Hamzah Zainudin, Naib Presiden Ronald Kiandee, Ketua Pemuda Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Razali sendiri masing-masing tampil dengan kenyataan berbeza. Maka, tidak hairanlah enam Ahli Parlimen dan Adun terbabit memilih untuk tidak mengendahkan apa saja kenyataan membabitkan mereka.

“Ketua penerangan Bersatu ini tak tahu undang-undang. Saya cadangkan Bersatu tukar ketua penerangan, cari yang cerdik sikit. Pindaan perlembagaan parti ini mesti ada proses. Baru dapat kelulusan. Perkara itu mesti ada prosedur selanjutnya seperti langkah-langkah yang patut diambil. Sudah lulus pindaan, kamu pergi dengan proses kamu dan kami pun pergi dengan proses kami,” kata Syed Hussin.

Jika Razali boleh akur dengan tuntutan proses undang-undang, rasanya cukup-cukuplah beliau melontarkan cabaran supaya mereka mengosongkan kerusi jika “anak jantan”. Seperti piring hitam lama rosak yang diputar berulang-ulang kali, ia semakin menyakitkan telinga didengar. Bukan sekali dua beliau membuat cabaran seperti itu. Jika wakil rakyat terbabit berhasrat berbuat demikian, sudah lama ia dilakukan di samping Razali mungkin sedar ia tidak akan memberi apa-apa kesan pun.

Umpama cerita budak gembala yang kerap berteriak “serigala”, lama-lama cerita Bersatu yang membuat ugutan demi ugutan terhadap enam Ahli Parlimen dan seorang Adunnya tiada siapa yang akan percaya.

“Ini nak cabar anak jantan anak betina kosongkan kerusi, bukan begitu. Ini cakap macam dalam kedai kopi, sebab itu saya berkata Bersatu teruk, ketua penerangan tak tahu undang-undang,” kata Syed Hussin lagi.

Lebih elok jika Bersatu menyeragamkan tindakan dan kepimpinannya bercakap dalam satu nada yang sama daripada menunjukkan “segala bentuk tindakan yang akan ambil dibuat mengikut aturan” sebenarnya tidak lebih daripada perancangan porak-peranda. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.