Khairy Jamaluddin beberapa hari lalu menolak unjuran untuknya mengisi jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) — sebuah organisasi besar yang terpalit dengan kontroversi dakwaan salah laku dan rasuah berikutan penularan satu surat layang hingga menarik minat ramai.
Penolakan bekas menteri belia dan sukan itu yang memberi alasan terikat dengan banyak obligasi ketika ini sedangkan jawatan sepenuh masa di FAM itu menuntut tumpuan tidak berbelah-bahagi, sebaliknya dilihat sesetengah kalangan sebagai membawa konotasi tidak elok.
Ada yang melihat keengganan Khairy — yang bulan lalu mengakui dirinya sudah ‘rosak’ sebagai seorang selebriti hingga tiada keperluan untuknya kembali ke lapangan politik dalam waktu terdekat — untuk menyanggupi diri memimpin FAM kerana organisasi itu didakwa sudah terlalu ‘kotor’.
Kekalahan dalam perebutan kerusi Parlimen Sungai Buloh dalam PRU15 sebaliknya memberinya rezeki melimpah-ruah. Selepas dilantik pengarah kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), kemudian pengacara radio Hot FM, memperkenalkan audio siar Keluar Sekejap, menjadi duta baju Melayu Elrah Exclusive dan terbaru berlakon dalam filem “Mak”, boleh difahami jika beliau tidak mempunyai banyak masa terluang.
Tapi FAM, organisasi membabitkan sukan nombor satu negara yang boleh mengangkat martabatnya lebih tinggi bukan saja ke peringkat Asia malah dunia, hairannya tidak menarik minat beliau. Seolah-olah ada sesuatu yang tak kena jika diambil kira Khairy pernah mengasaskan program realiti televisyen MyTeam pada 2006 hingga pasukan yang dibentuknya layak bertanding dalam Liga Super 2008 di samping beliau pernah menjadi timbalan presiden FAM dari 2007 hingga 2010.
Bagaimanapun, itu adalah pilihannya dan tiada siapa boleh memaksa ketika Khairy mempunyai pelbagai keutamaan lain.
Pada 25 Apr lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa pihaknya hanya menyiasat dakwaan berkaitan pusat latihan kebangsaan (NTC) di bawah FAM dan tidak akan membabitkan dakwaan terhadap pentadbiran FAM seperti terkandung dalam satu surat layang yang tular bulan lalu.
Surat layang itu menimbulkan pelbagai tuduhan terhadap FAM, antaranya penipuan, salah guna kuasa, menyalahgunakan wang, ketidakadilan gaji staf, isu berkaitan Harimau Malaya, dan kurangnya ketelusan dalam proses tender pembinaan NTC di Putrajaya.
Presiden FAM Hamidin Mohd Amin pada sidang media selepas Kongres FAM ke-60 pada 1 Apr lalu menepisnya sebagai fitnah, tidak berasas, dan hanya bertujuan memburukkan kepimpinan badan induk itu, yang akan mempertimbangkan membuat laporan polis.
SPRM kemudian mengambil beberapa fail daripada Wisma FAM di Kelana Jaya pada 5 Apr lalu selepas Ketua Pesuruhjaya Azam Baki mengesahkan proses siasatan bermula sejak dua hari sebelum itu setelah menerima aduan awam.
“Kami anggap kes ini sebagai membabitkan kepentingan awam. Bagaimanapun, kami hanya menumpukan siasatan kepada pembinaan NTC. Pembiayaan RM25 juta sebenarnya datang daripada FIFA, ia bukan dana FAM. FAM hanya mengendalikan pemerolehan (lantik kontraktor) melalui satu proses tender. Hasilnya dimajukan kepada FIFA untuk kelulusan dan FIFA telah bersetuju dengan syarikat yang dipilih.
“Jika didapati tiada kes dalam tempoh dua minggu, kami akan maklumkan tidak ada kes. (Sebaliknya) jika ada kes, kami akan cadangkan tuduhan,” kata Azam di Gua Musang, Khamis lalu.
Ketika surat layang itu mula tular pada 31 Mac lalu — tujuannya supaya ia hangatkan kongres FAM di Subang Jaya keesokannya — seorang rakan yang juga orang lama dalam media mengingatkan saya mengenai isu “pen drive” yang timbulkan kekecohan beberapa tahun lalu.
Isu itu ditimbulkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim pada 18 Jul 2016 dengan mendakwa berlaku amalan rasuah berpanjangan sehingga 30 tahun dalam FAM. Mendakwa mempunyai butiran lanjut, Tunku Ismail menunjukkan satu ‘pen drive’ didakwa daripada sahabat-sahabatnya yang berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur, yang dikatakan mengandungi antaranya maklumat dan aktiviti dalam FAM, ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, orang media yang FAM selalu gunakan, duit-duit kelab yang diambil oleh FMLLP (Usahawan Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia) dan diberikan kepada FAM, serta laporan audit yang merepek.
Menerima ‘pen drive’ itu daripada Tunku Ismail, Khairy yang ketika itu menteri belia dan sukan menyerahkannya kepada SPRM pada 2 September 2016. Ia terkandung dokumen setebal 279 muka surat yang didakwa bukti rasuah FAM. Namun, penghujung ceritanya pada 5 Sep 2016, SPRM mengumumkan tiada unsur rasuah dalam isi kandungan ‘pendrive’ yang dikatakan mengandungi butiran salah urus FAM seperti didakwa Tunku Ismail. SPRM juga akan menghantar satu laporan mengenai siasatan tersebut kepada FAM bagi proses penambahbaikan dan tindakan khususnya isu teknikal yang dibangkitkan.
“SPRM mengesahkan sudah selesai meneliti isi kandungan pen drive yang didakwa mengandungi butiran rasuah dan salah urus FAM. Didapati ia tidak mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009,” kata Azam Baki yang ketika itu pengarah siasatan SPRM.
Kini ada yang mengumpamakan surat layang yang tular akhir bulan lalu sebagai “pen drive 2.0” dan seperti rakan media saya itu, tidak kurang juga yang berasa skeptikal dengan mengandaikan kesudahannya juga akan serupa.
Seperti isu pen drive pada 2016 itu, tidak memadai hanya kenyataan Hamidin pada masa lalu bahawa FAM tidak membenarkan budaya rasuah dalam persatuan itu kerana FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut bertegas dalam menangani rasuah. Tidak cukup juga setakat FAM mempunyai jawatankuasa integriti untuk memantau bukan sahaja pasukan bola sepak, malah keseluruhan pentadbiran dan barisan kepimpinannya.
Selepas SPRM menjelaskan bahawa tumpuan siasatannya hanya berkaitan projek NTC yang mungkin ada berlakunya rasuah, bagaimana pula dengan dakwaan salah laku dan menyalahguna kuasa yang terletak di bawah bidang kuasa polis? Apakah FAM yang selepas kongresnya pada awal bulan ini mempertimbang untuk membuat laporan polis sudah berbuat demikian?
Siasatan menyeluruh tidak semestinya tidak bagus untuk FAM. Sebaliknya, siasatan yang mendapati tiada sebarang salah laku jenayah di pihak FAM atau kepimpinannya akan dapat membersihkan organisasi itu daripada persepsi negatif yang dikatakan sudah berlarutan lebih 30 tahun.
Atau barangkali juga pandangan Khairy bahawa sudah tiba masa buat FAM melakukan peralihan pucuk pimpinan dalam usaha menggerakkan sukan nombor satu negara itu ke tahap yang lebih pesat pada masa akan datang, wajar dipertimbangkan. Di sebalik keengganan memimpin organisasi itu, Khairy menyarankan agar tokoh yang memiliki pengalaman dunia korporat diberi peluang.
“Saya rasa daripada dunia korporat ini, komitmen kepada pengurusan (dan) tatakelola sangat bagus. Dan saya tak nak salahkan pengurusan sedia ada tetapi saya rasa pengurusan dan tatakelola (FAM) dapat dimantapkan lagi,” katanya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.