`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, April 4, 2024

Dusuki: Ramadan bukan bulan perceraian


Pendakwah bebas dan salah seorang tokoh ulama PAS hari ini menitipkan pesanan kepada pasangan selebriti yang sedang mengalami cabaran dalam rumah tangga mereka.

Menurut Ahmad Dusuki Abd Rani, dalam bulan yang mulia seperti Ramadan umat Islam tidak sepatutnya bercerai-berai dan semua orang Islam wajar mengelak daripada melakukan sebarang dosa.

“Khabarkan kepada semua mukminin dan mukminah, Ramadan bukan bulan penceraian dan melakukan dosa.

“Ramadan Allah jadikan bulan keampunan dan maghrifahnya yang terlalu luas.

“Khabarkan lagi kepada para suami; bawalah rumah tangga kalian ke syurga Allah bukan menghancur dan memusnahkan dengan kemaksiatan yang menghilangkan keberkatan,” katanya pada hantaran di media sosial hari ini.

Mengiringi hantaran penceramah terkenal dan bekas calon pilihan raya PAS itu ialah laporan media mengenai perkembangan hubungan pasangan suami isteri Aliff Aziz dan Bella Astilah.

Hubungan pasangan penyanyi dan pelakon itu berada dalam keadaan genting ekoran Aliff mencetuskan kontroversi sekali lagi baru-baru ini apabila dia didakwa berkhalwat dengan seorang selebriti lain, Ruhainies.

Untuk rekod Ruhainies merupakan kawan baik Bella. Aliff dan Ruhainies ditangkap pada 8 Mac lalu.

Rumah tangga selamat

Hari ini Aliff dan Bella hadir pada prosiding sebutan kedua permohonan cerai difailkan aktres itu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, Aliff, 33, memberitahu media bahawa dia masih sayangkan Bella yang menjadi ibu kepada dua anak mereka.

Aliff dan Bella berkahwin pada 9 Sept 2016. Melalui perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3.

Mereka pernah membuat keputusan untuk bercerai pada 16 Mei 2019 selepas siri kecurangan Aliff terdedah. Namun, mereka kembali rujuk ketika Bella dalam tempoh iddah.

Dalam satu sidang media semalam, Bella mendakwa Aliff pernah mengkhianatinya sebanyak 11 kali malah salah seorang daripada individu terbabit ialah adik kandungnya sendiri.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Ahmad Dusuki memberi komen terhadap perkembangan artis.

Sebelum ini dia turut memberi komen terhadap gambar seorang pelakon yang juga bekas isteri Rashidi Ishak, Vanidah Imran, yang dianggap tidak dimakan usia.

Ahmad Dusuki menegur sikap sesetengah orang yang menilai kecantikan wanita berdasarkan wajah dan bentuk fizikal.

Namun ia mengundang teguran artis lain yang menganggap penceramah terbabit memalukan Vanidah.

Dalam hantaran hari ini bekas calon PAS untuk kerusi DUN Batu Tiga di Shah Alam, Selangor itu meminta setiap wanita agar menutup aib rumah tangga masing-masing.

“Khabarkan kepada isteri mukminah, tutuplah hal cerai rumah tangga kalian daripada terbuka dan didedah dalam kalangan masyarakat awam.

“Allah membuka jalan perdamaian dengan kedua-dua bertaubat dan kembali kepada Allah.

“Cintailah Allah, rumah tangga kita selamat,” katanya yang juga mudir pusat tahfiz. - Mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.