`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, April 16, 2024

Kalau masuk beraya rumah orang

 

Free Malaysia Today

Saya tak ingat di mana saya baca ia, barangkali sebuah anekdot atau sebuah kartun dalam bahasa Inggeris mengisahkan tentang seseorang yang berkunjung ke rumah kawannya. Dia mengambil kesempatan menyindir kawannya si tuan rumah, “Kecilnya saiz TV awak! TV di rumah saya lebih 40 inci,”. Ini dijawab oleh tuan rumah, “Ya, TV di rumah saya memang kecil tetapi rak buku di rumah saya 3-4 kali ganda besarnya daripada TV awak,” sambil dia menunjukkan rak bukunya yang penuh. “Di rumah awak tak ada rak buku, bukan?” Si tuan rumah memulang paku buah keras. Kan dah naik kebas muka kamu apabila dilibas semula sebegitu? Kamu kaki TV, pastilah malu dengan si ulat buku.

Inilah yang berlaku saban tahun apabila suasana kunjung-mengunjung ke rumah keluarga dan handai-taulan pada hari raya. Berjumpa pun jarang-jarang tapi mengapa mulut kita gatal, sengaja nak menyindir dan nak mengguris hati orang lain? Apa perlunya perli anak saudara kita, “kau ni dah tua kenapa tak kahwin lagi?” atau “kau ni dah lama kahwin tapi bilanya nak menimang cahaya mata?”. Apa faedah yang kita dapat dengan bertanya soalan begitu? Nak tambah pengetahuan am? Atau nak tunjuk kitalah yang paling prihatin? Tidak bolehkah waktu sesingkat itu kita bercakap dengan baik dan buat orang lain berasa senang? Gatal-gatalkah badan kita sampai naik berkudis kalau kita tidak memperli? Nak berseloroh konon tapi bila dibalas, awak pulak yang sentap, kan?

Masuk ke dalam rumah orang usahlah jadi “Sherlock Holmes” yang akan mengukur setiap inci rumah. Tuan rumah ikhlas menghidangkan makan-minum, beri ruang solat, guna bilik air dan beri juga bilik tetamu untuk bermalam tetapi mengapa apabila keluar sahaja dari rumah tersebut, dengan sungguh-sungguh kita jaja cerita kepada orang lain yang rumahnya bersepah, pilihan warna dindingnya tak kena, perabotnya murah atau halaman rumahnya berbau najis kucing. Apahal awak ni? Makan awak makan, minum awak minum tapi masih nak mengumpat. Mengapa awak tidak sungguh-sungguh bercerita kepada orang lain tentang enaknya masakan atau mesranya layanan rumah yang awak pergi tu? Apa makna awak bersalam, berpelukan dan bermaaf-maafan kalau sejurus lepas itu awak mengata pula?

Bukan sedikit kawan-kawan bergaduh di meja makan kerana topik yang diperbualkan adalah topik yang mengundang perbalahan. Politik, misalnya. Yang beria-ia bertekak pasal politik di masa beraya buat apa? Apa yang cuba dibuktikan, apa yang hendak ditegakkan? Wakil-wakil rakyat di Dewan Rakyat yang bertekak itu pun boleh bergelak ketawa waktu makan tengah hari di kafeteria Parlimen. Yang awak sampai seorang duduk di meja lain, seorang lagi duduk di ceruk dapur bila bertembung dalam sebuah rumah tu apahal? Duduklah semeja, makan sahajalah ketupat dan lemang sambil menghimbau kisah yang manis-manis belaka. Kan itu lebih seronok? Jauhi pertengkaran. Tak ke mana pun kita dengan hujah-hujah kita itu.

“Abang tak buat ‘open house’ ke?” tanya kawan yang bertandang di rumah saya pada hari raya kedua lalu.

“Tak. Kami tak buat,” jawab saya. Memang benar, pada zaman canggih ini siapa saja nak datang boleh telefon dahulu, jadi bila hari tersebut ada ramai mahu datang, kami akan masak. Kami ikut temu janji namun jika ada yang tiba-tiba muncul pada hari tersebut pun bukanlah suatu masalah. Ahlan wa sahlan!

Budaya rumah terbuka ini dimulakan di bandar-bandar kerana minggu awal hari raya kebanyakan mereka beraya di kampung. Apabila masuk minggu bekerja, kesempatan pada hari minggu mereka buatlah makan-makan untuk jiran, kawan pejabat dan kawan-kawan di bandar. Itu ada bagusnya dan ada yang tak bagusnya, untuk kami. Ini kerana saya mempunyai ramai kawan yang pelbagai latar. Jika saya buat rumah terbuka mereka yang pelbagai latar ini akan datang serentak dan ini sedikit menyukarkan saya untuk membahagikan layanan sama rata. Saya khuatir ada tetamu yang tak sempat saya santuni sebaiknya. Saya risau ada antara yang kecil hati kerana tak layan mereka. Ada kawan politik daripada pelbagai parti (bayangkan kalau mereka duduk semeja nanti), ada kawan penggiat seni, ada yang bicara tentang agama, ada yang bercerita tentang muzik, filem, fesyen dan kebanyakan mereka ini penampilannya “lain macam”. Takut-takut ada yang tak selesa nanti. Ada pula acara hakim-menghakimi nanti, kan susah! Maka, untuk lebih mudah – tiada rumah terbuka dan kami terima siapa sahaja mahu datang dengan syarat telefon dahulu.

Berbalik kepada perbincangan saya di awal tadi, sebagai tuan rumah dan juga sebagai tetamu eloklah kita tahu batas perbualan agar tidak menyentuh hal-hal yang boleh menyinggung antara satu sama lain. Meskipun kita lihat adanya perbezaan, kita terimalah perbezaan itu. Letakkan ke tepi, cari hal-hal yang boleh membuat kita bersama. Berlapang dada adalah cara terbaik. Pesan anak-anak remaja kita kalau masuk beraya rumah pak cik dan mak cik, bersalamlah dan bertanya khabar satu-dua soalan dengan tuan rumah dengan muka mesra, bukan masam mencuka. Tinggalkan sekejap gajet yang membuatkan kita jadi tak peka dengan suasana sekeliling itu. Lalu ayuh kita renung kembali, masuk rumah orang apa sebenarnya niat kita? Sekadar nak makan sahajakah? Kalau setakat nak makan, di rumah sendiri pun boleh makan. Nak mengintai isi rumah orang dan melaporkan kepada kenalan-kenalan lain sebagai bahan umpatan? Atau nak mengeratkan persaudaraan?

Ada saudara kita yang rumahnya besar, ada pula yang sederhana dan ada yang daif lagi buruk. Ada yang pakaiannya hebat dan ada juga yang berpakaian lusuh. Itu bukan tiket untuk kita sindir dan perli. Atau untuk kita jadi “double standard”, pergi ke rumah besar sahaja, atuk saudara kita yang rumahnya senget kita pinggirkan. Kita lintas sahaja depan rumah mereka tak mahu kita tegur. Ini bukan tak berlaku, ia terjadi. Sifat kebendaan membuat kita buta kepada hal-hal kejiwaan. Kita menilai orang ikut materi. Pakaian, kereta, rumah menjadi bahan pertunjukan. Eleh, Pak Unggai dan Mak Unggai yang buruk rumahnya itu tak adalah sesak macam kita setiap bulan nak bayar hutang rumah dan hutang kereta. Kan?

“Ramai ke balik beraya kali ni, Min?” tanya saya kepada kawan saya ketika berkunjung ke rumahnya petang hari raya kedua.

“Semua ada balik, bang. Tapi abang dan adik saya menginap di ‘homestay’ kat hujung kampung. Mereka dah ada keluarga masing-masing. Tak elok bercampur ramai-ramai kat rumah ni,” jawab Min.

“Baguslah tu. Masing-masing ada pegangan masing-masing demi menjaga kehormatan agar tak jadi maksiat, melihat aurat, ye tak?” jawab saya.

“Ya, tapi…” sambut Min sedikit tawar. Pulak! Apa yang tak kena lagi? Bukankah bagus cara begitu?

“Seharusnya buatlah giliran tahunan siapa yang akan duduk rumah mak abah di sini dan siapa yang akan menginap di homestay. Ini tiap-tiap tahun saya je kat rumah ni. Bini saya yang bertungkus-lumus menyiapkan makanan. Dia itu hanya menantu tapi anak sendiri duduk homestay. Saya tolonglah basuh-membasuh. Mak abah kami dah tua takkanlah nak harapkan mereka buat semua lemang dan rendang ni!”.

Saya terdiam. Tak sangka pula Min ambil kesempatan meluahkan perasaan. Dalam baiknya “trend” sewa homestay untuk elak terlihat aurat haruslah jangan lepas tangan dalam urusan persiapan. Harus ada giliran untuk bantu-membantu. Itu yang dituntut.

“Diorang datang sini lepak-lepak makan. Lepas tu pergi beraya. Hal di dapur tak ambil peduli pun. Malam mereka balik tidur di homestay. Begitulah tiap-tiap tahun.” kata Min lagi. Kini saya pula yang berasa kesal mengapalah saya sibuk bertanyakan hal tersebut tadi. Niatnya hendak berbasa-basi rupanya tercungkil sebuah dilema baharu dalam trend raya era sewa homestay ini. Saya hanya berkata, “tak mengapalah. Kita sebagai tuan rumah jangan gundah-gulana kerana pasti ada balasan rezekinya nanti apabila tetamu tak putus-putus mengunjungi kita. Itu tandanya orang sukakan kita.”

Hari raya seharusnya kita ambil kesempatan untuk meneguhkan lagi jambatan perhubungan. Kalau perhubungan renggang inilah masanya untuk sama-sama perbaiki. Bukan menambahkan parahnya lagi dengan perangai buruk kita yang sesedap rasa mengikut nafsu dengki dan mementingkan diri sendiri.

Harap jawapan saya mampu melegakan hati Min dan orang sepertinya. Serangkap lagu Sentuhan Hari Raya nyanyian Amy Search yang ditulis oleh M Nasir dan Loloq cukup mengujakan;

Bukalah pintu rumahmu
Dengan jiwa dan raga
Sebarkanlah rahmat tuhanmu
Dan anugerahnya
Pada semua umat di hari raya…

 - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.