`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, April 2, 2024

Magis Pan Gon terus ditagih

 

Ketibaan Kim Pan Gon bersama empat pembantu untuk memulakan tugas ketua jurulatih Harimau Malaya dengan kontrak dua tahun pada pertengahan Februari 2022 kebetulan cuma seminggu selepas Aliou Cisse mengemudi Senegal menjuarai Piala Negara Afrika (Afcon) di Cameroon pada 7 Feb 2022.

Berambut panjang, flamboyan dan berkarisma, Cisse yang disayangi peminat bola sepak di negaranya menyempurnakan harapan mereka apabila Senegal menundukkan Mesir yang dibintangi Mohamed Salah 4-2 hasil penentuan sepakan penalti dalam final di Stadium Paul Biya, Yaounde untuk menjulang trofi itu buat julung-julung kali selepas penantian 57 tahun.

Cuma, persamaan mereka terhenti setakat itu kerana Pan Gon — tidak sebertuah Cisse yang memakai lilitan lengan mengetuai skuad negaranya mara hingga ke suku akhir Piala Dunia 2002 yang dianjurkan bersama oleh Korea Selatan dan Jepun — masih tercari-cari gelaran sulungnya bersama Harimau Malaya.

Perkenalan awal Malaysia dengan Pan Gon tertulis ketika skuad negara tewas 0-2 kepada Hong Kong dalam pusingan kelayakan Piala Asia di Stadium Hong Kong pada 10 Oktober 2017 ketika dia masih menjadi ketua jurulatih pasukan lawan itu. Malaysia kemudian menanti enam tahun untuk menterbalikkan keputusan itu apabila menang 2-0 ke atas Hong Kong dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 28 Mac 2023 ketika Pan Gon menjadi pengendali skuad negara.

Dalam tempoh dua tahun, jurulatih dari Korea itu memberi sumbangan yang bukan sedikit dalam menaikkan imej Harimau Malaya hingga menyaksikan kedudukan pasukan meningkat dengan mendadak daripada posisi ke-154 kepada kedudukan terbaik di tangga ke-130 dalam ranking dunia FIFA. Rekod 18 menang lima seri dan sembilan kalah daripada 32 perlawanan dengan rekod kemenangan 56.25% di bawah kendalian Pan Gon dikira masih terpuji dibandingkan dengan rekod 20-4-6-50% milik Tan Cheng Hoe sebelum itu.

Berpegang kuat kepada profesionalisme dan kualiti kerja mengagumkan, jurulatih berusia 54 tahun itu turut mentransformasikan pasukan negara sehingga layak secara merit ke Piala Asia selepas 43 tahun di Qatar, Januari lalu di mana Malaysia tewas dua aksi pertamanya — 0-4 kepada Jordan dan 0-1 kepada Bahrain — sebelum mengikat lawan di tangga ke-23 dunia Korea Selatan 3-3.

Gara-gara keputusan seri dengan Korea itu — yang bukan bersandarkan nasib melainkan semangat melawan pemain-pemain — sudah ada yang menggelar Pan Gon “miracle man” (jurulatih ajaib) kerana mampu mengerah Harimau Malaya bangkit daripada dua kekalahan untuk meraih satu mata daripada barisan Pahlawan Taegeuk itu yang sebelumnya dilihat tidak langsung berkemungkinan.

Namun, persembahan mengagumkan dalam perlawanan Kumpulan E di Stadium Al Janoub pada 25 Jan itu — termasuk gol Faisal Halim yang diundi sebagai jaringan terbaik kejohanan — tetap ada ‘harga’ mahal yang perlu dibayar apabila peminat terus dibuai oleh keterujaan bahawa Harimau Malaya sudah kembali tergolong sebagai antara barisan elit Asia dan memasang impian lebih besar ketika baki saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 masih menanti.

Tewas dua kali berturut-turut, kedua-duanya dengan keputusan 0-2 kepada pasukan di tangga ke-80 dunia, Oman — di Muscat pada 21 Mac dan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac — Malaysia dikerah kembali kepada realiti dengan persiapan yang tidak seberapa di luar pertandingan domestik sambil pemain-pemainnya dinafikan perlawanan ujian secukupnya untuk menggilap ketangkasan dan memantapkan persefahaman. Salah Pan Gon ke ini?

Berselang hanya tiga bulan selepas perlawanan dengan Korea di Qatar itu, ranking Malaysia dijangka jatuh lima anak tangga ke 137 dunia. Daripada kedudukan teratas Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu sebelumnya — kita menang ke atas Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) Nov lalu — Malaysia sudah melurut ke tangga ketiga dengan empat mata ketika Kyrgyzstan dan Oman menghuni dua tangga teratas dengan sembilan mata dan hanya dibezakan kelebihan jaringan. Harimau Malaya bakal melengkapkan jadual dengan menentang Kyrgyzstan di Bishkek (6 Jun) dan Taiwan di Bukit Jalil (11 Jun).

Pan Gon, yang berpengalaman selaku pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Korea (KFA), bukanlah seorang jurulatih tanpa kekurangan. Pemilihan pemain dan formasi ditetapkannya ketika kekalahan kepada Oman, begitu juga dua kekalahan di Qatar, Januari lalu menunjukkan dia juga manusia biasa yang boleh melakukan kekhilafan, jauh sekali untuk menggalas julukan “miracle man” pada ketika Harimau Malaya belum meraih apa-apa pencapaian besar.

Namun, andai dia mampu sekali lagi memuncakkan semangat melawan pemain-pemainnya untuk menang kedua-dua baki perlawanan menentang Kyrgyzstan dan Taiwan untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selain layak secara merit ke Piala Asia 2027, maka mungkin ketika itu panggilan “miracle man” tidak canggung untuk digalasnya.

Seperkara yang bagus mengenai Pan Gon dari ketika menjadi ketua jurulatih Hong Kong (2012–2017) lagi ialah dia juga bukan seorang yang akan lari daripada tanggungjawab dan sekadar mahu mengada-adakan alasan apabila keputusan positif gagal diraih. Sudah kerap termasuk selepas dua kekalahan kepada Oman itu, dia mempertahankan pemain-pemainnya daripada dikritik dan dipersalahkan, sebaliknya sentiasa menawarkan dirinya untuk dijadikan sasaran kecaman.

Lebih daripada itu, dia bukan jenis yang memanjakan pemain, sebaliknya boleh bertukar menjadi segarang seekor harimau dalam bilik persalinan seperti ketika perlawanan dengan Kyrgyzstan di Bukit Jalil pada 16 Nov 2023 yang menyaksikan Malaysia ketinggalan 1-2 ketika rehat separuh masa. Malaysia dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk kesudahannya menang 4-3 menerusi jaringan Faisal Halim pada minit 90+3.

“Jurulatih tak kata apa-apa, dia cuma marah, boleh katakan seperti seekor harimau karakternya dalam bilik persalinan,” cerita Faisal ketika rehat separuh masa. “Dia tidak mahu anak buahnya lalai dan bermain dengan sambil lewa, dan akhirnya pada separuh masa kedua kita berjaya bangkit walaupun bolos satu gol lagi.”

Terbaru, entah dari mana puncanya, tersebar ura-ura kononnya Pan Gon dan barisan kejurulatihannya menghantar surat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan bersedia sekiranya terpaksa meninggalkan pasukan negara andai khidmat mereka tidak diperlukan lagi. Untungnya jurulatih dari Korea itu sudah menafikan laporan berita itu dan menyatakan komitmennya bersama pasukan sehingga kontraknya berakhir pada hujung 2025.

“Dia (Pan Gon) telah membawa Malaysia ke satu tahap yang kita tak jangka kita boleh berada di situ dalam masa terdekat. Kita kena faham bahawa kota Rom tidak boleh dibina dalam masa sehari tapi bagi saya dia telah buat sesuatu yang ajaib. Ini kerana dia seorang yang teliti dan bersemangat dan memang buat kerja 100%. Dia juga buat ulang kaji dengan kerap. Dengan kerja-kerja dilakukan, dia telah berjaya bawa Malaysia ke tahap lebih tinggi,” kata bekas setiausaha agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar pada Ahad.

“Misi utama saya adalah untuk membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027,” kata Pan Gon yang berjanji akan terus komited untuk membimbing skuad Harimau Malaya sehingga kontraknya berakhir tahun depan.

Dengan komitmennya itu, elok dibiarkan jurulatih dari Korea itu meneruskan kerja-kerja baiknya tanpa diganggu gugat kerana tiada siapa tahu magis yang mampu dibawanya, lebih-lebih lagi jika dia diberi sepenuh sokongan, bantuan dan kepercayaan sambil FAM harus belajar daripada pengalaman lalu bahawa jurulatih yang diberi kata dua untuk membutirkan kejayaan dalam jangka masa pendek kesudahannya tidak akan mendatangkan apa-apa.

Lagipun, kita tidak akan tahu betapa bernilainya Pan Gon kepada Harimau Malaya sehingga kita benar-benar kehilangan khidmatnya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.