`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, April 24, 2024

Wan Rezaudeen berhasrat pencen awal, kata sepupu

Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin disifatkan memiliki peribadi menyenangkan.

GOMBAK: Juruterbang Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, pernah memaklumkan hasrat ingin bersara awal.

Sepupunya, Saiful Azmi Roslani berkata perkara itu dimaklumkan bapa Wan Rezaudeen ketika Aidilfitri baru-baru ini.

“Semasa Aidilfitri baru-baru ini, bapa Allahyarham memaklumkan kepada kami yang Wan Rezaudeen ada menyatakan hasrat bersara awal daripada perkhidmatannya bersama TLDM,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, menurut Bernama.

Saiful berkata, setiap kali berjumpa sepupunya itu, mereka akan berbual mengenai motosikal kerana Allahyarham seorang yang meminati sukan permotoran.

Seorang lagi sepupu, Siti Arbaiyah Bahudin berkata sudah lebih dua tahun mereka tidak berjumpa ekoran kekangan tugas.

“Kami memang rapat sejak kecil cuma apabila sudah besar semua ada komitmen masing-masing. Kami memang terkejut dengan kejadian menimpa Allahyarham,” katanya.

Sementara itu, ibu saudaranya, Norhairi Mohamad Long, ketika ditemui FMT menyifatkan Wan Rezaudeen seorang yang memiliki peribadi menyenangkan.

Norhairi yang pernah mengasuh Wan Rezaudeen seawal usia lima tahun berkata, Allahyarham seorang yang aktif dan sejak kecil bercita-cita menjadi anggota tentera.

Katanya, anak sulung daripada tiga beradik itu adalah kebanggaan keluarga dan pemergiannya kehilangan besar buat mereka.

Jenazah Wan Rezaudeen dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Muda, malam ini.

Dalam tragedi 9.32 pagi semalam, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri tujuh kru HOM-AW139 dan tiga kru Fennec terkorban selepas pesawat dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90. - FMT 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.