`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, April 4, 2024

‘Yay pilihan raya lagi!’

 

BERSATU 1, ENAM AHLI PARLIMEN 0. Mungkin itu kedudukan yang boleh mencerminkan kesan pindaan perlembagaan Bersatu berkait enam Ahli Parlimennya yang dikatakan mengkhianati parti selepas diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) untuk berkuat kuasa Isnin lalu.

“Yay pilihan raya lagi!” kata satu hantaran Tentera Troll Kebangsaan Malaysia di Facebook sejurus keputusan JPPM Isnin lalu dihebahkan. Dah namanya pun “troll”, sindiran sedemikian yang membayangkan PRK bakal diadakan di enam kawasan Parlimen terbabit – dikatakan selepas Hari Raya Aidilfitri ini – adalah pramatang atau mendahului proses undang-undang yang akan berjalan. Lebih-lebih pun, ia hanya layak dianggap jenaka “April Fool”.

Kelulusan pindaan itu semata-mata tidak bermakna Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) – yang menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam tempoh antara 12 Okt 2023 dan 24 Jan lalu – dikira sudah mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing secara automatik. Tidak sama sekali.

Hamzah Zainudin pula berkata, Suhaili mendakwa kerusi Parlimennya selamat, tetapi yang akan tentukan bukannya dia. Tepat sekali kenyataan setiausaha agung Bersatu itu kerana pindaan perlembagaan parti itu yang berkuat kuasa Isnin lalu bermakna ia bukan lagi dalam kawalan Ahli Parlimen Labuan berkenaan disebabkan ia bakal ditentukan proses undang-undang.

Tapi, tepat juga perkara itu bukan dalam kawalan Hamzah sendiri kerana sebarang ikhtiar mengosongkan kerusi Parlimen enam wakil rakyat Bersatu itu tidak semudah diharapkan parti itu, melainkan kesudahannya akan diputuskan mahkamah. Keenam-enam Ahli Parlimen terbabit juga dari awal sudah menyatakan mereka tidak akan menerima sebarang pindaan perlembagaan Bersatu sambil berbaring, sebaliknya akan mencabarnya hingga penghujung.

Baik kepada Hamzah mahupun kepimpinan partinya dan juga enam Ahli Parlimen Bersatu itu, apa yang boleh mereka lakukan ketika ini ialah menunggu proses mengosongkan kerusi Parlimen terbabit berjalan mengikut aturannya. Tapi, sekurang-kurangnya halangan pertama dalam menantikan pindaan perlembagaannya 2 Mac lalu diluluskan JPPM sudah dilepasi. Itu langkah besar pertama dalam usaha Bersatu untuk mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen terbabit yang didakwa mengkhianati parti.

Ada juga pihak menimbulkan kehairanan bagaimana JPPM boleh meluluskan pindaan perlembagaan itu begitu cepat – cuma sebulan – dibandingkan ketika Umno mengusulkan pindaan perlembagaannya pada 2022 yang memerlukan empat setengah bulan untuk mendapat kelulusan. Bagaimanapun, ini sudah dijelaskan Ketua Pengarah JPPM, Mohd Zulfikar Ahmad bahawa ia memenuhi kehendak Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966, selain pindaan peruntukan dilaksanakan parti itu dibuat mengikut perlembagaannya.

Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris dalam kenyataan 6 Mac lalu turut yakin JPPM tidak akan “susahkan” parti itu untuk meluluskan pindaan mengosongkan kerusi jika wakil rakyatnya sokong lawan, apatah lagi usul itu mendapat sokongan sebulat suara dalam perhimpunan agung khasnya 2 Mac lalu kerana menganggap pindaan seupamanya perkara biasa. Namun, perkara terpenting ialah apa yang dinyatakan Azizi bahawa “kelulusan ekspres” itu satu lagi bukti langkah terpuji Anwar dan kerajaan Madani tidak menggunakan kuasa politik serta tidak campur tangan dalam pengurusan agensi atau kementeriannya.

Dalam pada itu, seperkara yang enggan ditonjolkan sangat oleh Bersatu dalam hebahannya ialah surat JPPM yang secara khusus menyatakan pindaan perlembagaan diluluskan itu “boleh dijalankan mulai 1 April 2024”. Lantarannya juga, Suhaili dan Azizi berkeyakinan mereka serta empat yang lain tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing kerana sokongan kepada Anwar dinyatakan antara Oktober dan Januari lalu – lebih awal sebelum pindaan berkenaan dikuatkuasakan.

“Kami selamat, kami buat sokongan ini tahun lepas…sedangkan surat JPPM sebut pindaan itu hanya boleh dijalankan mulai 1 April,” kata Suhaili. Azizi pula berkata: “Kami lihat tiada kaitan dengan tindakan kami tahun lalu. Melihat kepada fasal itu, tiada perubahan pun, kecuali satu seksyen mengatakan keahlian boleh terbatal sekiranya mana-mana ahli menyokong kerajaan selain daripada parti kita sendiri, namun ia berkuat kuasa 1 April.”

“Selamat? Tunggu kejutan kami,” Hamzah beritahu enam Ahli Parlimen itu – demikian tajuk berita FMT yang memetik reaksi setiausaha agung Bersatu itu pada Rabu lalu. Bersatu, katanya, akan menunjukkan bukti untuk mengesahkan enam Ahli Parlimennya yang menyokong Anwar melanggar perlembagaan parti yang memerlukan mereka mengosongkan kerusi masing-masing. “Beliau (Suhaili) hendak dakwa selamat biarlah, tetapi yang akan tentukan bukannya dia,” katanya.

Menyusuli kenyataan itu, Razali pula berkata, Hamzah akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimen itu dan seorang Adun di Selangor (Abdul Rashid Asari – Selat Klang) untuk memberi peluang kepada mereka menetapkan pendirian semula sebelum tindakan pengguguran keahlian dilakukan. Mereka diberi tempoh untuk menyatakan pendirian, jika tetap menyokong Anwar, keahlian akan gugur secara automatik.

“Kita parti yang mengamalkan sikap bertimbang rasa, tidak akan mengambil tindakan tergesa-gesa, sebaliknya masih memberi peluang kepada mana-mana ahli parti untuk kembali menyokong perjuangan parti,” kata Razali sambil menambah tindakan susulan akan dilakukan selepas menerima maklum balas enam Ahli Parlimen dan Adun berkenaan.

Namun, keahlian yang akan gugur di sini patut diperjelaskan sebagai keahlian parti, bukannya keahlian di Dewan Rakyat atau DUN. Bersatu tiada kuasa melucutkan keahlian melangkaui parti sendiri kerana selebihnya itu dalam bidang kuasa speaker.

Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 (Akta A1663) melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti berkuat kuasa 5 Okt 2022. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dengan pelaksanaan akta itu, mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti pada atau selepas tarikh terbabit, akan hilang kelayakannya.

Cuma, dalam kes enam Ahli Parlimen itu, mereka tidak mengisytiharkan keluar parti, tapi menyokong perdana menteri demi manfaat pengundi di kawasan masing-masing yang memerlukan peruntukan pembangunan.

Kerana itu juga, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor pada Rabu lalu berkata, perlu ada “hitam putih” yang mencadangkan Bersatu menulis surat kepada Speaker Johari Abdul sebelum status enam Ahli Parlimen terbabit dapat diputuskan.

“Kena maklumkan kepada speaker, baru proses boleh berjalan. Kena diangkat kepada speaker, kemudian akan diputuskan berdasarkan peruntukan undang-undang. Kena ada hitam putih, bukan dengan cakap-cakap di luar,” katanya.

Apa juga pendirian speaker nanti, tambahan jika ia tidak menepati hasrat Bersatu, boleh dicabar di mahkamah.

Apa yang boleh kita jangkakan, perkara ini akan berbalik kepada pandangan peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla pada 12 Mac lalu yang mengumpamakan ikhtiar Bersatu mengosongkan enam kerusi Parlimen terbabit sebagai “mendaki Gunung Everest”.

“Bersatu boleh menulis kepada speaker, tapi jika keputusan speaker berlawanan kehendak parti itu, kes ini boleh dirujuk ke mahkamah. Ia akan membabitkan proses panjang daripada Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan akhirnya Mahkamah Persekutuan yang boleh mengambil dua hingga tiga tahun.

“Jika pun mahkamah memutuskan Ahli Parlimen berkenaan perlu mengosongkan kerusi mereka, ia mungkin ambil masa hingga dua tahun, bermakna tinggal kurang dua tahun daripada pembubaran Parlimen secara automatik dan tidak akan ada PRK diadakan,” katanya.

Jika ada yang mengharapkan PRK dalam masa terdekat seperti usikan Tentera Troll Kebangsaan Malaysia, jawapannya lambat lagi. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.