`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, June 13, 2024

Al-Sultan Abdullah ziarah MB Pahang di IJN

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meluangkan masa menziarahi Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara semalam.

Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang yang memaklumkan baginda tiba di pusat perubatan itu pada 3 petang dan meluangkan masa kira-kira setengah jam bertanyakan khabar serta menitipkan nasihat sebagai penguat semangat buat Wan Rosdy.

Sultan Pahang turut disembah maklum oleh Ketua Jabatan Pembedahan Kardiotoraks IJN Prof Datuk Dr Alwi Mohamed Yunus mengenai keadaan terkini Wan Rosdy yang selamat menjalani prosedur pembedahan jantung pada 7 Jun lepas.

Terdahulu, dalam video yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan sebuah surau yang dikunjungi baginda ketika mengadakan lawatan di Cameron Highlands untuk mendoakan Wan Rosdy.

ADS

"Saya minta surau ini doa untuk Menteri Besar (Wan Rosdy) kita selamat sembuh selepas jalani pembedahan baru ini, dia seorang Menteri Besar yang baik," titah baginda.

Sementara itu, Wan Rosdy menerusi hantaran di laman Facebook berkata beliau menghargai dan menjunjung kasih atas keprihatinan Al-Sultan Abdullah terhadap kesihatan dirinya.

"Semoga Allah SWT mengurniakan rahmat ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku serta diberikan kesihatan dan kesejahteraan," katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.