`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, June 11, 2024

Bekas pengarah Institut Aminuddin Baki, Joohari Ariffin calon PH Sg Bakap?

 

Joohari Ariffin
Sumber berkata Joohari Ariffin antara pilihan utama PKR memandangkan latar belakangnya sebagai ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: PKR dijangka mempertaruhkan calon profesional berlatar belakang agama bagi merampas DUN Sungai Bakap pada PRK bulan depan dan antara nama disebut adalah bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Joohari Ariffin.

Sumber berkata, Joohari antara pilihan utama memandangkan latar belakangnya sebagai ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

“Mungkin parti cari mereka berlatar belakang agama sebab yang lawan ialah calon PAS,” katanya kepada FMT.

Satu lagi sumber memaklumkan, pucuk pimpinan PKR sudah memuktamadkan calon dan individu berkenaan hanya ahli biasa parti, selain baru bersara sebagai pegawai kerajaan.

“Biro politik dan pucuk pimpinan PKR telah memuktamadkan calon, setakat ini calon akan dipertaruhkan ialah seorang berlatar belakang profesional, pesara kerajaan memiliki PhD, tidak pegang jawatan penting dalam parti, beliau sebagai ahli biasa sahaja.

“Beliau anak tempatan Sungai Bakap, berlatar belakang agama, ahli keluarganya juga orang agama,” katanya.

Sumber itu turut memaklumkan, Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Nurhidayah Che Rose yang juga bekas calon Pakatan Harapan pada PRN lalu tidak terpilih walaupun beliau antara individu disenarai pendek.

“Bukan Nurhidayah yang akan dipertaruhkan kali ini walaupun beliau antara calon disenarai pendek, tetapi pucuk pimpinan mahu calon baharu, dan calon yang akan diumumkan esok baru kali pertama kali bertanding,” katanya.

Sebelum ini, Nurhidayah antara disebut-sebut bakal dipertaruhkan sekali lagi memandangkan beliau masih aktif di kawasan berkenaan.

Semalam, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata calon mewakili kerajaan perpaduan pada PRK Sungai Bakap akan diumumkan secara rasmi esok.

Kerusi Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya daripada PAS, Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK diadakan pada 6 Julai.

Zamri menang kerusi itu pada Ogos tahun lalu dengan majoriti 1,563 undi, menewaskan Nurhidayah dalam pertembungan dua penjuru. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.