`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, June 16, 2024

Bila Mahathir cakap pasal bola

 

Mohsin Abdullah

Seingat saya satu-satunya perlawanan bola sepak yang ditonton Mahathir Mohamad di stadium ialah final acara Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 1989. Waktu itu beliau dan isteri menyertai ribuan penonton di Stadium Merdeka pada malam 31 Ogos menyaksikan Malaysia menewaskan Singapura 3-1 dan menang pingat emas.

Selaku perdana menteri, beliau kemudian mengisytiharkan cuti lanjutan Hari Kemerdekaan untuk negara. Bukan hanya kerana Malaysia juara bola sepak Sukan SEA tetapi kontinjen negara menunjukkan persembahan cemerlang untuk menduduki tangga kedua (di belakang Indonesia) dalam pungutan pingat keseluruhan.

Mahathir akui beliau bukan peminat bola sepak. Beliau pernah menyatakan kehairanan “mengapa 22 orang dewasa berkejar merebut sebiji bola”. Lalu berkata beliau, “berilah setiap pemain satu biji bola. Senang cerita. Tak payah rebut-rebut”. Saya yakin beliau berseloroh tetapi hakikatnya beliau tak minat bola sepak.

Namun beberapa hari lalu Mahathir bercakap mengenai bola sepak. Bukan pasal Euro 2024 di Jerman. Beliau bercakap mengenai apa yang berlaku bersabit bola sepak negara. Bagi saya apabila seseorang yang bukan kaki bola bercakap mengenai bola sepak, ia wajar diberi perhatian.

Bercakap pada podcast ‘Sinar Daily Sports Matters’, Mahathir menyentuh sesuatu yang menurutnya tidak pernah berlaku di negara ini. Baru-baru ini ada kes baling asid ke atas pemain bola sepak. “It is unprecedented,” kata beliau.

Mahathir tidak menyebut nama mangsa tetapi jelas beliau merujuk kejadian membabitkan pemain Selangor FC, Faisal Halim. Sukan kata beliau ujian terhadap kebolehan sendiri dan mengatasinya.

“Menang memang bagus tetapi anda mesti menang berdasarkan kebolehan sendiri bukan melumpuhkan pihak lawan,” kata beliau. Menang dengan cara sengaja melumpuh atau melemahkan lawan kata beliau tidak bermakna. “Anda mesti menang kerana anda benar-benar bagus”.

Seperti saya katakan tadi adalah wajar dihayati apa yang Mahathir huraikan.

“Kita mesti cari punca (insiden baling asid) dan cari siapa yang memulakannya (initiate it) dan mesti ambil tindakan (ke atas yang bertanggungjawab),” kata Mahathir. Pasti semua setuju dengan pendapat beliau.

Dalam pada itu peguam Selangor FC, Mohd Haijan Omar, dipetik Bernama berkata Faisal tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kes tersebut sejak ditimpa serangan.

Kata Haijan, Kanun Tatacara Jenayah membenarkan pengadu untuk dimaklumkan tentang perkembangan kes, dan “seperti kita tahu kes ini telah berlarutan selama lebih sebulan dan kita berhak untuk diberitahu.”

Lantas kata beliau lagi pihaknya akan menulis kepada polis untuk mendapatkan perkembangan terkini kes dan polis mempunyai masa dua minggu untuk memaklumkan kepadanya.

“Sama ada perkembangan kes boleh diberitahu kepada orang ramai terpulang kepada keadaan tetapi sudah tentu kami akan lakukan apa yang perlu,” katanya.

Apa pun Haijan percaya kredibiliti dan profesionalisme polis dalam menjalankan tugas untuk memastikan pesalah dibawa ke muka pengadilan.

Sesungguhnya itulah yang negara mahu di samping mahu tahu adakah pelaku jenayah bertindak sendirian atau ada yang initiate (meminjam istilah Mahathir), dan mengapa Faisal diserang. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.