`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, June 20, 2024

Kalau sahmura peminatnya harus badarsila

 

Free Malaysia Today

Tidak ada siapa pun akan mengatakan bahawa mudah untuk awak menyusuri jalan dan denai kehidupan hari ini. Di kiri kanan awak berpaling misalnya akan ada Zionisme. Terutama kalau awak berkecimpung dalam bidang seni, yakni seni apa pun. Dalam bidang kesusasteraan yang seharusnya murni dan manusiawi itu pun banyak sekali taburan jerangkap samar. Jika tiada waspada dan takwa, awak pasti terpijak periuk api ini. Tatkala ia meledak, awak akan terjerumus dan cacat buat selama-lamanya. Manakala dalam sektor hiburan, bom tersorok ini ada merata-rata.

Justeru yang diperlukan ialah satu panduan kendiri.

Panduan kendiri itu tidaklah sesusah mana untuk dipatuhi. Misalnya, katakan awak seorang penyanyi yang memperjuangkan lagu-lagu irama Nusantara. Di situ masyarakat akan menyangkakan awak ingin membumikan muzik lokal. Iaitu dengan cara menumbuhkan irama mandiri, dan memerdekakan bangsa dari pasungan dan penaklukan lagu dan irama Barat yang liar dan hanya di tahap emosi. Justeru yang menjadi identiti muzik awak adalah ketimuran atau kewatanan itu. Jika itu pegangan awak dari awal, maka silalah hindari produser, komposer, rakan duet, dan pemuzik dari Barat. Ia pasti tidak menyumbang kepada sikap awak itu. Jadi awak tidak akan terhegeh-hegeh misalnya mengharapkan satu karya lagu dari Barat untuk dinyanyikan, meskipun itu bermakna awak tidak akan ke Anugerah Grammy. Ini kerana ukuran kejayaan dan kelestarian dan kemasyhuran awak itu bukan pada Grammy.

Jika awak seorang pengarah filem yang melawan mesej imperialisme dalam karya, ada kebarangkalian yang sangat besar awak tidak akan menjadi rakyat Malaysia kedua meraih Oscar sesudah Michelle Yeoh. Memang begitulah hukum alam. Awak tidak perlu pun berasa hampa, atau kecewa. Ini kerana pengiktirafan Barat sama sekali bukan perhitungan. Itulah sebabnya saya sebutkan, jalan paling banyak jerangkap samar adalah jalan kesenian dan kebudayaan. Awak seibarat meniti tali nipis, dan di bawah nun sana ada gaung dengan api menyala merumba.

Dalam bidang kesenian yang lebih menjurus kepada kesusasteraan, jerangkap ini lebih menjerat. Kebanyakan penerbit atau ejen sasterawan di luar negara sangat berhati-hati agar tidak terlalu Palestin, bahkan tidak terlalu mengeji Israel. Lihat sahaja pengarang negara kita yang menulis dalam bahasa Inggeris dan menetap di luar negara. Mereka diam seribu bahasa akan keadaan menimpa Palestin tetapi melenting bersuara sebaik ada isu negara yang ternampak relevan untuk disahut. Mereka mengarang perihal pembunuhan minoriti di masa lalu tetapi gagal melihat pembunuhan minoriti di masa kini. Jadi kemanusiaan itu bukan sekadar di atas kertas. Harus terzahir dengan sikap.

Ada penyair dan eseis Indonesia yang bercakap-cakap perihal kemanusiaan misalnya rupa-rupanya memang pro-Zionis. Lihat pula Arundhati Roy yang cekal bising mengenai nasib Kashmir dan Palestin. Dia bakal dihadapkan di mahkamah Narendra Modi. Bei Dao, penyair besar Hong Kong yang saban tahun dicalon Hadiah Nobel mungkin tidak akan tersangkut sama sekali anugerah hebat itu, kerana dia pernah melawat Palestin, melawan Israel, dan menulis puisinya yang tersohor berjudul Ramallah itu.

Jika awak kekal berpendirian sedemikian, nama awak akan lebih besar dari Grammy, mahupun Oscar, atau Booker-Nobel. Lagipun, apalah sangat puji pujaan dunia materi. Sebab sudahnya kita semua mati dan awak mahupun saya akan menjadi tanah. Akhirnya kita semua manusia menginginkan pengiktirafan langit. Itulah sebabnya ia sukar. Sebab pengiktirafan bumi itu nampak pasti dan ada untuk dipegang. Manakala pengiktirafan langit itu jauh dan terlalu masa hadapan.

Inilah dilema untuk kebanyakan artis, seniman dan budayawan. Jadi itulah panduan kendiri yang saya katakan tidaklah sesusah mana pun untuk awak patuhi. Jadi jika memang katakan awak penyanyi yang ingin mengangkat muzik mandiri, atau katakanlah irama Nusantara maka bersiaplah untuk menempuh jalan ini, tanpa memerlukan komposer atau pemuzik Barat untuk menjayakan cita-cita murni awak itu.

Antara yang boleh dijadikan pedoman untuk awak tentulah seniman agung P Ramlee yang mana dengan hanya 200 buah lagu dia mencapai makam maestro. Sedang M Nasir perlu mencapai 3,000 buah lagu untuk tiba ke titik yang sama. Jadinya cabaran kita semua berbeza. Jika awak bukan komposer contohnya, awak kekallah menyanyikan lagu-lagu yang mengangkat aspirasi dan jiwa masyarakat. Menjadi tetuang masyarakat.

Untuk seorang seniman ada beberapa pra syarat yang harus ada untuk awak tiba ke julangan yang hebat sepertinya P Ramlee.

Pertama, lingkungan yang membantu. Justeru awak memerlukan penasihat yang tahu arah. Apabila saya katakan tahu arah, penasihat itu mesti menentukan nasib awak apabila sudah mencapai satu tahap tepu. Untuk seniman mendapat arah itu awak harus menempuh 30 tahun. Sepuluh tahun pertama ialah untuk awak memperkenal diri. Sedang 10 tahun kedua adalah untuk awak menempatkan diri. Antara dua dekad ini akan ada cabaran dan bisa yang membuatkan awak tegal biasa. Sepuluh tahun ketiga ialah apabila awak perlu mencipta jati diri. Inilah tahapan paling getir kerana ia akan menentukan kelestarian awak jika ditakdirkan kelak hidup panjang. Misalnya, awak perlu cakap serupa bikin. Atau, awak perlu menepis menolak godaan untuk merombak identiti yang sedang dibentuk. Jadi kalau awak memperjuangkan muzik Timur katakan, calit dan pesona Barat pasti tidak menghiburkan.

Jika awak bernasib baik menempuh dekad keempat dalam kerjaya sebagai seniman, itu adalah dekad untuk memastikan awak kekal didengari, ditonton atau dibaca. Untuk ini ditempuh, awak memerlukan penasihat yang budiman. Yang memandu jihat. Penasihat itu boleh jadi seorang, boleh pula jadi ramai. Ia boleh jadi pengurus, pasangan suami atau isteri, atau ramai penasihat yakni rakan-rakan seniman yang hatinya kama dan penuh ikhlas. Susah juga nampaknya mencapai prasyarat ini.

Kedua, jika awak ingin tiba ke julangan hebat itu ialah, awak memerlukan audien, yakni khalayak yang menghidupkan aspirasi ini. Jika cita-cita awak adalah untuk menghidupkan irama Nusantara, atau Oriental maka awak memerlukan kumpulan pendengar dan peminat yang tahap kognitifnya sama. Pengekor dan peminat karya P Ramlee yang kekal menghidupkan nama dan kerjanya turun-temurun itu sebetulnya memahami apa yang ingin P Ramlee lakukan. Itulah sebabnya karya almarhum kekal ditekuni dan ditafsirkan. P Ramlee itu purnama yang dirindui. Malah ada yang karyanya ditafsirkan sebagai menghantar mesej anti-Israel (dengan rujukan Hitler suka tidak suka; atau sindiran Yahudi mabuk) dalam pelbagai filem.

Saya perhatikan dalam kalangan seniman muzik, M Nasir mempunyai kumpulan khalayak seumpama ini yang akan memastikan khazanah dan falsafah muzik beliau segar sampai bila-bila. Jadi, membangunkan peminat dan pengikut yang pandai itu juga maha penting. Jika awak sebagai seniman begitu sahmura (permata), awak sendiri yang harus bijak lagi arif mewarnai mereka yang di bawah sana sebagai peminat. Ini kerana peminat itu badarsila (kain putih) lagi nirmala. Mereka kain putih suci yang boleh dicorakkan. Jika awak menggulakan mereka hanya sebagai sanggar pentaasub maka percayalah mereka akan menjadi bukan pelampau biasa; mereka yang melilau sesat menyalak mengaum tanpa turath budaya. Padahal yang awak perlukan adalah peminat yang memastikan arah jalan seni awak itu lurus. Yang boleh menunjukkan kesilapan awak keegoan awak.

Itu sebab seniman perlu bersyukur mendapat pembaca, pendengar atau penonton pandai. Nauzubillah kita sebagai seniman beroleh peminat bebal.

Jika dua prasyarat di atas sudah ada, lainnya adalah takdir. Yang dua itu kita namai ia sebab akibat. Yang lain-lain itu kerja ya maulai Tuanku Tuhan Yang Maha Mencipta. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.