`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, June 19, 2024

Mengapa dan kenapa tak ‘pre-empt?’

 

Mohsin Abdullah

Beberapa hari selepas perdana menteri mengumumkan langkah penyasaran subsidi diesel, muncul di platform media sosial dan aplikasi penghantaran pesanan satu video yang memaparkan Mahathir Mohamad, Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob bercakap mengenai betapa pentingnya buat negara, subsidi bersasar khususnya membabitkan minyak.

Keempat-empatnya bercakap semasa masing-masing memegang jawatan perdana menteri dan senada berpendapat subsidi ‘asal’ minyak atau yang sedia ada (Mahathir guna istilah subsidi ‘lama’) banyak ketirisan dan kerugiannya, tidak adil kerana memberi lebih faedah kepada orang kaya daripada golongan berpendapatan rendah. Mahathir beri contoh pemilik Rolls Royce turut mendapat subsidi minyak manakala Najib membandingkan penunggang ‘kapcai’ dengan orang berkereta besar. Lalu beliau dengan jelas berkata ‘subsidi bersasar lebih besar manfaatnya’. Ismail pula berkata ‘(sudah) beberapa kerajaan tapi sampai sekarang belum dapat dilaksanakan’ lantas kata beliau kerajaan pimpinannya ‘telah dan sedang merangka subsidi bersasar’.

Di penghujung video muncul Anwar Ibrahim, ‘obviously’ selepas satu mesyuarat Kabinet berkata “pagi tadi Jemaah Menteri telah bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api”. Tertera di atas video tersebut perkataan ‘semua PM sembang subsidi bersasar hanya Anwar ada keberanian political will’.

Mungkin ada benarnya kata-kata itu tetapi setuju atau tidak terpulang pandangan masing-masing. Pada hemat saya video itu bukan suatu rekaan. Ia memaparkan apa yang sememangnya pernah disuarakan empat PM sebelum PMX. Bukan keterlaluan jika saya kata video itu dihasil atau diterbitkan penyokong Anwar.

Pada hemat saya juga video itu atau kandungannya, ertinya kenyataan empat perdana menteri yang disebut tadi seharusnya dihebahkan oleh ‘Team Anwar’ sebelum bos mereka membuat pengumuman mengenai subsidi bersasar diesel. Lebih baik diuar-uarkan sebelum pengumuman Anwar dibuat.

Mengapa? Untuk menumpulkan serangan ke atas Anwar sendiri dan kerajaan Madaninya berhubung pelaksanaan subsidi bersasar. Maksud saya ‘Team Anwar’ melakukan ‘pre-empt’ move? Takkan tidak boleh menjangka pelaksanaan subsidi bersasar akan diguna golongan bukan peminat Anwar bagi membelasahnya? Juga akan dikritik keras rakyat? Sekurang-kurangnya ramai rakyat.

Anwar ada dipetik media berkata semua perdana menteri pada masa lalu bersetuju akan keperluan melaksanakan rasionalisasi subsidi ‘tetapi tiada tekad politik’ untuk melakukannya kerana ia bukan keputusan popular.

Ada menteri tampil berkata ‘hanya Anwar sanggup (hadapi)risiko untuk melakukan reformasi penyasaran subsidi diesel yang amat penting untuk masa depan negara’.

Tetapi itu semua dilakukan setelah kerajaan dan terutama Anwar dihentam keras pelbagai pihak. Pada hari beliau membuat pengumuman penyasaran subsidi diesel, ada pihak termasuk kenalan saya yang tahu apa itu subsidi bersasar membuat posting di Facebook untuk memberitahu khalayak ‘diesel di Semenanjung naik RM1.20 seliter kepada RM3.35 mulai tengah malam ini’. Ada yang berbunyi ‘formula ekonomi fail last-last naikkan harga diesel’. Tidak ada ulasan atau komen tetapi rasanya boleh faham apa yang tersirat.

Sejurus kemudian pentas media sosial ‘dihujani’ pendapat orang ‘biasa’ termasuk kenalan dan kawan saya. Semuanya mengecam dan menyindir siap dengan pantun yang meramalkan kenaikan harga minyak petrol akan menyusul.

Bagi saya langkah Anwar dan menterinya menangkis serangan agak terlambat kerana ‘damage has been done’. Pun begitu ada yang memberi semangat. Antaranya Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang menggesa kerajaan jangan ‘u-turn’ penyasaran subsidi diesel. Kata Presiden Mohideen Abdul Kader pemimpin kerajaan mesti teguh dengan ‘dasar yang akan memberi manfaat kepada negara dalam jangka panjang walaupun ia mungkin tidak popular ketika ini’.

Kata ahli ekonomi pula seperti dilapor FMT baru-baru ini pelaksanaan penyasaran subsidi membawa Malaysia kepada peningkatan kredit atau pacu rating kredit negara memandangkan kerajaan ‘serius melakukan reform ekonomi dan penyatuan fiskal’.

Ada data menunjukkan Malaysia sedang menikmati pertumbuhan ekonomi. Dilaporkan ekonomi negara berkembang kepada 3.7% dalam tahun 2023 dan dijangka berkembang ‘steadily’ 4 atau 5% tahun ini.

Bulan lalu Bank Negara mengumumkan ekonomi berkembang 4.2% pada suku pertama tahun ini melonjak daripada 2.9% tahun lalu. Keluaran dalam negara kasar atau GDP pula meningkat 5.6%.

Perlu dinyatakan itu pencapaian yang belum mengambil kira ‘keuntungan’ atau ‘penjimatan’ hasil langkah subsidi bersasar diesel.

Walaupun semua itu positif, kaji selidik dijalankan Mei lalu oleh Ipsos Malaysia, firma penyelidikan pasaran menunjukkan tujuh dalam 10 rakyat Malaysia atau 68% yang disurvei merasakan negara sedang mengalami kemelesetan.

Ada kawan yang bertanya jika ekonomi baik mengapa rakyat tak merasakan nikmatnya? Tanya seorang kawan (dan ini berhubung penurunan harga telur yang diumum Anwar tempoh hari) ‘harga roti telur turun tak?’

Malay Mail memetik ahli ekonomi mencadangkan kerajaan merangka strategi komunikasi supaya mesej mengenai rasionalisasi bahan bakar benar-benar difahami setiap rakyat di samping menunjukkan kepada mereka di mana penjimatan hasil subsidi bersasar akan dibelanjakan dan jumlah pendapatan yang dijangka. Pendekkan cerita yang panjang rakyat mesti tahu dan rasa hasil langkah subsidi bersasar.

Panjang lebar huraian Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd. Saya setuju saranan beliau. Cuma ingin menambah strategi komunikasi yang beliau cadangkan itu mesti membabitkan orang berkecuali dan berwibawa yang diyakini rakyat. Bukan sesiapa yang diragui dan dianggap memihak walaupun mungkin orang itu ‘brilliant’.

Sebenarnya kerajaan sudah ada bermacam pasukan komunikasi. Mungkin tidak berkesan sehingga ketua ahli ekonomi sebuah bank terkenal di Malaysia menyarankan apa yang beliau saran.

Seperkara lagi. Saya ulangi di samping strategi komunikasi yang disebut tadi ‘team PMX’ mesti pantas bertindak sebelum sesuatu perkara menjadi atau dijadikan isu. Kena fikir dua langkah ke hadapan. Tak perlu jadi ahli nujum untuk tahu apa yang akan meletup atau senang diletupkan. Saya ulangi kena bijak ambil langkah mendahului. ‘Pre-emptive move’. Jangan sampai nasi menjadi bubur. Kalau dah jadi bubur makan je dengan telur masin. Kan harga telur dah turun? Atau telur masin tak masuk senarai turun harga? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.