`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, June 11, 2024

Misi ajaib Kim Pan-gon

 

hishamuddin-aun

Angka-angka tidak berbohong dan berpandukan itu sahaja, harapan penyokong setia Harimau Malaya juga tidak akan mudah dibohongi. Memerlukan kemenangan tujuh gol ke atas Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) malam ini (sepak mula jam 9), ia akan menuntut keajaiban untuk skuad bimbingan Kim Pan-gon merealisasikan matlamat itu.

Selaku ketua jurulatih, harapan dan beban besar tergalas di bahunya. Sebarang kejayaan akan dikreditkan kepada seluruh pasukan – daripada pemain hinggalah kepada kakitangan yang membawa air minuman dan pembawa tuala mengelap muka. Sebaliknya, kegagalan pula akan dipersalahkan kepadanya seorang tanpa sesiapa yang lain boleh diharap untuk ambil tanggungjawab sama. Itu dah adat.

Sejurus terikat 1-1 dengan Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek 6 Jun lalu, jurulatih dari Korea Selatan itu mengungkapkan: “Ya, saya sedar Malaysia memerlukan jumlah jaringan yang besar. Kamu (Kyrgyzstan) ada kelebihan 8 gol. Kami akan cuba menjaringkan lebih 8 gol di Bukit Jalil (lawan Chinese Taipei). Kami juga ada kelebihan di laman sendiri. Jangan lupa bahawa kamu bolos 4 gol di sana.”

Daripada kata-katanya itu sahaja, kerabat bola sepak Malaysia – daripada penulis, pengulas, bekas pemain hinggalah kepada sebilangan pengkritik – terbawa-bawa dengan angan-angan bahawa ia mampu dilakukan meskipun sukar. Mereka semua seperti dirasuk oleh semangat Pan-gon yang menyeru segala kudrat dan keyakinan untuk Harimau Malaya ‘mengamuk’ di SNBJ, lantas menguar-uarkan apa yang dilihat bertepatan kerana sebarang pandangan berlawanan dikhuatiri akan dianggap tidak patriotik pula.

Tambahan, Harimau Malaya masih mampu membawa pulang satu mata dari Bishkek tanpa pilihan utama di barisan serangannya — Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Darren Lok, Syafiq Ahmad dan Romel Morales diketepikan kerana cedera — di samping ketiadaan penjaga gol utama, Syihan Hazmi Mohamed. Mujur kerana keputusan seri itu juga, Harimau Malaya masih bernyawa. Jika kekalahan ditempa di sana, pertemuan dengan Chinese Taipei tidak lebih sekadar melengkapkan jadual.

Selepas empat perlawanan, Malaysia berada di tangga ketiga Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu dengan tujuh mata sementara Oman mendahului dengan 12 mata, diikuti Kyrgyzstan dengan 10 mata manakala Taiwan tercorot tanpa mata. Selain itu, Kyrgyzstan memiliki kelebihan perbezaan jaringan +6 manakala Malaysia -2. Diandaikan Kyrgyzstan akan tewas dua gol kepada Oman, Malaysia memerlukan kemenangan tujuh gol untuk memintas.

Pan-gon juga bersandarkan kepada ‘magis’ SBNJ yang dikatakannya tidak mudah untuk pelawat. Magis dimaksudkannya hanya boleh dirujuk kepada pertemuan dengan Kyrgyzstan pada 16 Nov 2023 apabila Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk kesudahannya menang 4-3 pada minit terakhir. Sebaliknya, tidak banyak boleh dibanggakan daripada kekalahan 0-2 kepada Oman pada 26 Mac ketika mereka dilihat kurang bermaya.

Statistik perlawanan dengan Kyrgyzstan di SNBJ itu menunjukkan Malaysia melakukan 12 percubaan, dengan lima tepat ke sasaran untuk meraih empat gol manakala pertemuan dengan Oman merekodkan 8-4-0. Ketika mengukir kemenangan 1-0 di Stadium Perbandaran Taipei pada 21 Nov 2023, Harimau Malaya membuat 21 percubaan namun hanya lapan yang tepat untuk meraih satu gol.

Untuk mendapatkan tujuh gol ke atas Chinese Taipei malam ini, berapa percubaan yang perlu dilakukan?

Bagi menampung keperluan mendesak di barisan serangan, Pan-gon memanggil kapten Sri Pahang FC Sergio Aguero sebagai pilihan tambahan kepada trio penggempur Dion Cools, Akhyar Rashid, dan Paulo Josue ketika di Bishkek. Masalahnya Aguero kali terakhir menyarung jersi Harimau Malaya pada Pestabola Merdeka 2023.

Juga buat Pan-gon, bukan semua berada dalam tangannya. Selain kemenangan besar ke atas Chinese Taipei, Malaysia juga harus menagih ihsan untuk Oman menundukkan Kyrgyzstan dengan dua gol di Muscat pada tengah malam yang sama. Advantage bagi Kyrgyzstan ialah mereka akan turun beraksi selepas mengetahui keputusan di Bukit Jalil.

Perbandingan di atas kertas menyerlahkan perbezaan ketara — Malaysia di tangga ke-133 dunia sambil Chinese Taipei turun dua anak tangga untuk menghuni 161 dunia gara-gara kekalahan kepada Oman tempoh hari. Anak didik Gary White itu masih ketiadaan mata selepas lima perlawanan dan bolos 14 gol — 0-3 Oman, 0-1 Malaysia dan 0-2 Kyrgyzstan di tempat sendiri selain 1-5 Kyrgyzstan dan 0-3 Oman di tempat lawan.

Cuma jika diperhatikan paling banyak mereka melepaskan gol ialah lima di Kyrgyzstan. Apakah mereka akan merelakan ditembusi sehingga tujuh kali di SNBJ?

“Persiapan kami amat bagus sejak berada di sini. Latihan kami hanya beberapa hari, namun kami datang ke sini untuk melakukan sejarah. Kami belum lagi mengutip mata, jadi kami menyimpan hasrat untuk melakukannya,” kata White yang pasukannya diperkuatkan oleh tiga pemain naturalisasi — seorang di pertahanan dan dua di barisan depan — selain pemanggilan beberapa pemain muda.

“Semua jurulatih datang ke sini untuk menang tetapi realitinya sukar. Kita akan menguasai sebahagian besar perlawanan esok (Selasa) kerana aksi ini penting. Kita masih ada harapan dan sasaran, jadi sukar untuk Chinese Taipei,” kata Pan-gon pada sidang media di Wisma FAM. Tiga mata lagi malam ini akan melebarkan rekod kemenangannya bersama Malaysia kepada 20 perlawanan sejak mengambil alih pasukan pada 2022.

“Pemain telah tunjukkan bahawa kita boleh bersaing dengan pasukan di ranking ke-100 Kyrgyzstan di tempat lawan. Kita banyak mencipta peluang berbanding pasukan lawan. Pada saya, tanpa beberapa pemain utama tidak penting, kita ada pemain lain yang juga bagus. Ia sudah mencukupi untuk saya,” tambahnya.

Harapannya ialah agar penyokong akan memenuhi ruang tempat duduk di SNBJ bagi memuncakkan semangat pemain-pemain Harimau Malaya menyempurnakan satu misi yang dilihat hampir mustahil. Kementerian Belia dan Sukan bersama Jabatan Belia dan Sukan Negara pula akan menyediakan tayangan skrin besar di 14 lokasi terpilih untuk penyokong mengikuti siaran langsung perlawanan.

Pan-gon harus bersandar kepada tiga momen magis, didahului oleh kejayaan mengalahkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di SNBJ pada 14 Jun 2022 untuk menamatkan penantian 42 tahun layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit, dituruti oleh kebangkitan ketika menundukkan Kyrgyzstan dan kejayaan mengikat Korea Selatan 3-3 dalam Kumpulan E Piala Asia di Qatar pada 25 Jan lalu.

Dorongan semangat daripada Faisal Halim — penjaring gol cemerlang ketika seri 3-3 dengan Korea — atau mungkin kehadirannya di stadium selepas semakin pulih daripada kecederaan simbahan asid pada 5 Mei lalu mungkin suntikan motivasi yang dicari-cari pemain untuk mencipta satu lagi sejarah malam ini.

Jika disorot, Harimau Malaya berada dalam kedudukan sukar ketika ini disebabkan dua kekalahan berturut-turut 0-2 kepada Oman di tempat lawan pada 22 Mac dan di SNBJ pada 26 Mac ketika persiapan ala kadar dipersalahkan kepada pemain ketiadaan perlawanan berkualiti di luar musim liga domestik manakala aksi pemanas badan yang diharapkan di Timur Tengah gagal didapatkan.

Nasib menyaksikan Harimau Malaysia masih bernyawa sejauh ini tetapi ia akan memerlukan lebih daripada nasib semata-mata untuk mereka mara ke pusingan ketiga. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.