`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, June 18, 2024

Perpecahan dorong Bersatu kekal Muhyiddin sebagai presiden, kata sumber

 

Free Malaysia Today
Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada 7 Jun lalu memutuskan Muhyiddin Yassin kekal sebagai presiden.

PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin sudah lama berhasrat untuk berundur sebagai presiden Bersatu namun terbantut kerana perpecahan dalaman parti yang mungkin makin parah menjelang pemilihan Oktober depan, menurut sumber.

Pemimpin parti yang enggan dikenali itu berkata, ia antara faktor mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) 7 Jun lalu memutuskan untuk mengekalkannya sebagai presiden sejak parti ditubuhkan pada 2017.

Dakwanya, perpecahan Bersatu kepada beberapa kem bukan lagi rahsia umum dan dibimbangi menjejaskan peluangnya serta Perikatan Nasional (PN) pada PRU16, terutama dengan kelebihan sokongan pengundi Melayu.

Difahamkan kem itu membabitkan kumpulan penyokong Ahmad Faizal Azumu (timbalan presiden), Hamzah Zainudin (setiausaha agung) dan Azmin Ali (ahli MPT).

“Sebenarnya Tan Sri (Muhyiddin) nak pencen dah, kalau ‘anak-anak’ berpakat elok, beliau boleh lepaskan. Ini kem banyak sangat, beliau perlu kekal elakkan parti hancur,” katanya kepada FMT.

“Jika dibiarkan jawatan nombor satu itu dipertandingkan, makin karamlah Bersatu dan bila presiden (Muhyiddin) masih di situ, boleh ‘malu alah’ kalau berlawan.”

Pada 23 Nov lalu, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi presiden namun membuat ‘pusingan U’ 24 jam kemudiannya selepas dipujuk isterinya Noorainee Abdul Rahman untuk kekal sepenggal lagi.

Selain mengekalkan kedudukan Muhyiddin, mesyuarat MPT juga memutuskan ahli bertanding jawatan selain presiden perlu memohon kepadanya, yang dilihat pemerhati politik membuka ruang ramai menawarkan diri kerana tiada lagi syarat khusus.

Mengikut peraturan semasa, hanya ahli memegang jawatan ketua bahagian atau MPT selama lengkap dua penggal berhak bertanding lima jawatan tertinggi. Keadaan itu memberi kesan kepada Hamzah dan Azmin yang menyertai parti itu selepas PRU 2018.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata keputusan Bersatu tidak membuka pertandingan bagi jawatan presiden adalah pilihan terbaik yang perlu diambil parti itu ketika ini.

“Dengan andaian wujud ruang yang menjadikan pemilihan kali ini lebih panas, kompromi mengekalkan jawatan presiden tidak dipertandingkan adalah bagi mengimbangi dan mengelakkan perpecahan dalaman lebih parah dalam Bersatu,” katanya.

Selain itu, kata beliau, Muhyiddin perlu kekal sebagai nakhoda Bersatu dalam usaha mengimbangi tekanan daripada PAS yang mempunyai jumlah kerusi lebih banyak.

“Dengan jumlah kerusi yang kurang daripada PAS, tetapi parti berkenaan menjadi teraju kepada PN atas kelebihan yang ada pada Muhyiddin,” katanya.

Pada PRU15, PAS menang di 43 Parlimen manakala Bersatu mempunyai 30 kerusi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.