
Setiausaha Kerja Umno Mohd Sumali Reduan, berkata dalam rekod Umno sejak April 2015, tiada sebarang aduan, bantahan atau tuntutan diterima parti itu berkenaan dengan penerimaan RM16 juta tersebut.
“Hanya selepas lebih enam tahun, tuntutan ini dibuat terhadap Umno oleh plaintif-plaintif yang mendakwa bahawa RM16 juta itu diserahkan kepada Umno secara salah dan penipuan (fraud) akibat pelanggaran kewajipan dan pecah amanah oleh bekas pengarah-pengarah plaintif-plaintif,” kata saksi defendan itu mewakili Umno, menurut Bernama.
Beliau berkata demikian menerusi pernyataan saksinya pada perbicaraan kes saman difailkan SRC International Sdn Bhd dan dua anak syarikatnya – Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd (JPSB) terhadap Umno dan Umno Selangor pada Mei 2021.
Menurut Sumali, plaintif-plaintif dan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), termasuk pengarah-pengarahnya atau wakil-wakilnya, juga tidak pernah hadir atau terlibat dalam setiap aktiviti dan program yang telah dianjurkan dan dilaksanakan Umno.
“Dalam rekod Umno, tidak ada sebarang surat-menyurat antara plaintif-plaintif atau IPSB dengan Umno. Oleh itu, RM16 juta itu kekal sebagai derma atau sumbangan kepada Umno.
“Atas alasan ini, Umno tidak ada sebab untuk meragui atau mengkhuatiri derma dan sumbangan yang diterima daripada JPSB, yang mana Umno juga menerima derma dan sumbangan daripada pelbagai pertubuhan korporat lain sebelum ini,” jelasnya.
Sumali berkata, Umno juga tidak langsung mempunyai pengetahuan RM16 juta berkenaan diserahkan kepada Umno bagi tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerana perkara itu tidak pernah dimaklumkan kepada Umno dan tidak dicatat di mana-mana surat-menyurat atau dokumen dalaman Umno.
“Derma dan sumbangan yang diterima daripada JPSB ini pada April 2015 telah pun dibelanjakan oleh Umno bagi penganjuran dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti serta program amal dan kebajikan untuk rakyat.
“Adalah jelas, tuntutan plaintif-plaintif sebenarnya adalah terhadap bekas pengarah-pengarahnya dan IPSB, bukannya Umno,” katanya.
Pada prosiding hari ini, peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili Umno, manakala plaintif diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli.
Dalam saman terhadap Umno, plaintif menuntut RM16 juta, yang mereka dakwa telah dipindahkan secara salah kepada parti politik itu dengan menegaskan bahawa Umno tidak mempunyai asas untuk menerima dana itu.
Saman kedua melibatkan tuntutan RM3.5 juta terhadap Umno Selangor yang juga didakwa telah menerima dana tersebut.
Perbicaraan di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.