`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Saturday, December 27, 2025

Agrobank jadi akaun rasmi kutipan infaq di NS

Turut dilancarkan Dana Infaq Masjid Negeri bagi pembangunan dan pemerkasaan institusi serta rumah ibadat itu.

Aminuddin harun
Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun (tiga dari kiri) menyempurnakan majlis perjanjian persefahaman antara Agrobank dan Majlis Agama Negeri Sembilan (MAINS). (Gambar Agrobank)
PETALING JAYA:
 Agrobank memeterai kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bagi menjadikan akaun bank itu sebagai saluran rasmi kutipan infaq di negeri itu.

Majlis pertukaran perjanjian persefahaman disaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun di Negeri Sembilan, hari ini.

Agrobank diwakili Ketua Pegawai Perniagaan Syed Hairul Anuar Syed Fadzil manakala MAINS oleh Pengerusinya Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata sebagai institusi perbankan patuh Syariah, pihaknya komited menyokong pembangunan sosioekonomi ummah serta memperkasa pengurusan dana kebajikan Islam.

“Penggunaan akaun Agrobank sebagai akaun rasmi kutipan infaq ini mencerminkan kepercayaan diberikan kepada Agrobank dalam menguruskan dana awam secara profesional, telus dan berintegriti.

“Dana sosial Islam bukan sahaja terhad kepada zakat dan wakaf semata-mata, malah turut merangkumi instrumen lain seperti infaq yang berperanan penting dalam menyokong keperluan komuniti serta kepentingan awam,” katanya.

Beliau turut menjelaskan tujuan penubuhan Dana Infaq Masjid Negeri Sembilan dilancarkan pada majlis itu.

“Ia akan dimanfaatkan khusus bagi pembangunan dan pemerkasaan institusi masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata kerjasama MAINS dan Agrobank berkenaan dapat menyalurkan saluran pembayaran yang mudah, selamat dan efisien termasuk kaedah digital dan perbankan moden.

“Saya yakin langkah ini akan meningkatkan penyertaan masyarakat serta memperkukuh keyakinan orang ramai terhadap tadbir urus dan pengurusan dana infaq dilaksanakan secara telus sert berakauntabiliti,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.