`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Thursday, October 1, 2026

118 pakej: Pengalaman perlu jadi nilai jual pelancongan Malaysia

 Cabaran sebenar juga untuk memastikan 118 pakej itu mudah ditempah, bernilai dan mampu menjana pulangan kepada komuniti tempatan.

tourist pelancong george town

Pelancaran 118 pakej dan itinerari berasaskan pengalaman oleh Tourism Malaysia memberi gambaran tentang perubahan yang semakin diperlukan dalam sektor pelancongan negara.

Malaysia tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada pantai yang cantik, pusat beli-belah, hotel atau senarai tempat menarik untuk memikat pelancong.

Persaingan pelancongan semakin sengit. Banyak destinasi lain juga menawarkan kemudahan dan tarikan yang hampir sama.

Justeru, apa yang boleh membezakan Malaysia ialah pengalaman yang sukar ditiru negara lain — makanan, budaya, kehidupan masyarakat setempat, hasil pertanian serta interaksi secara langsung dengan komuniti.

Itulah potensi yang cuba diketengahkan menerusi tiga inisiatif Tourism Malaysia, iaitu Edu+ 2.0, EatVenture dan Taste of Orchard.

Daripada keseluruhan 118 pakej itu, 29 diperkenalkan melalui Edu+ 2.0, 23 menerusi EatVenture dan 66 lagi di bawah Taste of Orchard.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, menyifatkan ketiga-tiga inisiatif itu sebagai produk pasaran khusus yang menyasarkan kumpulan pelancong tertentu, sama ada domestik mahupun antarabangsa.

Pendekatan seperti ini penting menjelang Kempen Melawat Malaysia 2026-2027 kerana pelancong perlu diberikan lebih banyak sebab bukan sahaja untuk datang ke Malaysia, tetapi tinggal lebih lama dan kembali semula.

Bukan sekadar lawatan kampus

Edu+ 2.0, misalnya, membuka peluang menjadikan pendidikan sebahagian daripada pengalaman melancong.

Program jangka pendek bagi pelajar antarabangsa boleh digunakan untuk memperkenalkan budaya dan warisan Malaysia sambil mewujudkan pertukaran budaya yang lebih bermakna.

Namun, pakej pendidikan tidak seharusnya berakhir dengan lawatan ke kampus atau beberapa aktiviti ringkas.

Ia perlu mempunyai hasil pembelajaran yang jelas, kandungan bersesuaian dengan umur peserta, pengurusan keselamatan yang baik serta kerjasama konsisten antara institusi pendidikan, agensi perjalanan dan pengendali destinasi.

Tanpa elemen itu, sukar untuk menjadikan pendidikan sebagai produk pelancongan yang benar-benar mempunyai nilai.

Makanan bukan sekadar untuk dimakan

EatVenture pula memanfaatkan satu daripada kekuatan terbesar Malaysia, iaitu makanan.

Namun, pelancongan gastronomi tidak seharusnya difahami sebagai membawa pelancong dari satu restoran ke restoran lain untuk makan.

Nilainya menjadi lebih tinggi apabila pelancong memahami cerita di sebalik sesuatu hidangan — dari mana bahannya diperoleh, bagaimana ia disediakan dan siapa yang mengekalkan tradisi tersebut.

Lawatan ke pasar, demonstrasi memasak, pertemuan dengan pengusaha tempatan atau peluang menyediakan sendiri hidangan boleh mengubah aktiviti makan menjadi pengalaman budaya.

Inilah jenis pengalaman yang boleh kekal dalam ingatan pelancong selepas mereka pulang.

Dari dusun kepada produk pelancongan

Taste of Orchard pula mempunyai potensi besar untuk memperkukuh agropelancongan.

Durian, harum manis, koko, gula apong, empurau dan nanas bukan sekadar hasil pertanian. Setiap satunya mempunyai identiti yang berkait rapat dengan tempat dan komuniti tertentu.

Jika dibangunkan dengan baik, lawatan ke dusun atau ladang boleh menghasilkan nilai ekonomi lebih besar daripada sekadar penjualan hasil pertanian.

Sebuah farmstay, misalnya, boleh menggabungkan pengalaman mempelajari penternakan ikan tilapia, mengurus kebun durian dan melihat demonstrasi penyediaan makanan tradisional.

Apabila lebih banyak aktiviti tersedia dalam satu kawasan, pelancong mempunyai sebab untuk tinggal lebih lama.

Perbelanjaan mereka pula boleh dinikmati bukan sahaja pemilik lokasi, tetapi pengusaha inap desa, petani, pemandu pelancong, pengusaha makanan dan perniagaan kecil setempat.

Namun, agropelancongan mempunyai cabaran tersendiri.

Musim buah, cuaca, kebersihan, keselamatan pengunjung, kapasiti ladang dan mutu penerangan kepada pelancong perlu diurus secara konsisten.

118 pakej belum tentu 118 produk berjaya

Dalam keterujaan memperkenalkan 118 pakej, satu perkara perlu diingat: kewujudan sesuatu produk tidak bermakna ia secara automatik akan mendapat permintaan.

Dalam industri pelancongan, mempunyai produk dan mempunyai produk yang boleh dijual adalah dua perkara berbeza.

Pakej yang baik perlu mudah ditemui, mudah difahami, mudah ditempah dan mudah dibayar.

Jika produk hanya menarik dalam bahan promosi tetapi pelancong sukar mendapatkan harga, jadual, kaedah pengangkutan atau saluran tempahan, potensi itu tidak akan bertukar menjadi jualan sebenar.

Setiap pakej perlu mempunyai maklumat jelas mengenai harga, tempoh program, kesesuaian peserta, bahasa digunakan, akses pengangkutan serta kaedah tempahan.

Kandungan digital juga perlu menunjukkan pengalaman sebenar yang bakal diperoleh pelancong, bukan sekadar gambar lokasi yang cantik.

Pelancong hari ini membuat keputusan dengan pantas berdasarkan video, ulasan pengguna dan kemudahan membuat tempahan.

Produk yang menarik tetapi rumit untuk dibeli boleh kehilangan pelanggan kepada pilihan lain yang lebih mudah.

Jangan korbankan keaslian

Kualiti turut perlu diberi perhatian, khususnya apabila pakej melibatkan komuniti tempatan.

Pelancongan berasaskan pengalaman sering dijual atas nama keaslian, tetapi keaslian tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan standard perkhidmatan.

Pengusaha tempatan memerlukan latihan dalam layanan pelanggan, penceritaan, keselamatan dan pengurusan aduan.

Pada masa sama, pengalaman yang ditawarkan juga tidak harus terlalu diseragamkan sehingga menghilangkan identiti tempatan yang menjadi sebab pelancong mahu datang.

Keseimbangan antara kualiti dan keaslian inilah yang perlu dijaga.

Ukur tempahan, bukan jumlah pakej

Menjelang Kempen Melawat Malaysia 2026-2027, kejayaan inisiatif seperti ini tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pakej yang dilancarkan semata-mata.

Ukuran lebih bermakna ialah berapa banyak tempahan yang diterima, berapa lama pelancong tinggal, berapa banyak mereka berbelanja, sama ada mereka datang semula dan sejauh mana wang dibelanjakan kekal dalam komuniti tempatan.

Kita juga perlu melihat sama ada pakej berkenaan berjaya membawa pelancong keluar daripada destinasi tradisional dan menyebarkan manfaat ekonomi ke kawasan lain.

Pelancaran Edu+ 2.0, EatVenture dan Taste of Orchard adalah langkah ke arah yang betul kerana ia mengubah tumpuan daripada sekadar menjual destinasi kepada menjual pengalaman.

Malaysia sememangnya mempunyai makanan, budaya, pertanian dan komuniti yang mempunyai identiti tersendiri.

Cabaran sebenar sekarang ialah mengubah kekayaan itu menjadi pengalaman yang sanggup dibayar pelancong dan pada masa sama memberi pulangan adil kepada komuniti.

Jika itu dapat dilakukan secara konsisten, Kempen Melawat Malaysia 2026-2027 bukan sahaja boleh membawa lebih ramai pelawat.

Ia boleh mengubah cara Malaysia menjual dirinya kepada dunia — daripada sekadar menawarkan tempat untuk dilihat kepada mencipta pengalaman yang membuatkan pelancong mahu tinggal lebih lama, berbelanja lebih banyak dan datang semula. - FMT

Penulis ialah pensyarah Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.