AHLI Umno di kubu kuat Isa Samad di Teluk Kemang, Negeri Sembilan, sebuah negeri tumpuan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti, masih merasakan pedih mengenang tempoh lima hari tahanan reman terhadapnya dan bagaimana beliau dibawa ke mahkamah dengan baju-T berwarna oren yang jadi seragam lokap.
Hancur luluh hati mereka melihat Isa, ketua Umno Bahagian Teluk Kemang yang juga pemimpin veteran parti, dilayan seperti seorang penjenayah.
Marah mereka sekarang pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan segelintir dalam Umno yang dipercayai bertanggungjawab sehingga Isa terhina.
Tetapi setakat ini, para pemimpin akar umbi belum lagi hendak berbuat apa-apa. Mereka menunggu Isa pulih daripada episod ini dan pulang ke Teluk Kemang untuk menceritakan kepada mereka apa yang sebenarnya terjadi dan apa yang patut mereka lakukan selepas ini.
Penyokongnya merasakan penahanan Isa tempoh hari tidak sedikit pun akan mencalarkan kedudukan Barisan Nasional dan Umno di negeri itu, selagi pemimpin veteran itu masih ada dalam pilihan raya nanti.
Selepas PRU13, BN mempunyai 22 kerusi dewan undangan negeri (DUN) Negeri Sembilan manakala pembangkang 14.
Ahli Umno Teluk Kemang, Halim Shah Abdul Rashid percaya penahanan Isa tidak akan memberikan apa-apa kesan dalam pilihan raya itu nanti.
“Orang akan tetap undi BN selagi Isa ada. Dia memang terkenal di kalangan rakyat. Rakyat suka dia sebab banyak membantu kebajikan mereka,” katanya.
Pandangannya dikongsi oleh dua lelaki Cina yang ditemui The Malaysian Insight sedang minum kopi di sebuah warung tepi jalan di Lukut.
Dalam Bahasa Melayu yang tersangkut-sangkut, buruh binaan Shoo Kho Kee, 68, berkata orang di Lukut sayang Isa kerana dia bukan menolong orang Melayu saja, tetapi semua orang.
Soo menyebut bagaimana Isa menolong dia dan 42 lagi penduduk di Batu 7, Jalan Seremban mendapatkan geran tanah.
“Saya ingat apa dia buat pada saya. Dia orang baik. Itu (Isa) cakap serupa bikin, yang lain tak serupa bikin,” katanya.
“Memang banyak yang dia buat, kita terima kasih pada dia lah, bukan Melayu saja yang dia bantu, Cina di sini pun banyak yang dia bantu.”
Kawannya, Hoo Toh Ming, 65, mencelah dan menceritakan bagaimana semasa Isa jadi menteri besar, beliau meluluskan pembinaan tokong Buddha di Lukut.
“Itu orang memang banyak bagus,” katanya.
Isa dilantik jadi menteri besar Negeri Sembilan pada 1982 dan memegang jawatan itu selama 22 tahun.
Isa yang kini pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) direman lima hari minggu lalu bagi membantu siasatan SPRM berhubung pembelian hotel oleh Felda Investment Corp (FIC) pada 2014.
Isa merupakan pengerusi Felda semasa pembelian itu dibuat.
Masalah Isa mula jadi desas-desus dalam Umno seawal 2014; kebanyakan rungutan ialah tentang bagaimana buruknya cara Felda diurus.
Di Teluk Kemang bagaimanapun, pemimpin akar umbi seperti Kamarudin Mohamad, 66, kecewa melihat dengan matanya sendiri seorang pemimpin yang beliau hormati diperlakukan seperti penjenayah.
“Saya memang ada di sana waktu beliau ditahan dan dibawa untuk dikenakan reman. Soalan awak itu bagaimana perasaan saya, sama macam keluarga kita yang kena tahan, isteri atau suami. Memang saya betul marah,” kata ahli jawatankuasa Umno Cawangan Lukut itu.
Kamarudin juga tidak puas hati apabila orang memandang Isa seperti orang salah walhal belum terbukti beliau bersalah.
Biar apa pun pandangan orang, bagi Kamarudin, Isa seorang pemimpin yang sebenar dan sebagai penyokong setia, mereka menunggu langkah Isa seterusnya.
“Isa seorang pemimpin Umno yang sangat popular di Negeri Sembilan. Mereka tak hendakkan dia. Inilah politik Umno,” katanya.
“Ada orang dalam Umno yang hendak menyingkirkan dia. Kenapa? Saya tak tahu.”
Ceritanya lagi, Isa yang dianggap sebagai hulubalang Umno ada pengaruh besar dan cukup dihormati dalam kalangan ahli akar umbi di Negeri Sembilan. Barangkali ini, katanya yang membuatkan ada orang kurang selesa.
“Kita memang dididik oleh Isa untuk sentiasa patuh dan jangan buat kacau. Dia tak nak pengikutnya masuk campur hal dia,” katanya, menambah itulah sebabnya ahli Umno di peringkat bawah hanya mendiamkan diri.
“Apa- apa pun kita akan tunggu Isa bagi arahan. Biar beliau berehat dulu dan kita akan tunggu sajalah amanat beliau.”
Isa memulakan karier politiknya ketika berumur dalam lingkungan 20-an dan sudah berkhidmat sebagai wakil rakyat di Jempol, Linggi dan Bagan Pinang, sebagai ADUN dan ahli Parlimen.
Seorang lagi ahli Umno akar umbi, Zainuddin Yaokob, 54, berpendapat Isa tidak sepatutnya dimalukan dan diaibkan sebegitu oleh SPRM.
“Memang kita rasa sedih dan tak puas hati, tak patut rasanya beliau diperlakukan begitu.
“Macam menghina beliau sedangkan beliau belum lagi dijatuhkan hukuman. Yang betulnya beliau hanya diminta untuk membantu siasatan,” katanya.
Bendahari Umno Cawangan Kampung Paya Baru itu memberitahu ahli akar umbi Umno Teluk Kemang yakin Isa tidak bersalah dan menyambut baik siasatan yang dijalankan oleh SPRM kerana itulah caranya untuk membuktikan seseorang itu tidak bersalah, sekali gus menghentikan tohmahan orang ramai.
Umno Bahagian Teluk Kemang mempunyai keahlian lebih kurang 13,000 orang dan kebanyakan mereka, menurut Zainuddin dan Kamarudin, 100% bersama Isa.
Bagi mereka, beliau seorang pemimpin sejati yang melayani rakyat dengan adil dan saksama.
– https://www.themalaysianinsight.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.