Apa yang Zahid Hamidi merepek ni?
Timbalan Perdana Menteri semalam mengingatkan pesara dan bakal pesara sektor awam agar sentiasa berterima kasih kepada kerajaan.
Mereka juga, katanya tidak harus melayan perasan tidak puas terhadap kerajaan kerana ia hanya akan menyebabkan hati diselubungi perasaan benci yang tiada noktahnya.
Janganlah menggigit tangan yang pernah beri kita makan, tambah beliau.
Apakah menjadi kesalahan bagi pesara, bakal pesara waima kakitangan kerajaan sekali pun untuk berbeza pendapat dan tidak mengundi parti yang menguasai kerajaan?
Siapa yang bertanding dalam pilihanraya – kerajaan atau parti-parti politik?
Jika parti politik yang bertanding dan kerajaan tidak bertanding, di mana salahnya bagi mereka untuk memilih atau memberi peluang kepada parti lain pula untuk mentadbir kerajaan, tambahan lagi jika parti yang menguasai kerajaan sedia ada sudah begitu celaru dan tidak boleh diharapkan lagi?
Ketika berkhidmat dengan kerajaan, memang kesetiaan perlu ada kepada kerajaan yang sedang memerintah, tetapi keadaannya berbeza ketika pilihanraya kerana kerajaan tidak bertanding, sebaliknya hanya parti politik yang meletakkan calon.
Ketika itu, baik pesara, bakal pesara atau kakitangan kerajaan sekali pun, mereka adalah bebas membuat pilihan.
Jika mereka membuat pilihan yang lain selain daripada parti yang sedang memerintah atau menguasai kerajaan, itu bukanlah bermakna mereka menggigit tangan yang pernah memberi mereka makan.
Mereka cuma menggunakan hak yang sah, dibenarkan dan halal di sisi undang-undang agar parti lain pula mentadbir kerajaan.
Hakikatnya, parti mana pun yang memerintah dan menang pilihanraya, kerajaan yang mewakili rakyat tetap wujud dan mereka yang menyumbang kepada peralihan itu tidak bererti mengkhianati kerajaan.
Mereka memang terhutang budi kepada kerajaan, tetapi tidak kepada parti yang menguasai kerajaan. Parti untuk membentuk kerajaan boleh ditukar ganti, tetapi kerajaan tetap wujud biar siapa pun yang menang pilihanraya.
Jadi, di mana logiknya Zahid Hamidi perlu mengingatkan pesara dan bakal pesara agar jangan menggigit tangan yang pernah memberi mereka makan?
Bahkan, bagi pesara atau bakal pesara yang diberi ingatan oleh Zahid Hamidi itu, sumbangan dan jasa mereka lebih bererti dan dihargai jika dapat sama-sama menyumbang kepada perubahan berikutan yang lebih penting untuk diselamatkan ialah masa depan negara ini.
Dengan parti dan pemimpin yang lebih baik, jujur dan tidak menyamun untuk kepentingan sendiri dipilih untuk menguasai kerajaan, masa depan negara dan generasi akan datang pasti akan lebih terbela.
Selepas kerajaan baru terbentuk, mereka boleh terus mencurahkan kesetiaan kepada kerajaan tersebut. Malah bagi pesara, mereka juga akan terus menikmati pencen seperti sediakala.
http://shahbudindotcom.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.