PEMBURUAN musuh politik oleh kerajaan kleptokrasi Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, telah bermula secara rasmi.
Banyak janji PRU 2013 tidak tertunai |
(Kleptokrasi daripada bahasa Greek kuno yang membawa maksud pemerintahan oleh pencuri iaitu kerajaan yang dipimpin oleh ketua yang rasuah yang menggunakan kuasa mereka untuk memperalatkan rakyat jelata dan sumber alam negara demi memperkayakan diri sendiri dan membolot kuasa. Lazimnya sistem ini melibatkan penggelapan wang tanpa mempedulikan kebajikan rakyat. “Rule by thieves”)[1][2] is a government with corrupt leaders (kleptocrats) that use their power to exploit the people and natural resources of their own territory in order to extend their personal wealth and political power. Typically this system involves embezzlement of funds at the expense of the wider population).
Kalau sebelum ini ia menggunakan propaganda politik dan putar-belit media terkawal, sekarang ia menggunakan kaedah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pula. RCI pertama adalah untuk menyiasat kerugian perniagaan mata wang (forex) Bank Negara pada tahun 1980-an.
Bank Negara rugi AS$10 bilion. Waktu itu kadar tukaran ringgit ialah sekitar RM2.5 bagi satu dolar Amerika. Perniagaan itu bertujuan mempertahankan nilai ringgit dengan menggunakan beberapa mata wang Eropah khususnya pound Inggeris dan mark Jerman.
Kecenderungan ke arah “witch hunting” (memburu ahli sihir) ini menjadi lebih nyata apabila Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan bersedia menimbangkan kemungkinan menubuhkan RCI bagi peristiwa Memali.
Saya rasa RCI Memali adalah baik untuk memahami bagaimana radikalisme, keganasan dan kultus (cult) boleh tercetus akibat dakwah songsang seperti perbuatan PAS mengkafirkan ahli dan penyokong Umno mulai PRU 1969 yang kemudiannya dimaktubkan menjadi doktrin dalam bentuk Amanat Haji Hadi tahun 1981.
Janji Tidak Ditepati
Nampaknya RCI adalah cara terbaru kerajaan kleptokrasi menakut-nakutkan rakyat jelata dan pada masa yang sama mengalih perhatian masyarakat daripada isu-isu pokok seperti kos sara hidup yang melambung akibat GST dan kejatuhan nilai ringgit, pemotongan peruntukan kesihatan dan pendidikan yang amat menyusahkan rakyat jelata, pengangguran yang semakin meningkat, khususnya di kalangan siswazah, skandal 1MDB, skandal Felda-FGV, Tabung Haji, KWSP, KWAP dan skandal-skandal lain yang menunggu untuk didedahkan.
Kerajaan kleptokrasi tajaan Umno/BN menjadi semakin terdesak dengan menjelangnya pilihan raya umum ke-14. Apa tidaknya. Boleh dikatakan semua janji utama dalam manifesto PRU 2013 bukan sahaja gagal dipenuhi sebaliknya yang bertentangan berlaku.
Misalnya janji 500,000 unit kediaman Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) menjelang 2018. Pada 10 Ogos lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim, memberitahu Parlimen bahawa sehingga Jun lepas hanya 8,4756 unit siap dibina. Maknanya tidak sampai dua peratus atau lebih tepat hanya 1.7 peratus daripada yang dijanjikan.
Sama juga dengan janji menurunkan harga kenderaan bermotor 20 hingga 30 peratus dalam masa lima tahun, menambah bilangan Kedai 1Malaysia dan menjual satu juta barangan 1Malaysia di stesen minyak dan pasar raya hyper.
Kita lihat apa pula kelentong dan auta yang “ketua” manifesto BN, Abdul Rahman Dahlan, akan rangka untuk PRU ke-14 ini. Kerana mengesahkan bahawa MO1 adalah Najib, Abdul Rahman diberi tugas merangkan manifesto BN.
Najib sangat bangga kononnya GST menyelamatkan negara. Saya tidak berapa yakin negara selamat. Hendak bayar ansuran hutang 1MDB pun terpaksa tangguh dan mengemis sana sini.
Tetapi apa yang kita semua sudah tahu ialah GST membebankan pengguna. Tahun ini Najib menyasarkan pungutan GST sebanyak RM42 bilion. Peduli apa rakyat jelata menderita. Bagi Najib, luka hati mereka boleh diubatkan dengan gula-gula pilihan raya. Dia terus percaya bahawa duit tunai adalah raja.
PRU 2013 lwn PRU Ke-14
Tanpa skandal 1MDB, Felda-FGV dan GST pun Najib dilanyak teruk dalam PRU 2013. Pencapaian beliau lebih buruk daripada prestasi Abdullah Ahmad Badawi dalam PRU 2008 apabila BN kehilangan kawalan dua pertiga ke atas Dewan Rakyat.
Janji manis berubah menjadi skandal dan bebanan |
Pertimbangkan fakta berikut:
1. Skandal 1MDB makin meruncing bagi Najib. Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) telah menaikkan tindakan ke atas duit curi 1MDB yang dilaburkan di Amerika daripada saman sivil kepada penyiasatan jenayah. Kedudukan Jho Low dan Riza Shahriz Abdul Aziz ibarat telur di hujung tanduk.
2. Najib lakukan tawaran awam permulaan (IPO) FGV pada tahun 2012 sebagai salah satu kempen mainan pasaran (market play) menjelang PRU 2013. Akibat prestasi hambar saham FGV, Felda menderita kerugian tidak nyata RM1.2 bilion daripada pelaburannya dan skandal rasuah FGV sudah sampai ke peringkat tangkapan.
3. Janji-janji manis kepada peneroka tidak tertunai. Banyak projek rumah generasi kedua terbengkalai atau tidak dimulakan langsung. Sebaliknya beban hutang peneroka terus melambung. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Razali Ibrahim, memberitahu Parlimen peneroka berhutang hampir RM5 bilion kepada Felda.
4. Keadaan sebenar dalam Tabung Haji terus merisaukan umat Islam yang menyimpan dan melabur dengannya. Pulangan tahun 2016 hanyalah 4.25 peratus bagi yang sudah menunaikan haji dan 5.75 peratus bagi yang belum. Ini adalah kadar paling rendah dalam masa 15 tahun.
5. KWSP rugi RM203.18 juta apabila menjual sahamnya dalam FGV dan ia juga memberi pinjaman berisiko sebanyak RM25.29 bilion kepada Pembinaan PFI Sdn Bhd. Anak syarikat Kementerian Kewangan itu dibebani hutang yang sangat besar. PFI atau inisiatif pelaburan persendirian (private financing initiative) adalah cetusan minda Najib. Pada tahun 2015, kerajaan mengesahkan di Parlimen yang hutang Pembinaan PFI telah melambung kepada RM27 bilion. Dividen KWSP pun merosot juga.
6. KWAP atau Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) adalah badan yang mengurus caruman kerajaan persekutuan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi lain untuk pencen kakitangan awam. KWAP dilanda kontroversi apabila didedahkan yang ia memberi pinjaman RM4.4 bilion kepada sebuah lagi anak syarikat Kementerian Kewangan yang bermasalah iaitu SRC International Sdn Bhd. Seperti 1MDB, ia juga terlibat dalam siasatan rasuah yang ditamatkan oleh Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali.
Itu hanya hanyalah sebahagian daripada krisis dan skandal yang melanda kerajaan kleptokrasi BN sejak PRU 2013. Modal PRU 2013 sudah tidak laku dan modal baru tidak ada. Jadi tidak hairanlah ia mengungkit cerita-cerita lama.
Tujuannya adalah mengalih pandangan daripada isu sebenar yang menekan hidup rakyat jelata dan mengabui mata generasi muda yang tidak tahu apa-apa mengenai peristiwa yang terjadi lebih 30 tahun lalu itu.
Fakta tidak boleh memenangkan BN lagi. Jadi terpaksalah menggunakan tipu-helah dan intimidasi.
http://kadirjasin.blogspot.my/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.