Sudahlah cuba mengaibkan Sultan Sultan Muhammad V melalui tulisannya yang membariskan kesilapan-kesilapan baginda semasa menjadi Yang Dipertuan Agong, bekas Ketua Hakim Negara, Abdul Hamid Mohamad juga nampaknya berbohong dalam sebahagian daripada dakwaannya itu.
Dalam dakwaannya, Tun Hamid berkata Tun Mahathir Mohamad telah pergi ke Istana Negara pada malam 9 Mei lalu untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kerana bimbang ada Ahli-Ahli Parlimen PH yang akan melompat parti.
“Bagi saya adalah memalukan bagi seorang bakal Perdana Menteri untuk pergi tanpa diundang, pada waktu malam, mungkin untuk mengejutkan Yang Dipertuan Agong jika baginda sedang beradu, untuk mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri,” demikian antara yang ditulisnya.
Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri atau PMO dalam kenyataannya menafikan Tun Mahathir ada pergi ke Istana Negara pada malam keputusan PRU14 diumumkan sebagaimana yang didakwa oleh Tun Hamid itu.
“PMO ingin menjelaskan dakwaan Tun Hamid itu tidak berasas dan Tun Mahathir tidak pergi ke Istana Negara pada malam tersebut.
“Beliau hanya ke Istana Negara lewat tengahari keesokan harinya untuk majlis angkat sumpah sebagai Perdana Menteri,” tambah kenyataan itu lagi.
Sebagaimana yang semua orang rasanya sudah sedia maklum, Tun Mahathir sebenarnya pergi ke Istana Negara pada petang 10 Mei bersama beberapa pemimpin utama PH untuk majlis angkat sumpah jawatan, tetapi atas sebab-sebab tertentu majlisnya hanya berlangsung pada sebelah malamnya.
Peristiwa tersebut bukanlah rahsia dan dipaparkan secara meluas melalui media-media massa.
Soalnya, kenapa dalam cuba mahu mengaib dan memalukan Sultan Muhammad V sebagai bekas Yang Dipertuan Agong dengan menulis mengenai kesilapan-kesilapan baginda, Tun Hamid dalam masa yang sama sanggup berbohong dan melakukan fitnah berkenaan dengannya?
Bukankah berbohong dan memfitnah, apalagi bagi bekas Ketua Hakim Negara yang sepatutnya amalan beliau sentiasa berpaksikan fakta serta kebenaran dan dikaitkan pula dengan bekas Yang Dipertuan Agong dan Perdana Menteri, adalah suatu perbuatan yang sangat-sangat keji dan terkutuk?
Kepada Ketua Polis Negara dan PDRM, bila lagi nak siasat bekas Ketua Hakim Negara atas perbuatannya itu?
Bagaimana jika yang membuat dakwaan palsu, bohong, fitnah serta mengaibkan seperti ini hanya orang biasa-biasa yang tidak berjenama?
– http://shahbudindotcom.blogspot.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.