`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, March 8, 2019

ZAHID HAMIDI, TUNGGU APA LAGI?

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini telah melepaskan kuasanya selaku peneraju parti itu kepada timbalannya, Mohamad Hassan.
Bermakna semua kuasa Presiden UMNO adalah dipindahkan kepada Mohamad Hassan, manakala Zahid Hamidi hanya menjadi Presiden UMNO yang tidak ada kuasa.
Sejak menyerahkan kuasanya itu, Zahid Hamidi mengumumkan beliau bercuti, tetapi tiada tempoh masa yang ditetapkannya.
Semenjak ketiadaannya, UMNO telah dua kali memenangi pilihanraya kecil iaitu di Cameron Highlands dan Semenyih.

Dalam PRK Semenyih baru-baru ini, meskipun dalam bercuti, Zahid Hamidi cuba-cuba juga menonjolkan dirinya dengan turun sama berkempen bersama geng-geng motornya.
Malangnya, difahamkan sambutan daripada warga UMNO sendiri terhadap beliau sudah agak dingin dalam dua atau tiga kali kunjungannya itu.
Pemimpin UMNO pun tidak kelihatan lagi mengiringi atau hadir bersama dengannya.
Lebih daripada itu, sambutan dalam program bersama geng motor yang dihadirinya tidak berupaya sama sekali menandingi meriahnya mereka yang menghadiri program yang melibatkan Najib Razak yang popular dengan jenama “malu apa bossku.”
Dengan itu, selepas kemenangan BN di Semenyih, faktor Zahid Hamidi langsung tidak disebut sebagai faktor kemenangan di situ. Yang disebut sebagai antara faktor kemenangan BN hanyalah Najib dan Pas.
Bermakna, Zahid Hamidi sudah tidak penting lagi bagi UMNO.
Secara umumnya, rata-rata orang UMNO kini ternampak selesa dengan kepimpinan Mohamad Hassan yang dilihat lebih berwibawa menerajui parti itu berbanding Zahid Hamidi.
Kejayaan Mohamad Hassan menerajui kejayaan BN di dua PRK – Cameron Highlands dan Semenyih – selain berjaya mengikat hubungan kerjasama dengan Pas telah menjadikan nama beliau melonjak menenggelamkan Zahid Hamidi.
Hari ini, selepas beberapa lama bergelar Presiden UMNO tanpa kuasa, satu lagi jawatan Zahid Hamidi terlucut apabila kedudukan beliau sebagai Ketua Pembangkang diumum digantikan dengan Ismail Sabri Yaakob.
Mudah kata, tiada apa-apa lagi yang tinggal pada Zahid Hamidi ketika ini.
Kalau pun dalam waktu terdekat ini Zahid Hamidi tiba-tiba mengumumkan cutinya telah berakhir dan mahu mengambil semula kuasa Presiden UMNO yang dipinjamkannya kepada Mohamad Hassan, laluan beliau untuk mendapat kepercayaan semula UMNO tidaklah semudah yang disangka.
Barangkali ketika itu lebih ramai yang berasa kekok untuk berketuakannya daripada meyakininya.
Selama tempoh bercutinya sekarang ini, ketiadaan beliau langsung tidak dirasai dengan Mohamad Hassan telah berjaya menjadikan dirinya seolah-olah Presiden UMNO yang sebenar.
Maka, apa pilihan yang sebaiknya untuk Zahid Hamidi?
Tidak banyak pilihan sebenarnya untuk beliau, melainkan yang terbaik untuknya ialah berundur terus daripada menerajui UMNO.
Bersama 46 pertuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya, sama ada beliau terus bercuti atau kembali bertugas semula, ada atau tidak adanya beliau, ahli UMNO langsung tidak berasa apa-apa.
Tetapi, dengan berundur diri, beliau sekurang-kurangnya bukan saja dapat menumpukan perhatian kepada kes mahkamahnya, malah ruang untuk UMNO dipulihkan juga dirasa akan lebih baik lagi.
Tak usahlah beliau cuba berharap untuk kembali lagi. Era Zahid Hamidi sudah habis sebenarnya.
Cukuplah namanya tercatat sebagai pemimpin negeri Perak pertama yang pernah menjadi Presiden UMNO, walau mungkin tempohnya tidak lama dan tiada apa-apa kejayaan yang dicapainya.
-https://shahbudindotcom.net

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.