`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, December 17, 2019

Bursa ditutup tinggi selepas Bandar Malaysia diteruskan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi harian hari ini, dipacu oleh sentimen optimis susulan pengumuman menghidupkan semula projek pembangunan Bandar Malaysia, kata penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.48% atau 7.60 mata kepada 1,576.95 berbanding 1,569.35 sewaktu ditutup pada Isnin.
Indeks penanda aras itu yang dibuka pada 1,571.87, turut berlegar sekitar 1,564.25 dan 1,576.95 sepanjang hari ini.
Sentimen pasaran bagaimanapun menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 416 berbanding 407 manakala 394 kaunter tidak berubah, 781 tidak didagangkan dan 16 lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.34 bilion saham bernilai RM1.99 bilion.
Kenny Yee yang juga ketua penyelidik broker ekuiti dalam talian Rakuten Trade Sdn Bhd, berkata majlis pemeteraian projek Bandar Malaysia hari ini menandakan permulaan baik untuk sektor prasarana berikutan kesan limpahannya akan turut dilihat dalam sektor kewangan dan pembinaan.
“Pembangunan semula projek yang membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM140 bilion akan menyuntik keyakinan pelabur. Malah pembangunan projek mega sedemikian turut memerlukan perkhidmatan lain untuk turut saling wujud dalam ekosistem berkenaan,” katanya kepada Bernama.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menyaksikan majlis permeteraian perjanjian antara TRX City Sdn Bhd (TRXC) dan IWH CREC Sdn Bhd (IWH-CREC) untuk membangunkan Bandar Malaysia.
TRXC anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan manakala IWH-CREC merupakan konsortium merangkumi Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd (CRECM).
Ekovest Bhd yang muncul kaunter paling aktif, antara penerima manfaat projek tersebut kerana berkongsi pemegang saham sama dengan IWH iaitu Tan Sri Lim Kang Ho. Harga saham Ekovest itu bagaimanapun susut 2.5 sen kepada 86 sen manakala Iskandar Waterfront City Bhd turun 4 sen kepada 98 sen.
Selain itu, Yee berkata kebanyakan pelabur memulakan aktiviti memperelok akaun memandangkan berada dalam tempoh di akhir tahun.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung tiga sen kepada RM8.55, Tenaga dan Public Bank masing-masing naik 16 sen kepada RM13.22 dan RM19.00 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.24 dan CIMB turun 4 sen kepada RM5.22 .
Bagi saham aktif, AT dan MLab masing-masing tidak berubah pada 4 sen dan 5 sen.
Kaunter untung menyaksikan BAT naik 78 sen kepada RM15.36, United Plantations meningkat 28 sen kepada RM26.28 dan Top Glove bertambah 21 sen kepada RM4.66.
Indeks FBM Emas naik 47.07 mata kepada 11,229.36, Indeks FBM Emas Shariah bertambah 52.06 mata kepada 11,882.72 dan Indeks FBMT 100 meningkat 49.78 mata kepada 11,027.15.
Selain itu, FBM Ace melonjak 103.73 mata kepada 5,054.07 dan FBM 70 meningkat 49.64 mata kepada 14,075.30.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 42.47 mata kepada 15,277.28, Indeks Perladangan menokok 36.50 mata kepada 7,542.57 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.18 mata kepada 152.47.
Jumlah dagangan di pasaran utama susut sedikit kepada 1.58 bilion saham bernilai RM1.86 bilion berbanding 1.59 bilion saham bernilai RM1.60 bilion pada Isnin.
Jumlah waran naik kepada 335.14 juta unit bernilai RM60.58 juta berbanding 309.44 juta unit bernilai RM54.21 juta semalam.
Di pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 423.02 juta bernilai RM126.60 juta berbanding 387.94 juta bernilai RM101.86 juta sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 244.89 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (207.77 juta), pembinaan (159.86 juta), teknologi (155.43 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (42.39 juta), hartanah (241.18 juta), perladangan (110.41 juta), REIT (15.37 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (295.30 juta), penjagaan kesihatan (21.81 juta), telekomunikasi dan media (28.18 juta) manakala utiliti (27.83 juta). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.