`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, December 15, 2019

NGO tuntut majlis penasihat masyarakat India siasat kronisme di bawah Mitra

Wakil NGO komuniti India, Dayalan Sreebalan (tiga dari kiri) menyerahkan memorandum kepada ahli Parlimen Batu dan anggota IAAC P Prabakaran dengan disaksikan pemimpin persatuan lain, hari ini.
KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) komuniti India hari ini mendesak Majlis Penasihat Hal Ehwal Masyarakat (IAAC) menyiasat dakwaan kronisme dalam pengagihan peruntukan untuk golongan B40 kaum itu yang dikendalikan oleh Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra).
Wakilnya Dayalan Sreebalan daripada Malaysian Indian Action Force (Miaforce) berkata. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy didakwa mengagihkan dana tersebut kepada “kroni” beliau melalui Mitra.
“Kami mahu IAAC campur tangan dalam isu pemberian dana daripada Mitra ini. Kami ada bukti menteri perpaduan (Waytha Moorthy), menyalah guna kuasa dengan beri dana ini kepada kroni beliau.
“Kami ada hak untuk persoal Wayta sebab ini duit rakyat. Beliau tak sepatutnya kata hanya akan menjawab kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad. Kami ada hak tanya sebab itu bukan duit Wayta atau Mahathir,” katanya pada sidang media sebelum menyerahkan satu memorandum kepada ahli Parlimen Batu, P Prabakaran di sini, hari ini.
IAAC yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lepas merupakan satu kolaborasi wakil rakyat berketurunan India bagi menyuarakan dan memperjuangkan kepentingan komuniti itu di seluruh negara.
Dalam memorandum 4 muka surat itu, Dayalan bersama 6 lagi pemimpin NGO komuniti India mendakwa 10 syarikat menerima dana daripada Mitra meskipun tiada kebenaran daripada pusat latihan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan kelayakan melaksanakan Pentauliahan Pengalaman Terdahulu (PPT).
Beliau juga mendakwa pengarah salah sebuah syarikat tersebut merupakan penyelaras parti Wayta, iaitu Malaysian Advancement Party (MAP).
“Kami dapat fakta iaitu pengarah sebuah syarikat yang menerima dana kerajaan ini merupakan koordinator kepada MAP. Jumlah diberi kepada syarikat ini besar, iaitu hampir RM1 juta. Syarikat itu tidak mempunyai pengiktirafan PPT.
“Kami juga dapati menteri memberi RM450,000 kepada persatuan kebajikan rakan beliau untuk mengendalikan tuisyen di Johor Bahru. Dana itu terlalu besar untuk tuisyen.
“Perkara sebegini tak seharusnya berlaku di bawah kerajaan baru. Kerajaan sepatutnya lebih telus untuk mengagihkan dana,” katanya.
Sementara itu, Prabakaran yang juga ahli IAAC berkata, beliau akan menyemak fakta dakwaan tersebut dan membawanya ke mesyuarat IAAC bulan depan.
“Mereka kata ada bukti, jadi kami kena semak balik sebab ini duit rakyat yang diberikan kepada golongan B40 kaum India.
“Dalam memorandum ada menunjukkan beberapa program yang diberikan lebih RM500,000 dan di sini ada tulis tiada kebenaran dan kelayakan pelaksanaan. Maksudnya tidak dikeluarkan oleh kerajaan.
“Senarai syarikat juga swasta, jadi saya pun keliru macam mana boleh begini. Jika benar tindakan selanjutnya akan diambil dan jika sebaliknya kami minta NGO terbabit minta maaflah,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.