PETALING JAYA: Penceramah kontroversi Dr Zakir Naik akan melawan pengisytiharan yang dibuat India terhadapnya sebagai pelarian pesalah ekonomi (FEO) di bawah akta Akta Pelarian Pesalah Ekonomi (FEOA) negara itu, dengan mendakwa dirinya masih belum didakwa secara sah dengan sebarang penipuan kewangan.
Langkah yang dibuat India itu bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pesalah ekonomi yang melarikan diri daripada bidang kuasa negara itu. Ia juga menyediakan lampiran dan penyitaan hartanah milik FEO serta tidak membenarkan individu terbabit mempertahankan diri daripada sebarang tuntutan sivil.
Direktorat Penguatkuasaan India (ED) memfailkan permohonan mengisytiharkan Naik sebagai FEO pada 23 Sept lalu.
Menurut Hindustan Times, Naik bagaimanapun berpendirian dirinya masih belum didakwa secara sah kerana menipu bank.
“Ia terbukti daripada kes pendakwaan bahawa tiada satu pun kesalahan yang dikatakan dilakukan pemohon (Naik) mempunyai kaitan dengan tidak membayar balik pinjaman bank atau sebarang kesalahan berkaitan dengan perbankan,” kata peguamnya dalam jawapan kepada ED.
“Sebaliknya, adalah penting untuk diperhatikan bahawa tiada satu pun kesalahan yang dikenakan terhadap pemohon (Naik) itu dalam ruang lingkup kesalahan yang terjadual di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.”
Naik, yang memegang status pemastautin tetap di Malaysia, dikehendaki India untuk berdepan pertuduhan pengubahan wang haram.
ED juga menuduh Naik melakukan ucapan dan ceramah menghasut belia Islam di India untuk melakukan tindakan keganasan
Naik menafikan tuduhan itu.
Portal berita India mengatakan Badan Penyiasat Kebangsaan dan ED telah memfailkan kertas pertuduhan terhadap pendakwah itu dan cuba membawanya kembali ke India.
Bagaimanapun, Putrajaya setakat ini menentang permintaan India dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kemungkinan Naik menerima perbicaraan yang adil. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.