`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, April 17, 2020

Aduan suami, bekas suami tak beri nafkah naik ketika PKP

Mahkamah Syariah boleh memerintahkan penahanan pendapatan atau potongan gaji bagi suami atau bekas suami berpendapatan tetap dengan mengarahkan bayaran terus ke akaun bank anak dan isteri.
KUALA LUMPUR: Aduan berhubung suami atau bekas suami tidak memberi nafkah kepada isteri atau bekas isteri dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) meningkat berbanding sebelumnya.
Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebelum ini hanya 5 aduan diterima Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah melalui Facebook rasmi BSK atau e-mel BSK negeri sebulan.
“Kali ini kita menerima 5 aduan dalam masa 5 hari,” katanya ketika ditanya Bernama mengenai jumlah aduan berhubung keengganan suami atau bekas suami memberi nafkah kepada isteri atau bekas isteri dan anak.
Katanya, aduan itu juga meningkat selepas jabatan itu membuat iklan mengenai aduan boleh dikemukakan di Facebook rasmi BSK.
Na’im berkata, setiap aduan perlu lengkap dengan nombor telefon atau e-mel yang dapat dihubungi bagi tindakan lanjut BSK.
Katanya, jika suami atau bekas suami enggan membayar nafkah seperti diperintahkan, aduan pelanggaran perintah boleh dikemukakan kepada BSK melalui Facebook rasminya “Bahagian Sokongan Keluarga-BSK” atau e-mel BSK Seksyen Negeri.
“Setiap aduan yang masuk akan disemak dan diproses oleh BSK.
“Suatu notis peringatan akan dikeluarkan kepada suami atau bekas suami, sebelum tindakan selanjutnya seperti runding cara, pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah diambil oleh BSK, yang akan dilaksanakan selepas tempoh PKP tamat.”
Na’im berkata, selain menerima aduan menerusi Facebook dan e-mel, pegawai BSK di seluruh negara turut mengambil langkah proaktif dengan menghubungi 437 klien dalam tempoh 4 hari sejak Isnin lalu bagi mengetahui masalah mereka.
Mohd Na’im Mokhtar berkata, aduan suami atau bekas suami tidak membayar nafkah meningkat selepas Jabatan Kehakiman Syariah membuat iklan mengenainya di Facebook rasmi Bahagian Sokongan Keluarga. (Gambar Facebook)
Katanya, berdasarkan peruntukan Mahkamah Syariah sedia ada, jika suami atau bekas suami tetap ingkar memberi nafkah walaupun perintah sudah dikeluarkan, mereka boleh dipenjarakan kerana sengaja tidak mematuhi perintah nafkah tersebut.
“Mengikut prosedur untuk penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah Mahkamah Syariah seperti dinyatakan dalam Akta/ Enakmen/ Ordinan prosedur/ Tatacara Mal Mahkamah Syariah negeri.
“Berdasarkan peruntukan tersebut, mahkamah boleh mengarahkan pihak penghutang membayar keseluruhan jumlah nafkah semasa atau membayar jumlah tunggakan nafkah mengikut perintah dan cara yang ditentukan mahkamah, sama ada membayar secara sekaligus atau ansuran bulanan.”
Na’im berkata, Mahkamah Syariah juga boleh mengeluarkan perintah penahanan pendapatan atau potongan gaji bagi yang berpendapatan tetap dengan mengarahkan bayaran terus ke akaun bank anak dan isteri.
“…atau mengenakan hukuman pemenjaraan ke atas suami yang sengaja tidak mematuhi perintah nafkah tersebut atau perintah penyitaan dan penjualan atau laksanakan prosiding hiwalah.”
Hiwalah ialah memindahkan tuntutan daripada tanggungan si berhutang kepada tanggungan orang yang sedia mengambil tanggungan.
Katanya, sepanjang PKP atau tahun ini, isteri atau bekas isteri yang gagal mendapatkan nafkah daripada suami atau bekas suami boleh memohon dana pendahuluan atau bantuan nafkah daripada BSK JKSM atau BSK JKSN.
“Medium e-mel bagi tujuan penghantaran borang boleh digunakan pelanggan. Permohonan akan diproses BSK dalam tempoh munasabah dengan mengambil kira tempoh kelulusan oleh jawatankuasa dan pemprosesan bayaran.
“Bentuk bantuan adalah pendahuluan nafkah dari BSK JKSM atau JKSN. Kemudiannya pegawai BSK akan mengutip semula daripada suami atau bapa dengan cara penguatkuasaan perintah nafkah terhadap mereka.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.