`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, April 30, 2020

4 didenda RM700 sambut hari lahir rakan ketika PKP

Empat lelaki ketika ditahan memberi alasan ke sebuah inap desa di kawasan perumahan Taman Tiara Kemensah Rimba, Ampang pada 17 April lalu yang disewa melalui aplikasi Airbnb untuk menyambut hari lahir rakan.
KUALA LUMPUR: Gara-gara ingin menyambut hari lahir rakan di sebuah inap desa, 4 lelaki termasuk 2 warganegara asing, masing-masing didenda RM700 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini kerana mengingkari perintah kawalan pergerakan (PKP).
Bradley Yeop Lip Gang, 26, Derick Loh Wei Chun, 27, serta 2 warganegara Taiwan Tsai Mu Teng, 33, dan Wang Wei Hung, 30, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di depan Majistret Normaizan Rahim.
Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan anggota polis mendapat aduan orang awam mengenai kegiatan keluar masuk penghuni tidak dikenali di kawasan perumahan Taman Tiara Kemensah Rimba, Ampang pada 5 petang 17 April lalu.
Ketika tangkapan dibuat terhadap keempat-empat tertuduh, mereka memberi alasan ke rumah itu bagi menyambut hari lahir rakan yang ketika itu belum tiba dan semua tertuduh tidak tinggal di sana, sebaliknya menyewa inap desa itu melalui aplikasi Airbnb.
Mereka didakwa di bawah Peraturan 3(2) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Di mahkamah sama, seorang pengawal keselamatan didenda RM1,500 atau penjara 2 bulan selepas mengaku bersalah berkelakuan tidak senonoh dengan menghina dan mengeluarkan perkataan lucah terhadap anggota polis Zulkifli Hasan yang sedang menjalankan tugasnya serta mengingkari PKP.
K Vijayan, 35, didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di depan Balai Polis Taman Melawati, Ampang, di sini, pada 10.50 pagi 23 April lalu.
Bagi pertuduhan mengeluarkan kata kesat kepada anggota polis, Vijayan didenda RM500 atau penjara sebulan, manakala dia didenda RM1,000 atau penjara sebulan kerana melanggar PKP.
Mengikut fakta kes, ketika anggota polis itu menghampiri tertuduh yang di bawah pengaruh alkohol, dia mengeluarkan kata-kata kesat serta mengugut akan membunuh anggota polis berkenaan serta mengajaknya bertumbuk.
Vijayan dituduh mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM500 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya.
Di Mahkamah Kuala Lumpur, 45 individu dihadapkan ke 3 Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan ingkar PKP dengan berhimpun dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain, dengan pelbagai alasan, termasuk mahu mengambil baju di rumah rakan, memberi wang kepada bapa dan mengambil susu di rumah ibu.
Seramai 40 tertuduh, termasuk seorang wanita didenda RM700 hingga RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda, selepas mereka mengaku bersalah ingkar PKP, manakala 3 lagi lelaki dipenjara 3 hari dan sebulan bermula tarikh ditangkap pada 15 April lalu atas pertuduhan sama.
Sementara itu, 2 lagi lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan ingkar PKP dan mahkamah menetapkan 11 dan 22 Jun untuk sebutan semula kes.
Mereka semua yang termasuk warganegara Pakistan, Myanmar, Indonesia dan Bangladesh berumur 19 hingga 40 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar Jalan Bukit Bintang, Setapak, Keramat, Wangsa Maju dan Brickfields pada 1.10 pagi hingga 11 malam antara 15 hingga 28 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad, Nurliyana Mohd Jafri dan Hanis Anisha Jamilludin. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.