`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, April 2, 2020

Antara wira lawan wabak Dr Rieux dan Noor Hisham



Sehari sebelum perintah kawalan pergerakan, saya melakukan pinjaman panik di perpustakaan. Salah sebuah buku yang saya buru ialah karya Albert Camus yang pernah saya baca lama dahulu.
Pada 1947, Camus, sasterawan besar Perancis meraih Hadiah Sastera Prix des Critiques menerusi novelnya “la Peste” atau “The Plague” dalam bahasa Inggeris. Terdapat terjemahan bahasa Indonesia juga, dengan tajuk “Sampar”.
Ia mengisahkan kehidupan sebuah kota – Oran di Algeria ketika penaklukan Perancis – yang dilanda wabak Maut Hitam, atau hawar, menyebabkan kota itu dikuarantin penuh, lantas terputus hubungan dengan dunia luar. Novel ini dibuka dengan kematian tikus secara besar-besaran, bergelimpangan di setiap pelusuk bandar.
Terdapat beberapa watak utama yang menarik untuk ditekuni; dalam menggambarkan psikologi manusia ketika mengalami keterasingan yang sangat mencengkam. Tambahan pula watak-watak itu hampir semuanya mengalami keterperukan, dan keterperangkapan yang membingungkan.
Contohnya, Bernard Rieux, doktor di kota itu yang merupakan protagonis dalam novel ini tergambar tenang, tidak beragama, tetapi mempunyai status moral yang tinggi dan sangat menghormati mereka yang memilih untuk beragama. Beliau malah kehilangan isteri dan sahabat rapat di hujung naratif.
Di sini juga terdapat watak Rambert, jurnalis yang berada di tempat salah, pada waktu yang salah dan kerana cemas, berusaha untuk keluar dari Oran yang sedang mengalami kurungan. Akan tetapi, apabila saatnya sudah tiba, Rambert memilih persaudaraan manusiawi mengatasi kehendak individunya.
Rieux tidak pernah menghukum, menyebabkan Rambert akhirnya memilih untuk menetap di Oran dan terlibat dalam pasukan sukarela untuk merawat mangsa wabak.
Satu lagi watak yang baik untuk direnungkan adalah Father Paneloux yang merupakan paderi di kota tersebut. Tentu, sudut pandangan agamawan adalah wabak ini merupakan satu hukuman terhadap dosa. Saya akan jejerkan mengenai beliau kelak.
“The Plague” bukanlah sebuah karya pantas dengan aksi, dan tidak juga berminat menjejerkan fakta perubatan. Sebaliknya ia menyelami dugaan, khayalan, kemungkinan, perasaan dan pemikiran watak-watak yang ada di celah khutbah, wacana, kuliah dan nota serupa esei yang merupakan satu promosi kepada falsafah eksistensialisme. Meskipun, harus dinyatakan; Camus menafikan dirinya seorang eksistensialis.
Untuk sesetengah pengkritik yang suka melondeh pelbagai sudut pandang, wabak Maut Hitam ini digunakan Camus untuk menyampaikan mesej perlawanan terhadap penaklukan Nazi Jerman di Perancis, dan ini diakui Camus dalam sepucuk surat kepada tokoh falsafah, Roland Barthes pada 11 Jan 1955.
Terlepas daripada perbincangan sastera, terdapat beberapa plot novel ini yang mempunyai persamaan dengan situasi yang kita hadapi tatkala wabak Covid-19 ini.
Camus, dalam notanya mengenai “The Plague” menyatakan salah satu tema besar karyanya ini adalah “civil heroism” di tengah kemanusiaan diduga dengan hebat.
Juga dalam notanya, Camus menulis bagaimana beliau ingin mencabar apa yang agama tidak lakukan di kala umat manusia sangat memerlukan; “meaning of my work: so many men lack grace. How can one live without grace? We must really get down to it and do what Christianity has never done: concern ourselves with the damned.”
Untuk mengarang “The Plague”, Camus nampaknya benar-benar perlu meresapi dirinya dalam latar Oran, dan seperti yang dinukil oleh mendiang, pada 1939, ternyata Camus benar-benar terpesona dengan kota ini yang memiliki padang pasir dan pantai serentak, sehingga Oran di dalam “The Plague” terasa benar-benar canggih dan begitu mengharukan.
Tulisan beliau yang merakam kesunyian Oran diperaga dalam “Minotaur or the Hall at Oran: to Pierre Galindo”, bersungguh-sungguh dengan puitika, meleraikan kesunyian tetapi keindahan Oran yang memberikan latar terpencil seperti diungkapkan dalam novel besar beliau ini.
Dalam “The Plague”, sebaik wabak dikesan dan pihak berkuasa mulai menimbangkan untuk mengurung Oran, orang awam mencari jalan untuk melanggar kuarantin. Anggota masyarakat mulai rasa terganggu apabila pihak berkuasa mengawal trafik, mencatu bekalan makanan, menyekat penggunaan elektrik dan pengehadan lalu lintas darat dan udara.
Terdapat juga mitos wain atau gula-gula pudina boleh mencegah wabak hawar, seperti mitos air suam boleh membunuh kuman.
Camus mengungkapkan kurungan terhadap Oran meletakkan penghuninya dalam keadaan “absurd”. Maka, tatkala Dr Rieux menekankan betapa pentingnya untuk mematuhi peraturan kuarantin, ia mengatakan dia perlu menggunakan bahasa yang benar, meskipun tidak disukai oleh watak “Prefect” atau wali kota; “he did not know if he was using the language of reason, but he knew he was using the language of the facts as everybody could see them – which wasn’t necessarily the same thing.”
Ia pantas mengingatkan saya kepada personaliti seperti Dr Noor Hisham Abdullah, ketua pengarah kesihatan kita yang dengan tenang menyangkal tindak-tanduk “political stunt” segelintir menteri, mahupun jawapan perubatan yang bedebah lagi kesasar.
Politik dan berpolitik di kala wabak dalam “real” dan novel sememangnya perangai politikus penyangak.
Kelembapan dan kelemahan pihak berkuasa Oran membuatkan Rieux perlu mengatasi wabak dengan usaha sendiri.
Masyarakat di Oran akhirnya memilih untuk #kitajagakita, yakni melakukan keperwiraan sivil memandangkan pihak berkuasa tidak dapat memberi kepimpinan yang sihat dan panduan, apatah lagi hemah yang sangat diperlukan, “officialdom can never cope with something really catastrophic. And the remedial measures they think up are hardly adequate for a common cold. If we let them carry on like this they’ll soon be dead – and so shall we.”
Maka, Rieux dan kawan-kawannya menggerakkan kumpulan sukarelawan.
Apabila Rieux diberi gelar muluk sebagai hero atau wira kota, dengan pantas ia menolak dan mengatakan dia hanya berkenan untuk hadir bersama mangsa dan mereka yang terhempuk oleh nestapa wabak berbanding memilih untuk disanjung; “I feel more fellowship with the defeated than with saints. Heroism and sanctity don‘t really appeal to me, i imagine. What interests me is – being a man.”
Inilah kelakuan Noor Hisham kita. Kalau ada “Tok Ayah” atau “Abah” untuk dihormati, orangnya adalah Noor Hisham, seperti Rieux. Jangan terburu-buru, si lebam seperti “Prefect” tanpa kepimpinan tidak layak diberi puji-puja mesra.
Camus menerima Hadiah Nobel pada 1957 di usia 44 tahun, 3 tahun sebelum terkorban dalam satu kemalangan jalan raya.
Bahagian yang menarik adalah Camus sangat berkait dengan Algeria, taklukan Perancis di Afrika Utara, di mana beliau pernah menuntut di University of Algiers.
Camus sering dirujuk dengan falsafah absurdisme. Secara politiknya, Camus adalah seorang kiri. Selain juga disebut-sebut sebagai lingkungan rapat Jean-Paul Sartre, Simone de Beauvoir dan Andre Breton. Camus juga mengelola akhbar “Combat” yang berperanan untuk melawan Jerman.
Satu kesan besar membaca karya-karya Camus adalah sisi beliau sebagai seorang esais sangat kental sehingga di banyak tulisan beliau naratif itu bernada seperti rencana, khusus memuatkan pendapat beliau terhadap kehidupan, kemanusiaan dan paling selalu muncul; hakikat kematian.
Novel “The Plague” misalnya bertitik tolak daripada sikap moral yang kuat, tetapi tanpa perlu membawa sama agama. Sayugia yang beria memimpin doa di kala wabak itulah yang akan mati dimamah virus. Kasihan. Itu terjelma menerusi garapan watak Father Paneloux. Orang lupa agama yang benar tidak akan memusuhi sains.
Dalam novel ini, Camus tidak berleter, tetapi khutbah-khutbahnya mengenai nasib manusia meskipun tidak menggurui tetap di beberapa tempat serasa memaksakan dalam halus.
Sebuah karya Camus yang paling jelas menunjukkan pendekatan cerita-esei ini tentulah “The Plague” yang untuk ramai pengkritik dianggap antara novel terbaik Camus, ditulis di kota Oran.
Ada seorang watak sampingan, seorang penulis dalam novel ini. Rieux menggalakkan beliau menulis di tengah wabak kerana dalam krisis; seorang seniman akan dapat memberikan paksi moral meskipun dibantah editor “The Plague Chronicle” yang lebih mengutamakan iklan dan gagasan kendiri; “an author has more rights than ordinary folks, as everybody knows. People will stand much more from him.”
Sesungguhnya kerja sastera berupaya merakam sejarah dan konflik kemanusiaan. Membaca karya sastera begini, “The Plague”, ketika wabak Covid-19 sangat menginsafkan. Demikianlah sastera mewaraskan apabila masyarakat nanar kehilangan panduan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.