Baru-baru ini tular kenyataan media yang dikaitkan dengan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam.
Kenyataan media itu menjadi heboh kerana ia ditulis dalam bahasa Arab. Terdapat kritikan yang menyifatkan tindak-tanduk tersebut sebagai tidak menghormati bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu.
Meskipun terdapat juga kenyataan media yang sama dalam bahasa rasmi negara ini, ramai melihat penggunaan bahasa Arab itu sebagai asing dan keterlaluan.
Sudah tentu terdapat pasukan membela apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan. Antara hujah mereka romantisasi betapa bahasa Arab bahasa syurga.
Terdapat juga yang cuba melakukan normalisasi perkara ini, dengan menyatakan menteri agama tersebut biasa melakukan hal sama ketika masih menjawat kedudukan sebagai seorang mufti.
Tidak kurang juga menjawab (dengan tidak menjawab) ketika era Pakatan Harapan (PH) berkuasa, terdapat kenyataan media dalam bahasa Mandarin dan Tamil (sayugia diingatkan terdapat rakyat kita berbangsa Cina dan India).
Saya tidak akan menjawab hujah siapa pun di sini. Saya hanya ingin menyatakan gejala Arabisasi yang berlaku sepanjang pentadbiran Najib Razak suatu masa dahulu, masih kental dan likat dalam masyarakat Melayu Malaysia hari ini.
Senggang 22 bulan ketika pemerintahan PH pun masih tidak dapat mencairkan kepekatan gejala Arabisasi tersebut.
Sebenarnya fenomena Arabisasi ini bukanlah suatu yang tiba-tiba dan baru di sini. Bahkan, ia pernah ditegur Munshi Abdullah, seorang mamak kacukan Arab.
Abdullah seorang agamawan-sasterawan yang fasih berbahasa Arab. Akan tetapi dalam hal berurusan dengan masyarakat setempat, beliau sungguh membumi, yang mana beliau juga merupakan pakar dalam bahasa Melayu dan segala ehwal Melayu.
Saya tidak dapat membayangkan betapa jengkel, meluat, menyampah dan muntah hijaunya Abdullah seandainya beliau masih hidup sehingga hari ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) mahupun Perikatan Nasional (PN) ini.
Ini kerana perihal membantah gejala Arabisasi dan mengkritik perangai Melayu yang gila, obses, rindu dan tersembah-sembahkan Arab itu sudah dilakukan Abdullah sendiri.
Sekiranya kita membaca sebuah cerita pendek atau rakaman pengalaman Abdullah berjudul Ceretera Kapal Asap (1841) termuat beberapa halaman bagaimana Abdullah mengingat, memberi amaran serta menegur perihal Melayu yang membuntut sahaja Arab.
Abdullah mengatakan begini; “Maka bahawasanya adalah kepada orang Melayu ini suatu celaka yang besar, iaitu sebab sentiasa ia duduk mendengar akan pengajaran orang Arab. Maka adalah pengajarannya itu telah beberapa ratus tahun lamanya. Maka sampailah percaya sekali-kali dalam fikiran Melayu, maka barang yang disuruhkan oleh orang Arab akan dia, maka dibuatnya.”
Menurut Abdullah, orang Arab ini membodohkan Melayu dalam 6 perkara. Jika kita melakukan fikah tabayyun terhadap kritikan Abdullah itu, kita akan mendapati betapa gejala yang sama pada 1841 (tahun naskah tersebut dikarang) nampaknya masih tidak berubah apa pun.
Ehwal pertama dikatakan Abdullah mengenai Arab (justeru Arabisasi) adalah; “Pertama-tama selalu ia mengatakan orang Melayu ini bodoh dan bebal dan tiada boleh ia belajar barang seperkara jua pun, maka orang Arablah sahaja yang pandai.”
Tambah Abdullah, “Maka adalah dari mulanya orang Arab itu datang sampailah sekarang ini telah 600 tahun lamanya diajarnya demikian. Maka belumkah juga engkau jemu lagi mendengar akan ceritanya itu.”
Hal ini sangat ketara berlaku ketika pentadbiran BN pada era Najib Razak.
Kita masih ingat betapa ramainya ulama Saudi (negara yang melatam negara Arab lain, iaitu Yaman) datang ke tempat kita mengajar umat Melayu agar jangan menukarkan kerajaan meskipun korup.
Padahal itulah tujuan kehadiran Rasulullah ke muka bumi ini, iaitu melawan semua bentuk kemungkaran, termasuklah korupsi dan kleptokrasi.
Keadaan di atas terjadi, menurut Abdullah, kerana adanya ehwal ke-2, iaitu kerana orang Arab “tiada menambahi ilmunya dan tiada dikeluarkannya perkara yang baru, melainkan tinggallah ia dalam congkaknya dan bodohnya.”
Perihal Arab pada zaman ini yang tiada banyak mencipta, tidak kreatif dan suka melihat kita, Melayu “tinggal dengan bodoh dan miskin kita itu seperti suruhan orang Arab itu” memang tidak dapat dinafikan.
Seandainya orang Melayu cuba membebaskan diri daripada penjajahan minda Arabisasi ini dengan mencari maklumat dan kepintaran lain, maka akan terdapat satu pasukan sorak yang memomokkan Melayu berani ini.
Mereka akan ditakutkan dengan mazhab, dengan akidah, dengan halal haram fikah dan berakhir dengan pesan agar patuh kepada kebesaran ulama salaf, kerana mereka pewaris Nabi.
Demikian mudah hujah diputarbelitkan demi mengekalkan Melayu supaya terus bodoh dan boleh dihinjak.
Menurut Abdullah, sekiranya Arab itu ikhlas dengan orang Melayu, tentulah mereka tidak terus-terusan menipu bangsa Melayu. Sudah tentu penipuan itu akan disulami agama. Melayu memang kalah dengan bacaan doa ala abah-abah, dan sujud syukur ala-ala Tiktok.
Kata Abdullah dalam karyanya itu, “…terlalu banyak tipu orang Arab kepada orang Melayu. Maka apabila dilihatnya hal orang Melayu itu miskin dan bebal, maka tiadalah dicarikannya jalan supaya boleh lepas daripada hal itu, melainkan dikatanya akan dia: ‘Tiada mengapa itu, maka engkau boleh kaya dalam akhirat’.
Tetapi ia sendiri sentiasa suka duduk dalam kekayaan dan kebesaran dan menghendaki hormat dunia ini. Maka ada pada seorang 4-5 orang gundik dan 2-3 orang bini, dan menyukakan harta dunia ini seperti emas dan perak, supaya boleh puas nafsunya.”
Gejala Arabisasi jahat ini menurut Abdullah, mengakibatkan orang Melayu menjadi hina, bodoh, tidak berusaha dan kecil.
Abdullah bahkan dengan tegas mengatakan; “Bahawasanya orang Arab itulah musuh orang Melayu adanya. Maka jikalau musuh yang lain, maka barangkali dibunuhnya sedikit orang, dan diambilnya hartanya sedikit, dan barangkali ada separuh badannya yang luka dan rosak, tetapi orang Arablah yang membinasakan sekali ‘akal sekalian orang Melayu’.”
Bagaimana Arab menghina dan membodohkan Melayu?
Menurut Abdullah, orang Melayu dibengapkan begini, dengan ajaran bahasa Arab yang tiada mereka mengerti; “…dimasukkannya beberapa perkara adat yang bodoh-bodoh di antara orang Melayu, iaitu seperti disuruhnya membaca kitab berpuluh-puluh tahun dengan tiada mengerti akan ertinya.”
Ehwal ke-5 menurut pengamatan Abdullah apabila orang Melayu berani sedikit mengecapi kebebasan dan kemerdekaan minda, dengan ingin belajar atau meminjam kepandaian dari kepercayaan atau bangsa lain, Arab jahat ini akan menghasutkan Melayu dengan pelbagai hujah agama antara lain, mengkafirkan; “…apabila dilihatnya akan hal orang Melayu itu sudah hilang bodohnya, nescaya marahlah ia seperti kelakuan raja di Mesir.
Maka ada kepadanya segala jenis pesawat asap itu, dan sebagainya. Maka dibencikan oleh orang Arab terlalu banyak, katanya ia kafir, sungguhpun dilihatnya suatu terang besar seperti matahari itu lepas daripada disaput awan.”
Maka tidaklah menghairankan apabila bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad berusaha menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur hujung 2019, dengan niat membebaskan beberapa buah negara Islam daripada cengkaman Arab Saudi.
Ekoran itu kita mendapati kemarahan segelintir Arab begitu meluap-lupa. Hari ini Malaysia bawah pentadbiran baru nampaknya kembali terhegeh-hegeh menyembahkan Arab dengan menyorong kebodohan kepala, dan keterpasungan jiwa mereka.
Ehwal lain paling besar sekali apabila orang Arab melihat bangsa Melayu ditindas oleh golongan feudal, tidak pun Arab ini datang membebaskan Melayu daripada kesengsaraan berabad-abad lamanya. Padahal itulah ajaran Islam yang sebenar.
Orang Arab hanya membiarkan Melayu khayal dengan, meminjam nukilan Abdullah; “sifat dan tabiat Allah itu yang boleh ia menerima perbuatan dan macam sembahyang itu adanya.”
Harus diingat, Abdullah meskipun separuh darahnya Arab, sangat kecewa dengan sikap tidak apa dan pasrah orang Melayu terhadap kezaliman dan pengkhianatan golongan bangsawan.
Tulis Abdullah lagi; “Maka tiadalah pula dipedulikannya barang suatu kebinasaan yang ada sekarang ini di antara orang Melayu, yaitu seperti merompak dan mengambil tawanan karang, dan jikalau raja-rajanya berhutang tiada membayar, dan sangat suka ia berjudi dan menyabung, dan menaruh hamba raja terlalu banyak seperti adat dalam Pahang, dan negeri Melayu yang lain; dan tikam menikam orang dan terlalu sangat aniaya raja-raja Melayu itu atas rakyatnya, dan mengambil anak bini orang dengan kekerasannya.”
Abdullah sangat sesal dengan sikap ulama, mufti, agamawan dan juga lebai bilal yang menurutnya menurut saja penjajahan akal atau Arabisasi ini tanpa bantah dan sangkal.
Abdullah malah menamatkan naskah Ceretera Kapal Asap dengan satu perenggan jitu, iaitu berupa pesanan untuk orang Melayu di masa depan, dapat dibaca pada 2020. Lebih-lebih lagi kita hidup bawah pentadbiran Melayu-Islam.
Saya petik kutipan beliau itu, sambil menutup rencana ini, moga-moga dapat dijadi pedoman:
“Hubaya-hubaya hai segala orang Melayu, maka janganlah engkau duduk selalu dalam hal itu lagi dipijak-pijakkan oleh orang Arab itu, karena ada juga akalmu yang telah tidur dan mengendap dalam otakmu; serta beranikanlah hatimu menaruh fikiran yang lain pula. Dan janganlah engkau jadi seperti katak di bawah tempurung. Maka ada juga sungguh langit yang lain yang mulia-mulia itu adanya.”
Melayu, bodoh sekali mungkin leka. Namun dibodoh beratus tahun dah kenapa? - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.