Baru-baru ini, terkurung oleh kuarantina seperti orang lain, saya berkesempatan menonton siri Messiah (2019) di Netflix, dan Noah (2014), sebuah filem lakonan Russell Crowe. Kedua-dua karya ini sangat membekas dalam benak saya. Ini kerana hubungan intipati karya seni ini dengan tamatnya dunia.
Messiah yang hanya akan ditampilkan satu musim di Netflix itu cuba mengacah kemungkinan, bagaimana agaknya kalau tiba-tiba Al-Masih kembali mengamankan dunia dengan mukjizatnya. Juga, perihal Nabi Noh yang lelah dengan umatnya yang tersangat ingkar sehingga diperintahkan Tuhan agar membina sebuah bahtera kerana manusia semuanya akan ditenggelamkan.
Apabila tiba-tiba kemudiannya, pihak al-Jazeera menelefoni saya bertanyakan apakah kesan pandemik Covid-19 kepada amalan beragama, beban psikologi dan sosiologi agama, saya tidak dapat berhenti memikir hubungan antara Messiah, dan Noah dengan dunia Islam. Filem dan drama bersiri yang saya sebutkan di awal rencana ini hulunya Kristian dan Yahudi.
Sesungguhnya semua agama langit, termasuklah Islam, mempunyai satu doktrin yang mana dunia akan diisi keadilan lantas kezaliman serta pengkhianatan akan berakhir segera. Untuk orang Islam, al-Mahdi, seorang penyelamat unggul akan kembali ke dunia ini untuk memimpin seluruh manusia.
Dalam filem Noah itu, Noh lakonan Russell Crowe merupakan pewaris agama sejak Adam. Dia beroleh ilham, Tuhan akan memusnahkan dunia. Sangkaannya (dalam filem itu), Tuhan sangat murka, dan kemanusiaan akan berakhir di hujung keluarganya. Maka terdapat beberapa adegan memperihalkan kejadian alam dan manusia.
Sejak kejadian Adam a.s telah terdapat 2 blok dalam dunia ini. Ia adalah blok kebaikan dan blok kejahatan. Ia seperti kata pasangan bertentangan yang pernah kita pelajari sewaktu masih anak-anak.
Blok kebaikan ini adalah dawlah Tuhan, dan dawlah iblis. Apabila dawlah Tuhan itu mendapat kuasanya, maka kebaikan akan meraja, merata dan Allah disembah secara terbuka. Manakala tatkala dawlah iblis berleluasa, maka kezaliman akan mengambil tempat, lantas kejahatan meluas, dan mereka yang beriman akan bersembunyi, bertaqiah dan menyembah Tuhan dalam keadaan rahsia.
Tentu, kita masih ingat selepas pembunuhan Habil, Nabi Adam dan isterinya diancam oleh Qabil tanpa segan lagi. Keturunan Qabil menjadi al-zalimun, sementara keturunan Habil menjadi kelompok tertindas dan teraniaya.
Adam sangat berhati-hati di usia tuanya, dan hanya menyerahkan ilmu ketuhanan dan rahsia ilmu berguna untuk kemanusiaan kepada Syith. Maka Adam a.s dan Syith sentiasa diancam oleh Qabil. Mereka tahu apa yang mampu dilakukan Qabil; pengkhianatan membunuh Habil. Justeru blok kebaikan terpaksa berlindung dan bersembunyi.
Maka setelah kewafatan Adam dan isteri, Syith dan cucu-cicitnya tinggal terasing di puncak gunung dan bukit, selain beribadat, mereka juga berhati-hati menghindar diri daripada Qabil yang sudah membina penempatan dan kemewahan di tanah pamah.
Qabil sentiasa mengganggu Syith. Qabil tahu, Syith mewarisi pelbagai rahsia dan pengetahuan tentang dunia. Syith bagaimanapun kekal menafikan punya pengetahuan dari suhuf, mahupun sebarang rahsia dari syurga.
Maka saban hari dan tahun Syith dan pengikutnya mengalami ancaman. Mereka bertahan dan menggenggam pesan Adam a.s, akan ada seorang penyelamat yang datang untuk mereka. Namanya Noh a.s.
Syith kurang kita kenal kerana beliau adalah bahagian dari nabi-nabi yang melakukan persembunyian, yang merupakan mustakhfun, atau utusan Tuhan yang dilindungi; sedangkan terdapat utusan Tuhan yang dizahirkan seperti Noh a.s, atau Musa a.s, dan tentu sahaja Nabi Muhammad a.s. Mereka dinamakan musta’linun atau para utusan Allah yang disebut dan ditunggu. Terdapat lebih ramai mustakhfun daripada musta’linun.
“Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan). (An-Nisaa’ 4:164)”.
Nabi Idris keturunan Syith misalnya kurang disebut orang. Padahal baginda sentiasa diancam, dan perlu ghaib selama 20 tahun tatkala nyawanya dalam bahaya. Nabi Idris adalah dari keturunan Syith.
Pengikut Syith, mahupun Idris ini kecil sekali jumlahnya. Mereka saling memperkasakan diri sementara menanti janji Adam untuk muncul, iaitu Noh a.s. Apabila saatnya Noh a.s muncul, baginda tidak diterima dengan mudah, sedangkan sudah ada janji Adam sebelumnya.
Malah selepas ketibaan Noh a.s yang dijanjikan, Noh masih belum dapat menyelamatkan umatnya seperti pesan atau janji Adam a.s. Allah masih meminta pengikut Noh a.s bersabar. Pasukan kecil Noh a.s yang melawan kezaliman masih kekal melawan kejahatan. Sungguh melelahkan sehingga mereka ada yang mengalah dan putus asa.
Kata mereka, “Masakan menunggu beribu tahun lamanya, dan apabila sosok yang dijanjikan itu tiba, mereka masih belum dibantu dan masih perlu melawan kelompok penjahat. Betapa letih sekali!”
Dalam Kitab al-Ghayba oleh Muhammad bin Ibrahim al-Nu’mani (360H) dinyatakan Allah masih meminta yang beriman itu menanti dan apabila pengikut Noh a.s mendoakan agar dipercepatkan kejayaan, Allah memerintahkan mereka menanam pohon tamar.
Apabila tamar itu besar dan berbuah, Allah menitahkan agar menanam pohon tamar lain dari benih pohon sebelumnya. Apabila tamar itu pula matang dan berbuah, Allah masih menyuruh supaya menyemai pohon tamar dari benih pohon generasi kedua; dan demikianlah seterusnya, dan seterusnya, dan seterusnya sehingga 10 generasi tamar.
Setiap kali pusingan biji tamar itu dibenih dan disemai, kemudian dibaja dan dipupuk sehingga berbuah, setiap itulah pengikut Noh a.s berpecah menjadi 3 golongan.
Pertama, yang mengalah dan meninggalkan Noh a.s (murtad); kedua, yang menjadi kumpulan bermuka-muka (nafaqat) yakni kadang turun ke tanah pamah mengambil habuan puak jahat, dan sesekali naik ke bukit-bukau memuja Noh a.s; terdapat kumpulan ketiga, yang kekal setia, beriman, berbakti selain tidak berganjak meskipun ditentang dan diancam pasukan dawlah iblis dari keturunan Qabil.
Kumpulan ketiga inilah yang kelak dibawa sama oleh Noh a.s ke dalam bahteranya sebaik berlaku bah besar yang menenggelamkan seluruh manusia jahat. Kumpulan yang melawan Noh, dan manusia bersikap neutral yakni tidak mahu bersikap, bakal turut ditenggelamkan.
Noh a.s adalah hujjah ke-12 sejak Syith. Sesungguhnya persiapan pengikut Noh a.s untuk diselamatkan Allah, dan dimusnahkan semua kejahatan itu bukanlah jalan lapang yang mudah. Ia adalah jalan buntu sangat sengsara. Noh a.s tatkala itu adalah umpama Mahdi; sosok penyelamat akhir zaman.
Persamaan Noh a.s dan Mahdi a.s itu sangat menjolok rasa memandangkan kedua-duanya adalah mu’ammarun, atau insan diberikan hayat panjang.
Terdapat pandangan Noh a.s hidup selama 2,500 tahun. 850 tahun sebelum mulai menyeru kepada risalah ketuhanan, 950 tahun baginda berdakwah menyeru kebaikan kepada manusia di zamannya; dan 700 tahun lagi setelah bah besar berakhir dan untuk baginda membina tamadun manusia yang kedua setelah musnah pusingan manusia purba sebelumnya. Itulah puncanya Noh a.s itu diberi gelar ulul azmi.
Dalam sarwa pandang Melayu, Imam Mahdi diperlihatkan menerusi figur ilmu kejawen yang diberi nama Ratu Adil. Baginda itu adalah pemimpin sempurna, seperti terkandung dalam ajaran Hasthabrata; pemimpin dengan 8 anasir bumi. Pemimpin berwatak tanah, api, air, angin, matahari, bulan, bintang dan awan.
Di dalam kepercayaan Jawa, pemimpin politik yang merupakan penyelamat itu akan punya ambeg pratala atau berwatak tanah. Seorang pemimpin yang senang memberi secara ikhlas. Baginda adalah pemimpin ambeg tirta atau berwatak air, selalu membuat ketenteraman dan kedamaian buat semua manusia. Bahkan, pemimpin ambeg dahana, yang berwatak api yakni menjaga kewibawaan dan aib ummah serta tidak tamak dan terburu-buru meraih cita-cita.
Baginda juga adalah pemimpin siasah yang ambeg murata, atau berwatak angin di mana ia adalah pemimpin penuh waspada, besar kecil tercakup dan tidak memilih-milih. Sesuai citranya selaku “penyelamat” baginda juga adalah tokoh pemimpin ambeg surya, berwatak matahari yakni seorang pemimpin yang berhati-hati menjalankan tugas dan serba sabar dengan rakyatnya.
Selain itu, baginda pemimpin ambeg candra berwatak bulan, pemimpin yang tidak kejam, berperilaku halus dan berbelas kasih kepada sesama. Baginda berwatak ambeg sudama, iaitu berwatak bintang yang tidak mudah terpengaruh dengan noda dan goda, mantap pendiriannya dan tidak munafik pula.
Ratu Adil tentunya pemimpin ambeg mendhung, berwatak awan yang adil dan menjadi payung seluruh umat manusia.
Kita, di alam Melayu juga percaya. Kita juga adalah belahan dari umat manusia yang menanti ketibaan al-Qaim. Kalau Barat seperti dalam Messiah pun percaya, masakan kita ingkar akannya? Takkan Timur lebih miskin faham eskatologi dari Barat.
Dalam hari-hari Covid-19 yang menakutkan dan memenatkan, bahkan semua manusia terikat oleh satu rasa yang sama; iaitu rasa khuatir dan semacam putus harap. Kita semua, seluruh manusia menanti-nanti dan mendamba-dambakan seorang penyelamat.
Seperti ditonjolkan dalam Messiah di Netflix, sosok seorang penyelamat akan tampil menyerlahkan kebaikan. Baginda adalah abah kita semua.
Abah yang ada sekarang pengkhianat. Imam Mahdi itu pemimpin orang tertindas. Waktu itu kelak; kelompok pengkhianat, kapitalis ekstrem, penjarah, raja-raja jahat mintalah ketepi beri laluan. Kalian, cucu cicit Qabil si jahat tidak diperlukan pada babak pengakhiran.
Namun demikian, sementara itu berlaku, saya membayangkan kita semua di Barat dan Timur; seperti anak cucu Syith; yatim piatu dan berdoa menunggu-nunggu saat Noh, atau Imam Mahdi akan tiba. Dia pasti tiba. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.