`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, April 9, 2020

Kedai benih tanaman atas talian catat peningkatan jualan semasa PKP

Dalam tempoh PKP ramai warga kota beralih kepada pertanian hidroponik bagi mengisi masa lapang, beriadah dan juga menjamin makanan segar tersedia di rumah. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR: Permintaan untuk benih serta peralatan tanaman mencatat peningkatan yang menggalakkan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada bulan lepas.
Pemilik kedai semaian Plant in Pot Farhana Mohamed berkata, permintaan untuk biji benih pokok tanaman secara dalam taliannya, meningkat secara mendadak sehingga 70% ketika PKP.
“Setakat ini pokok tanaman herba paling banyak mendapat permintaan antaranya pegaga, bayam Brazil, daun kesum dan kunyit,” katanya.
Beliau berkata, memandangkan kedai semaian tanaman tidak dibenar beroperasi, “jadi perniagaan yang menawarkan perkhidmatan secara dalam talian seperti kami ini, memang jadi pilihan buat pengguna mencari baja, benih dan juga tanah.”
Bagi pemilik Nurseri Untuk Mama Muhamad Syafiq Osman berkata, pihaknya yang menjual benih tanaman dan sistem pertanian hidroponik bersifat mesra cara hidup warga kota, turut menerima permintaan yang tinggi untuk pot hidroponiknya, secara dalam talian.
Muhamad Syafiq berkata, pot hidroponiknya mencatat penjualan dalam talian sebanyak 10 kali ganda, dalam tempoh 2 minggu PKP.
“Semasa PKP, dalam sehari sebanyak 50 unit pot berjaya dijual, berbanding sebelum PKP iaitu 5 hingga 6 unit. Sedangkan stok yang kami sediakan ini adalah untuk 2 bulan sehinggakan saya terpaksa tutup jualan kerana kehabisan stok.
“Saya percaya ini kerana kebanyakan pelanggan ingin menanam sendiri… untuk menjamin ketersediaan makanan mereka sendiri,” katanya.
Bagi suri rumah Ahalinda Darjan, 30, semenjak PKP bermula, beliau belajar menanam pokok melalui kaedah hidroponik, yang disifatkannya lebih mudah dijaga dan cepat membesar, berbanding kaedah menanam menggunakan tanah di dalam pasu.
“Kaedah hidroponik saya guna bahan terpakai seperti bekas yogurt, bekas ais krim dan cawan mee segera… senang tidak perlu siram hari-hari, sebab hanya perlu pantau air sahaja,” katanya.
“Saya tengok (belajar) melalui YouTube dan group kebun, jadi saya berminat nak mencuba, sekadar untuk terapi diri musim PKP ini,” katanya.
Beliau berkata, faktor rumah bertingkat dan ruangan terhad di belakang dapurnya, tidak menjadi masalah baginya bercucuk tanam tanaman kegemarannya.
Lebih membuatkan Ahalinda teruja dan puas, apabila hasil tanamannya seperti sawi kerinting, sawi putih dan sawi pak choy menjadi, dan ia dapat dinikmati serta dijadikan hidangan, buat keluarganya.
Bagi peguam Nur Aida Md Zainuddin, 34, waktu PKP ini digunakannya dengan aktiviti berkebun kerana ia bukan sahaja boleh isi masa lapang, “buat badan kita segar, peluh keluar namun boleh tenangkan fikiran, buang kekusutan, hasilnya jimat duit dapur dan kita juga dapat sumber makanan yang segar.
“Saya juga menggunakan baja organik untuk tanaman saya, iaitu sisa buangan dapur seperti basuhan ikan, kulit tembikai, kulit pisang, kulit telur dan air basuhan beras, yang lebih diyakini selamat,“ katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.