PETALING JAYA: Polis menasihatkan supaya anggota masyarakat memberi kerjasama dengan hanya memohon untuk mendapatkan permit pergerakan rentas negeri atas sebab-sebab yang sahih sepertimana ditetapkan, kata pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed.
Huzir berkata, dalam tempoh 12 jam sejak dibuka, lebih kurang 300,000 orang sudah mendaftar dengan aplikasi mudah alih Gerak Malaysia dan daripada jumlah itu, 100,000 memohon permit pergerakan rentas negeri.
“Kerjasama semua pihak adalah amat penting bagi memastikan sistem aplikasi atas talian Gerak Malaysia ini dapat dimanfaatkan oleh mereka yang benar-benar perlu untuk melakukan pergerakan antara negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, polis menjangka angka tersebut akan meningkat berkali ganda menjelang 29 April depan dan pihak polis perlu memastikan setiap permohonan yang diterima adalah untuk tujuan yang dibenarkan sahaja.
“Ia supaya perancangan pergerakan antara negeri dapat berjalan dengan lancar dan tidak menyulitkan pengguna lebuh raya atau jalan raya yang terbabit.
“Dalam tempoh ditetapkan, polis akan memantau dan menilai trend permohonan yang diterima melalui aplikasi berkenaan.
“Hasilnya akan diangkat maklum kepada kerajaan agar tarikh pergerakan seperti yang diumumkan semalam dapat dikaji semula dan diselaraskan mengikut jumlah permohonan yang diterima. Perkembangan lanjut mengenai jadual pergerakan antara negeri akan diumumkan kelak,” katanya.
Terdahulu, Huzir memaklumkan orang ramai yang terkandas di kampung dan mahu pulang ke kediaman masing-masing dibenarkan melakukannya dalam tempoh 3 hari, iaitu dari 1 hingga 3 Mei.
Menurutnya, mereka yang layak boleh mengemukakan permohonan bermula 26 Apr menerusi aplikasi Gerak Malaysia yang boleh dimuat turun daripada Google Playstore, Apple App Store dan Huawei App Gallery.
Beliau juga mengingatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan mengikut syarat yang ditetapkan pihak berkuasa.
Individu yang menggunakan lebuh raya Utara-Selatan diingatkan bahawa tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di kawasan rehat dan rawat (R&R). - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.