`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, June 20, 2020

SPR tubuh 3 pasukan penguat kuasa pantau aktiviti kempen PRK Chini

Azhar Azizan Harun berkata, pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya antara lain memiliki kuasa menurunkan bahan kempen berunsur negatif atau melanggar peruntukan undang-undang pilihan raya.
PEKAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan 3 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) yang akan memantau aktiviti berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata penubuhan pasukan itu yang membabitkan wakil parti, polis dan SPR selaras Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta pematuhan terhadap garis panduan pencegahan Covid-19.
Pemantauan dan penguatkuasaan bermula hari ini hingga 11.59 malam 3 Julai.
“Ini selaras perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang sedang berkuat kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya selepas tamat proses penamaan calon PRK DUN Chini di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan hari ini.
Beliau berkata, PP-KPR antara lain memiliki kuasa menurunkan bahan kempen berunsur negatif atau melanggar peruntukan undang-undang pilihan raya.
“Pada PRK kali ini, SPR membuat penambahbaikan seperti mengurangkan bilangan pengundi daripada 600 kepada 400 pengundi (di setiap saluran) dan memaklumkan pengundi untuk mengundi pada waktu yang digalakkan sepertimana tercatat pada kad pengundi bagi mengelakkan kesesakan.
“Kita akan memastikan jarak sosial dapat dilaksanakan, di samping garis panduan pencegahan Covid-19 juga dikuatkuasakan di pusat mengundi penjumlahan rasmi undi nanti.”
Katanya, apa jua bahan kempen yang boleh digunakan seperti iklan, surat sebaran, pelekat dan poster hendaklah mengandungi nama, alamat pencetak serta penerbit, kecuali bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon bertanding.
Azhar berkata, secara keseluruhan SPR berpuas hati dengan perjalanan penamaan calon hari ini dan menjangkakan kira-kira 70% pemilih akan mengundi pada 4 Julai nanti.
Mengenai penghantaran kad pengundi yang mengandungi maklumat daftar pemilih seperti pusat mengundi, saluran, bilangan dan masa mengundi, Azhar berkata, ia selesai diedarkan kepada semua 20,990 pengundi DUN Chini.
Katanya, SPR melantik 32 pemerhati pilihan raya daripada 10 organisasi membabitkan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan 3 individu berkelayakan untuk memantau perjalanan pilihan raya kali ini.
Beliau mengingatkan calon bertanding sentiasa mematuhi peraturan dan SOP sepanjang tempoh berkempen, termasuk mendapatkan permit polis bagi setiap ceramah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.