`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, August 19, 2020

Harga kediaman menurun pasca Covid-19

Kemerosotan nilai hartanah ketika ini bertentangan dengan fungsinya sebagai medium simpanan nilai pada masa ini.
PETALING JAYA: Seorang pakar hartanah berpendapat tempoh krisis kesihatan ketika ini mencetuskan gelombang baharu dalam pasaran hartanah apabila harga kediaman didapati menunjukkan trend menurun.
Ketua Pegawai Eksekutif Far Capital Faizul Ridzuan berkata, kemerosotan nilai hartanah ketika ini bertentangan dengan fungsinya sebagai medium simpanan nilai pada masa ini.
Katanya, kempen pemilikan rumah (HOC) yang kembali dilaksanakan kerajaan pada Jun lalu memberi tekanan kepada harga kediaman dengan kebanyakan projek hartanah menawarkan diskaun 10% oleh pemaju.
Berdasarkan kajian terbaru dijalankan oleh PropertyGuru, laman web hartanah terbesar di Malaysia, mendapati bahawa pengasingan yang berlaku ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) mencetuskan gelombang baharu aspirasi pemilikan rumah dalam kalangan penyewa dan golongan yang tinggal bersama keluarga.
“Kehilangan kerja dan pendapatan yang belum pernah terjadi sebelumnya menekankan perhatian rakyat kepada isu keperluan harian. Dalam keadaan ini, kemungkinan kemelesetan ekonomi semakin meningkat,” kata Faizul.
Beliau berkata, sejajar perkembangan semasa, bidang hartanah mampu menyesuaikan diri dalam tempoh krisis di mana pemaju juga tidak duduk diam menggerakan pelbagai kempen pemilikan.
“Walaupun kita tidak boleh menafikan bahawa sekarang masa yang mencabar bagi pencari rumah dan negara secara keseluruhan, namun penyewa dan pembeli rumah kali pertama boleh memanfaatkan trend ini,” katanya.
Beliau berpendapat, harga kediaman boleh menurun dalam jangka pendek, sementara meningkat dalam jangka panjang.
“Ini sebenarnya merupakan senario yang ideal untuk pembeli memperoleh unit hartanah yang lebih murah kerana pemaju akan mengurangkan harga hartanah pasca PKP, tanpa mengorbankan kenaikan nilai jangka panjang,” katanya.
Katanya, antara punca hartanah menjadi semakin susut nilai adalah langkah pemaju membina kediaman pada saiz lebih kecil.
“Jadi, walaupun harga rumah naik, katakanlah dari RM600 kaki persegi hingga RM800 kaki persegi, pembeli muda boleh memilih untuk memulakan pemilikan rumah dengan unit studio 450 kaki persegi, berbanding unit keluarga 800 kaki persegi dengan harga permulaan RM360,000 dan bukannya RM640,000.
“Selain itu, pemaju juga dapat memaksimumkan bilangan unit kediaman kecil tersedia yang lebih dekat dengan pusat bandar,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.