`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, October 22, 2020

Orang ramai diminta waspada individu menyamar pegawai Perkeso

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata penyebaran maklumat berkaitan pelbagai perkhidmatan Perkeso menerusi media sosial menarik perhatian “scammer” untuk menjalankan aktiviti penipuan.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima aduan berhubung kegiatan individu menyamar sebagai pegawai perkhidmatan pekerjaannya menyasarkan mangsa dalam kalangan orang awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kegiatan itu mencemar usaha Perkeso yang giat melaksanakan pelbagai program pasaran buruh aktif bagi membantu orang berinsurans Perkeso dan rakyat kehilangan pekerjaan akibat krisis Covid-19.

“Dalam melaksanakan aktiviti mempromosikan perkhidmatan sistem insurans pekerjaan (SIP) seperti hebahan jawatan kosong, Perkeso secara telus berkongsi nama dan nombor telefon pegawai perkhidmatan pekerjaan kami bagi memudahkan orang ramai berhubung dan mendapatkan maklumat jelas berkaitan perkhidmatan disediakan.

“Namun, penyebaran maklumat berkaitan pelbagai perkhidmatan Perkeso menerusi media sosial menarik perhatian scammer (penipu) di luar sana untuk menjalankan aktiviti penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, laporan polis dibuat semalam di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya.

“Laporan polis dibuat oleh pegawai kami, Khairul ‘Ammar Hashim berhubung profail dan 2 nombor telefon beliau yang digunakan scammer untuk menipu beberapa rakan sekerja.

“Scammer ini menghubungi beberapa rakan sekerja Khairul ‘Ammar dan meminta supaya sejumlah wang dipindahkan ke akaun Maybank milik Muhd Nur Azami Manila,” katanya.

Menurutnya, seorang rakan sekerja Khairul ‘Ammar terpedaya dan memindahkan RM500 ke akaun itu selepas diminta oleh penyamar atas alasan tidak boleh mengakses perbankan dalam talian.

Sehubungan itu, Perkeso menasihati semua orang berinsurans Perkeso, majikan, orang ramai dan pegawai Perkeso sendiri supaya lebih berhati-hati dengan taktik scammer supaya tidak mudah tertipu.

Beliau turut menasihati mereka yang berkenaan menyemak dengan Perkeso atau melaporkan kepada organisasi itu jika ada pihak meminta bayaran bagi perkhidmatan disediakan Perkeso.

“Saya juga tegaskan, semua bantuan faedah dan perkhidmatan Perkeso kepada orang berinsurans percuma dan kami tidak menggunakan orang tengah dalam menyampaikan bantuan dan perkhidmatan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.