`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 22, 2021

Agong ucap tahniah kejayaan Zii Jia rangkul All England

 

Sultan Abdullah berharap kejayaan Zii Jia menjadi sumber inspirasi bagi seluruh rakyat. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada wira badminton negara Lee Zii Jia, atas kejayaan merangkul Kejohanan Badminton All England, semalam.

Baginda turut menzahirkan suka cita dan bangga atas kejayaan pemain perseorangan lelaki kebangsaan itu, yang menjulang dan mengharumkan nama negara di persada dunia, sekali gus menggembirakan seluruh rakyat Malaysia.

Baginda turut menzahirkan harapan agar kejayaan berkenaan menjadi suntikan semangat kepada pemain nombor 10 dunia itu untuk berlatih lebih keras, supaya menjadi lebih cemerlang pada masa hadapan.

“Seri Paduka Baginda mengucapkan selamat maju jaya kepada Lee Zii Jia, semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan terus mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar kejayaan beliau itu juga menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing,” menurut kenyataan dimuat naik Facebook Istana Negara, hari ini.

Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bawah kepimpinan Mohamad Norza Zakaria dan barisan kejurulatihan atas kejayaan Zii Jia.

Pemain berusia 22 tahun kelahiran Alor Setar itu, muncul juara All England selepas menampilkan semangat juang tinggi pada perlawanan akhir untuk menewaskan juara bertahan Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9, di Utilita Arena Birmingham.

Selepas tewas di peringkat separuh akhir kepada pemain sama tahun lepas, Zii Jia amat bersemangat untuk memenangi gelaran itu, selepas menewaskan pemain nombor satu dunia dan harapan pingat emas Olimpik Jepun Kento Momota, 21-16, 21-19 pada saingan suku akhir. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.