`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, March 4, 2021

Anggota APMM cedera selepas nelayan asing lempar objek keras, serang guna parang

 

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas bot dan hasil tangkapan dengan nilai keseluruhan RM1.5 juta.

KEMAMAN: Nelayan asing bukan sahaja melempar objek keras ke arah anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tetapi juga bertindak menyerang pasukan keselamatan itu dengan parang.

Detik cemas itu berlaku ketika APMM memeriksa sebuah bot nelayan Vietnam pada 5.25 pagi semalam, yang menyebabkan seorang anggota agensi tersebut cedera di bahagian tangan.

Pengarah APMM Negeri Pahang Laksamana Pertama Maritim Amran Daud berkata kejadian itu berlaku di sekitar 80 batu nautika tenggara Tanjung Gelang ketika Kapal Maritim (KM) Satria menjalankan Op Kuda Laut.

“Menyedari kehadiran KM Satria, kedua-dua bot cuba mengelak daripada ditahan. Susulan itu, pasukan KM Satria bertindak menurunkan Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) untuk memintas dan menjalankan pemeriksaan dengan merapat ke arah bot nelayan terbabit.

“Ketika dalam usaha memanjat bot suspek, pasukan APMM diserang secara tiba-tiba oleh beberapa awak-awak secara agresif dengan bersenjatakan parang serta objek keras bagi menghalang bot mereka daripada diperiksa,” katanya ketika sidang media di jeti Zon Maritim Kemaman.

Beliau berkata walaupun beberapa das tembakan amaran dilepaskan ke udara namun nelayan terbabit masih bertindak ganas sehingga pihaknya terpaksa melepaskan tembakan amaran ke arah bot itu bagi menghentikan perbuatan mereka serta mempertahankan diri dan aset mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, serpihan tembakan itu telah terkena dan mencederakan dua awak-awak serta seorang tekong di bahagian paha, tangan dan muka.

“Kesemua mereka yang tercedera telah dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kuantan oleh bot Kilat 49 untuk menerima rawatan di hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang,” katanya.

Amran berkata APMM mengambil masa hampir tiga jam sebelum berjaya menahan 19 awak-awak serta tekong yang berumur lingkungan 16 hingga 60 tahun sebelum mereka bersama bot telah diiring ke Pengkalan Maritim Kemaman, Terengganu pada kira-kira 12 tengah hari tadi.

Turut dirampas bot dan hasil tangkapan dengan nilai keseluruhan RM1.5 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman denda sehingga RM6 juta ke atas tekong dan RM600,000 ke atas awak-awak kerana tidak memiliki sebarang permit untuk beroperasi di perairan Malaysia.

Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 yang memperuntukkan denda sebanyak RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam sebatan kerana tidak memiliki pengenalan diri yang sah.

“APMM juga akan menyiasat dan mendakwa kru di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya.

Amran berkata tangkapan kali ini merupakan yang ke-68 bagi Op Kuda Laut dengan sejumlah 795 awak-awak termasuk tekong ditahan dalam usaha mengekang jenayah pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.