`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, March 3, 2021

Kebenaran rentas daerah buka peluang melancong, kata Nancy Shukri

 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri menyifatkan berita itu amat memotivasikan penggiat industi.

PUTRAJAYA: Kebenaran rentas daerah akan membuka ruang dan peluang untuk orang ramai melancong serta menjamin kelangsungan hidup pekerja yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan selain operasi perniagaan dapat dijalankan sepenuhnya, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri.

Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menyambut baik keputusan kerajaan yang memberi kebenaran rentas daerah di dalam negeri yang sama kecuali Sabah bermula 5 Mac ini.

Katanya keputusan itu berita yang amat memotivasikan penggiat industri pelancongan, seni dan budaya yang selama ini meluahkan kebimbangan jika sekatan terhadap pergerakan rentas daerah serta negeri masih diteruskan.

Nancy berkata MOTAC telah mengadakan empat sesi libat urus menerusi Jawatankuasa Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada penggiat industri, yang rata-ratanya mahukan kerajaan membenarkan semula pergerakan atau perjalanan rentas daerah atau negeri.

“Hargai keputusan kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan larangan pergerakan merentas negeri di seluruh negara ketika ini dikekalkan manakala pergerakan rentas daerah dibenarkan kecuali di Sabah berkuat kuasa 5 hingga 18 Mac ini.

Larangan merentas daerah di Sabah dilakukan atas permintaan kerajaan negeri.

Nancy juga berkata satu sesi libat urus diadakan hari ini bersama penggiat industri iaitu Malaysian Association of Amusement Theme Park & Family Attractions (MAATFA), Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Malaysia Retail Chain Association (MRCA), Malaysia Retailers Association (MRA) dan Batu Road Retailers Association (BARRA).

Beliau berkata dalam sesi libat urus itu, kerajaan disaran mengeluarkan dokumen atau pasport khas kepada warga Malaysia yang telah menerima vaksin untuk memudahkan pergerakan dalam negeri dan menjalankan aktiviti sosial termasuk melancong dengan selamat.

Katanya penggiat industri juga mencadangkan keutamaan pemberian vaksin kepada penggiat sektor pelancongan kerana mereka juga adalah petugas barisan hadapan yang setiap hari menerima kunjungan tetamu dan pelanggan di premis masing-masing.

Turut diutarakan satu pelan jangka panjang pembukaan sempadan antarabangsa agar kementerian boleh mengenal pasti kumpulan sasaran dari pasaran antarabangsa yang boleh dibenarkan untuk tujuan percutian di negara ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.