`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, March 18, 2021

Pengundi Gombak

 

Seorang rakan saya, yang bekerja di Alabama, AS, pulang mengundi pada 2018. Selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan, dia merasakan udara demikian bersih dan dia berasa perlu untuk ikut menyumbang. Isterinya membantah. Akan tetapi dia bertegas dan mahu jadi lelaki berbakti. Maka pada awal tahun 2019 dia membuat pilihan untuk kembali. Dia membayangkan hak asasi manusia, demokrasi, reformasi, pembersihan korupsi, dan keseimbangan kefanatikan beragama dan kaum.

Kemudian terjadinya Langkah Sheraton.

Kemudian datang Covid-19.

Dia terperangkap di negara asal, dan mimpinya musnah. Manakala negeri yang pernah dia jadikan tempat huni untuk dua dekad tiba-tiba tidak dapat lagi dicapai. Dia berasa segala pengorbanannya untuk pulang berkhidmat untuk ibu pertiwi sia-sia belaka. Isterinya menyalahkan. Pertelingkahan sering berlaku. Mimpi sedih melarat menjadi mimpi luka. Teman saya itu berpisah dengan isterinya, yang kembali ke Alabama.

Rakan saya itu pengundi di Parlimen Gombak.

Tidak lama lagi akan ada pilihan raya. Genderang pilihan raya sudah bergema. Dalam Perkara 21 (3) Universal Declaration of Human Rights (UDHR), ada dinyatakan yang kehendak rakyat merupakan asas sesebuah kerajaan, dan ini hendaklah dilaksanakan menerusi pilihan raya yang benar dan sistematik, berkala, adil dan terjamin kerahsiaannya:

“The will of the people shall be the basis of the authority of government; this will shall be expressed in periodic and genuine elections which shall be by universal and equal suffrage and shall be held by secret vote or by equivalent free voting procedures (United Nation 1948).”

Maka autoriti sesebuah kerajaan itu dari kaca mata demokrasi adalah “the people”. Atau rakyat. Rakan saya itu, yang pernah berada di AS buat beberapa lama berasa kecewa kehendak rakyat pada 2018 dinafikan apabila PH disabotaj dan roboh. Rakan saya itu pengundi di Parlimen Gombak. Untuk rekod saya tidak tahu dia mengundi siapa.

Muna Ndulo, penasihat politik bagi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu antara 1992 sehingga 1994 di Afrika Selatan dalam sebuah laporan berjudul “United Nations and the Monitoring of National Elections” menggariskan enam pra syarat untuk dipenuhi oleh setiap negara yang menganjurkan pilihan raya.

Sesebuah pilihanraya di sebuah negara itu dapat ditanggapi sebagai bersih dan adil apabila memenuhi enam kriteria berikut;

(i) Hak untuk semua pengundi terlibat dan melibatkan diri dalam setiap proses pilihanraya tanpa sebarang halangan;

ii) Kebebasan berkempen untuk setiap parti politik yang bertanding;

iii) Kerahsiaan bagi setiap undi;

iv) Kelancaran atau kepantasan yang munasabah untuk proses pengiraan undi;

v) Akauntabiliti dan keterbukaan bagi setiap proses pilihanraya yang melibatkan setiap pihak bertanding; dan

vi) Undang-undang pilihanraya yang diterima dan dipersetujui semua pihak terlibat.

Saya memberitahu teman, dengan pelbagai mehnah dan kerenah; majoriti rakyat berjaya melawan kleptokrat. Tiada siapa menyangka 22 bulan kemudian ada wakil yang rakyat pilih untuk kerja melawan bagi pihak mereka itu boleh berpindah khemah. Ia hanya berlaku di negeri seperti Malaysia. Yang mana amat dirasai oleh teman saya yang pernah tinggal beberapa dekad di AS. Kerja khianat dalam politik ini mencengangkannya. Rakan saya itu pengundi di Parlimen Gombak.

Satu yang gagal, atau mungkin dikesempingkan oleh masyarakat celik demokrasi di negara ini ialah untuk menggerakkan dialog. Jangan ambil enteng dialog. Pencegahan sebarang konflik bermula dengan dialog. Dialog wajib berlaku antara masyarakat sivil dan pihak berwajib secara aktif dan sihat.

Dialog bukanlah debat. Debat dilakukan untuk menang. Dialog pula dilakukan untuk saling memahami. Dialog ini bukan sahaja menjadi pilihan mana-mana pihak sebelum, dan ketika berlangsungnya pilihan raya; ia juga menjadi aksi atau aktiviti berterusan dalam kalangan masyarakat dan penguasa sebaik sahaja pilihanraya berakhir. Seperti yang dinyatakan oleh aktivis masyarakat sivil, SM Mohamed Idris.

Maka satu bentuk pembangunan yang melibatkan pelbagai komuniti harus digerakkan selepas pilihan raya berakhir. Bentuk pembangunan yang dimaksudkan oleh Idris adalah menekankan antara lain strategi untuk mandiri, penggunaan sumber lokal, dan teknologi tempatan, dan penggubahan polisi yang meredam jurang kaum hartawan dan melarat. Strategi tersebut, tambah beliau perlu membasmi pembaziran, korupsi dan penyelewengan kuasa. Akan tetapi semua yang berjalan setelah Mei 2018 amat lambat. Kemudian datang Langkah Sheraton. Tiba-tiba Covid-19 menerpa. Teman saya itu tergamam. Dan dia, pengundi di Gombak.

Muna Ndulo dan Sara Lulo menulis sebuah lagi tulisan ilmiah yang bagus, “Free and Fair Elections Violence and Conflict”. Mereka menyatakan, pilihan raya yang senonoh tidak dapat berlaku jika penglibatan rakyat secara adil dan bebas di tahap yang rendah, kedudukan hak asasi manusia sangat dapat dipersoalkan, dan kemungkinan bahawa kebebasan serta perlindungan untuk berbeza tidak mendapat perhatian yang signifikan.

Mereka menyatakan begini:

“Free and fair elections can be held only where there exists an environment which seeks to provide popular participation, promotes human rights and guarantees fundamental freedoms, ensures accountability of the government, freedom of the judiciary, freedom of the press, and protects and respects political pluralism.”

Iklim yang disebut sebagai; harus bersih, harus bebas untuk setiap rakyat, harus ada kemerdekaan untuk berbicara termasuklah media, dan juga harus meraikan parti politik yang sedia ada dan bakal muncul nampaknya terhakis dalam masa satu tahun. Saya tidak akan menyenaraikan di sini, ia hanya memanjangkan kemurungan teman saya itu. Dia dalam keadaan murung selepas berpisah dengan isterinya. Dia hidup dalam kuarantina ketika gelombang Covid-19 yang pertama secara berseorangan. Semua yang diimpi dan didambakannya hancur dengan tiba-tiba.

Menurut teman saya itu dia hilang impian untuk bernegara, dan juga impian berkeluarga. Teman saya itu pengundi di Gombak. Tatkala dia membaca lontaran kasih sayang yang dilafazkan oleh Anwar Ibrahim untuk parti yang pernah ditentangnya minggu lalu, teman saya itu menjadi lebih hampa. Dahulu dia hanya kecewa, dari segi bahasa, tetapi kali ini dia menggunakan istilah hampa. Kata hampa jauh lebih celaka dan parah berbanding kecewa.

Teman saya itu pengundi Gombak, dan dia percaya negara yang dikasihinya ini sukar untuk diselamatkan lagi; melainkan ada kekuatan secara kolektif untuk menolak rasuah dan mendakap demokrasi dan hak asasi. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.