SEREMBAN: Seekor tapir Malaya betina seberat 450kg ditangkap sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan selepas memasuki perangkap yang dipasang di Ladang Johol di Kuala Pilah semalam.
Pengarah PERHILITAN Wan Mat Wan Harun berkata, perangkap tersebut dipasang sejak 24 Nov tahun lalu, susulan aduan kakitangan ladang mengenai tapir itu yang sering berkeliaran di ladang mereka sejak tahun lalu.
“Tapir berkenaan memasuki perangkap pada 8.30 pagi semalam.
“Sebaik menerima maklumat, tujuh anggota PERHILITAN Negeri Sembilan dihantar ke ladang berkenaan untuk memeriksa perangkap tersebut. Kami dapati tapir itu berada dalam keadaan sihat,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.
Kata beliau, pada tahun ini, pihaknya hanya dapat menyelamatkan seekor tapir iaitu tapir Malaya betina itu atau nama saintifiknya Tapirus Indicus daripada diancam kepupusan.
“Tapir ini akan diberi rawatan oleh pegawai veterinar Jabatan Perhilitan terlebih dahulu dan dilepaskan di kawasan perlindungan di negeri ini yang berada di bawah jagaan PERHILITAN,” kata beliau. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.