KUALA LUMPUR: Gaji dan elaun Ahli Parlimen dan Senator perlu dibayar walaupun Parlimen tidak bersidang kerana tanggungjawab mereka di luar dewan berjalan seperti biasa.
Justeru, Presiden Dewan Negara Rais Yatim berkata, tidak timbul isu Ahli Parlimen atau Senator tidak menjalankan kerja ketika Parlimen tidak bersidang dan gaji mereka perlu dipotong.
“Soal YB (Yang Berhormat) tak buat kerja tak timbul kerana 222 Ahli Parlimen (Dewan Rakyat) dan 66 orang (Senator) di Dewan Negara menjalankan kerja mereka di luar dewan, bukan di dalam dewan. Ini harus diterima.
“Oleh itu tugas mereka di luar dewan terus berjalan. Tidaklah wajar dipotong elaun atau gaji kecuali mereka sendiri mengatakan ‘Potonglah gaji saya sekian banyak’. Ini soal perundangan,” kata beliau dalam program Ruang Bicara bertajuk “Signifikan Parlimen Dalam Pembinaan Negara Bangsa” terbitan Bernama TV malam tadi.
Rais berkata demikian bagi menjawab pertanyaan seorang pemanggil mengenai kewajaran gaji dan elaun Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara dipotong memandangkan Parlimen tidak bersidang buat masa ini.
Pada 12 Jan lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi perkenan darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif bagi membendung wabak Covid-19 di negara ini.
Bagaimanapun baru-baru ini, Istana Negara dalam kenyataannya menyatakan Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa, pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh baginda atas nasihat perdana menteri.
Mengulas lanjut, Rais memberikan contoh tugasan di luar dewan Ahli Parlimen dan Senator termasuk bertemu dengan rakyat bagi menyalurkan bantuan yang diperuntukkan kepada mereka.
Dalam pada itu, beliau berkata persepsi Dewan Negara hanyalah sekadar “rubber stamp”, atau institusi yang hanya meluluskan undang-undang yang diluluskan di Dewan Rakyat adalah tidak benar.
Katanya, Dewan Negara pernah menolak beberapa akta seperti Undang-undang Racun Makhluk Perosak pada 2004 dan pindaan Akta Antiberita Tidak Benar pada 2018.
“Kalau Dewan Negara tak lulus di bawah Perkara 66 dan lain-lain, maka huru-hara dan negara tak ada undang-undang. Persepsi itu perlu dibetulkan.
“Saya akan cuba berperanan dengan rakan-rakan supaya imej itu dapat kita kembalikan dan terletak hendaknya ke persada bangsa dan negara,” kata beliau.
Seorang lagi panel, pakar Perlembagaan Persekutuan Prof Shamrahayu Abd Aziz berkata, antara kepentingan Dewan Negara termasuk berfungsi menjaga kepentingan negeri-negeri.
“Dua ahli Dewan Negara dilantik dalam kalangan ADUN setiap negeri untuk menjaga isu-isu kebajikan negeri. Selain itu, ia juga bagi menjaga kelompok kumpulan tidak diwakili oleh Dewan Rakyat seperti wakil Orang Asli, etnik Sabah dan Sarawak yang tidak menang atau tidak bertanding dalam pilihan raya,” kata beliau.
Beliau seterusnya berkata, tidak wajar mempertikaikan fungsi Dewan Negara, dan rakyat selama ini juga kurang didedahkan dengan kepentingan sidang tersebut. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.