`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, April 29, 2021

Kembalikan tanah adat kami, gesa penduduk 59 kampung di Pitas

 

Sekumpulan penduduk yang mewakili 59 kampung di daerah Pitas mengadakan demonstrasi di depan pejabat SAFODA di Bongkol Pitas baru-baru ini. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Penduduk dari 59 kampung di daerah Pitas menggesa kerajaan negeri mengembalikan tanah adat mereka yang terletak di kawasan “diwartakan” Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tanah Adat Wilayah Bengkoka, Raneld Saimon, turut mempersoalkan pengumuman Ketua Menteri, Hajiji Noor, baru-baru ini berhubung pengembalian tanah adat di enam kampung di Pitas, tidak termasuk 59 kampung itu yang masih tertunggu-tunggu berita baik kerajaan.

“Menurut maklumat lisan penduduk terdahulu, tanah kampung yang terlibat hanyalah dipinjamkan kepada SAFODA untuk sekali tuaian kayu akasia dan kami menganggap ini sebagai satu manipulasi apabila penduduk kampung pada waktu itu tidak berpendidikan, malah mengenal huruf pun tidak, apatah lagi boleh berunding secara berdokumen.

“Sebab itulah selepas kayu akasia dituai SAFODA bersama syarikat yang dipertanggungjawabkan, maka orang kampung mula menuntut janji daripada SAFODA.

“Seawal sedekad lalu, penduduk dari 59 kampung di Bengkoka semakin giat menuntut tanah mereka dan banyak pertikaian berlaku antara SAFODA serta penduduk kampung, termasuk pertengkaran dan pemusnahan tanaman, selain beberapa insiden membabitkan polis,” katanya kepada FMT.

Raneld Saimon menyerahkan surat bantahan kepada pengawal keselamatan di pintu masuk pejabat SAFODA di Bongkol Pitas. (Gambar Facebook)

Raneld berkata, keadaan itu memaksa sekumpulan penduduk kampung terbabit menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Tanah Adat Wilayah Bengkoka pada 2017 yang dipengerusikan dirinya.

Pada tahun sama, katanya, SAFODA dan Acacia Forest Industries Sdn Bhd memfailkan saman terhadap tiga individu dan semua penduduk terbabit berhubung pertikaian tanah itu.

“Bagaimanapun, keputusan memihak kepada penduduk apabila mahkamah menolak saman SAFODA kerana mendapati terdapat hak NCR (Hak Adat Bumiputera) penduduk di kawasan terbabit.

“Bermula dari tahun itu hingga sekarang, SAFODA giat menjalankan proses pengukuran untuk mendapatkan geran dan inilah yang kami anggap sebagai satu lagi pencerobohan tanah penduduk asal.”

Baru-baru ini, sekumpulan penduduk kampung itu mengadakan demonstrasi di pejabat SAFODA di Bongkol Pitas dan menyerahkan surat bantahan terhadap usaha mendapatkan geran tanah adat itu.

“Kami meminta proses penggeranan tanah dilakukan secara telus dan tidak membabitkan kawasan tanah adat penduduk kampung.

“Kami juga berharap kerajaan negeri, khususnya ketua menteri menyerahkan tanah adat yang berada dalam gazet SAFODA kepada penduduk 59 kampung ini, bukan hanya enam kampung seperti diumumkan.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.