`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, April 29, 2021

Kayangan yang mabuk

 

Kayangan tidak dapat menongkat langit tanpa lantainya; dunia kumuh. Hari ini kita melihat berleluasanya kaum Kayangan menggunakan segala kesempatan ada untuk menompok kekayaan. Percayalah, kekayaan yang ekstrem tidak akan dapat berlaku jika tiadanya kepapaan dan kemiskinan yang juga keterlaluan, dan mengerikan.

Begini, mari kita kembali ke zaman lampau. Untuk kita sorot pedihnya.

Ketika zaman Khalifah Abu Bakar dan Umar Al-Khattab, umat Islam sedang meluaskan wilayah. Perlahan-lahan banyak kawasan diterokai dan agama Islam diperkenalkan. Peluasan wilayah ini tidak hanya meramaikan jumlah penganut Islam, akan tetapi juga membawa petaka yang kurang disedari; iaitu limpahan kekayaan dari hasil mahsul bumi baharu ini; dan juga rampasan medan perang.

Menjelang pemerintahan Khalifah Uthman Affan, kelas atasan dan bawahan orang Arab yang sebelum ini terbahagi antara kelas pedagang Quraisy dan kelas hamba bukan Quraisy berdepan dengan satu masa depan yang tidak saksama. Kekayaan yang diperolehi dari pembukaan zon-zon baharu umat Islam ini telah menciptakan kumpulan pemodal dan kelas saudagar yang luar biasa mewah.

Kelas atau kaum Kayangan baru ini menjadi norma biasa dan terdiri dari veteran perang iaitu sahabat-sahabat Nabi Muhammad sendiri. Ada yang misalnya memiliki vila besar dengan kebun luar biasa, dan jumlah kuda yang tidak masuk akal. Pendapatan harian dari Mesir, Parsi, dan Iraq ditimbun menjadi ratus ribu dinar.

Apabila Khalifah Ali Abi Talib diangkat menjadi pemimpin, masalah ketidakadilan dan ketidakseimbangan ekonomi ini sangat melampau dan sukar untuk baginda luruskan kembali. Sesetengah pemimpin wilayah malah membeli umat dengan wang dan segala taburan keduniaan. Korupsi berleluasa.

Keadaan Kayangan yang menjolok mata ini disebutkan oleh Ali dalam Nahjul Balaghah yang dikenali sebagai Khutbah 129. Dalam khutbah ini, baginda berucap menjelaskan bahaya kemewahan dan keduniaan yang diuliti oleh Kayangan ini. Ia berbunyi begini:

“Kalian tinggal di zaman ketika kebajikan merosot, kejahatan kian bertambah maju setapak demi setapak, dan syaitan menjadi lebih rakus dalam usahanya untuk membinasakan manusia. Hari ini kelengkapannya telah diperkuatkan, perangkap dan umpanan didirikan di pelbagai tempat, dan korban telah masuk perangkap terjerumus dengan mudah.

“Kalihkan pandangan kalian; kalian akan melihat orang miskin yang nyaris tidak boleh bernafas dalam keadaannya yang amat miskin dan sengsara, atau orang kaya yang telah mengubah nikmat Allah ke dalam kekufurannya. Atau, kalian akan melihat orang yang rakus mengumpulkan kekayaan untuk dirinya sendiri seraya mengabaikan perintah Allah yang dibebankan kepadanya, atau kalian akan menemui para pemberontak yang hatinya liar sehingga mereka tuli dari teguran dan nasihat.

“Di manakah orang baik, orang takwa di antara kalian? Di manakah orang yang merdeka dan dermawan? Di manakah mereka yang menghindari setiap penipuan dalam perdagangan dan menuntut kesalehan dan kejujuran dalam tindak-tanduk mereka?”

Fenomena pincang Kayangan ini disebut Ali sebagai “sakarat al-ni’mah” iaitu bermaksud “mabuk yang timbul oleh kekayaan”. Ini bukanlah satu keberkatan atau pemberian dunia yang diredhai bahkan satu bencana, kerana Ali menyebutkan dalam pidato lain, iaitu Khutbah 151, yang berbunyi begini terjemahannya:

“Kalian, wahai bangsa Arab akan menjadi mangsa badai yang kian menghampiri. Hati-hati kalian dengan mabuk kekayaan dan takutlah oleh bencana yang menurutinya.”

Ali kemudian di khutbah lain pula memesan, iaitu pada Khutbah 187, perihal badai atau kemabukan dunia ini:

“Ini akan terjadi ketika kalian akan dilupakan, bukan dengan minum anggur, namun dengan kekayaan dan kesejahteraan.”

Ada pun kekayaan dan kesejahteraan yang dimaksudkan tentulah limpah ruah kemewahan yang pembahagiannya tidak adil. Kekayaan ini tidak terbahagi dan dilata sehingga ke bawah iaitu untuk kaum Murbawan kerana nepotisme dan diskriminasi sudah mulai menjadi kebiasaan dalam masyarakat Islam.

Apabila Ali akhirnya tewas ditetak dan dibunuh dalam bulan Ramadhan, anakanda baginda, Hasan, pula cuba membetulkan; tetapi kaum Kayangan ini dengan sedaya upaya mencipta helah. Kemuncak pertembungan kelas yang menggila ini tentulah disaksikan oleh cucu Rasulullah, Hussein, yang mana apabila baginda berusaha untuk membetulkan keadaan ini, baginda telah mengalami pembunuhan yang dahsyat sekali di padang Karbala.

Fenomena Kayangan ini bukanlah sesuatu yang baru. Ketidakadilan di mana kaum Murbawan ditimpa dengan pelbagai musibah dan ketidakadilan berlaku sejak dulu dan malangnya berulangan sehingga ke hari ini. Peristiwa peniaga burger yang didenda besar berbanding selebriti dengan selempang hajah; atau peristiwa peniaga colek yang digasak oleh saman luar biasa bedebah selain seorang lagi peniaga runcit yang tersandar oleh kompaun raksasa lantas hilang semangat hidup ini sudah pun terlihat jauh lama dahulu.

Gejala ulama menumpuk kekayaan seperti yang terlihat di Kota Bharu dan Kubang Kerian, bukanlah tidak terlihat di Kufah, Baghdad, dan Iskandariah satu ketika dulu.

Ketidakadilan ini dibogelkan dalam zaman Covid-19 ini kerana wabak selalu datang untuk menanggalkan kepalsuan dan menzahirkan apa yang tersembunyi. Inilah punca program revolusioner Hussein dimusuhi dan dimomokkan sehingga hari ini. Mereka mahu anda tidak tahu dan dibodohkan. Mereka suka anda kekal jahil dan dijauhkan dari sejarah. Ini supaya Kayangan dapat terus berpestaan mabuk.

Tentu kita berasa kecewa melihat daging lembu Wellington disamakan dengan Roti John kering di bazar Ramadan, tentu juga kita berasa terkejut melihat Kayangan boleh terbang bebas ke London berbanding kita yang dipaksa peram tidak dapat menemui ibu dan ayah semata-mata atas alasan SOP dan pandemik.

Ketidakadilan dan pembinaan sejahtera aplikasi komuniti Kayangan ini bukan asing dan bukan hanya terjadi dalam masyakarat Melayu sahaja. Ia dulu berlaku dalam kalangan Arab dan Parsi sekarang ia menular menjadi wabak dalam kalangan Melayu. Kayangan ini tercipta di zaman Islam. Malah Islam ala kayangan inilah yang melindungi haji atau hajah tertentu dari sebarang kesalahan. Kaum Murbawan melihat mereka dengan rasa tidak percaya dan pengharapan agar akan ada Hero Zaman yang datang membetulkan.

Namun kehampaan demi kehampaan, ketulian demi ketulian kekal. Islamnya kaum Kayangan ini ialah Islam yang gotong-royong menyembunyikan kejahatan mereka. Kaum melarat dan murbawan menangis pedih dan menagih bantuan yang palsu serta tidak kunjung tiba.

Ramadan ini ramai Kayangan ditelanjangkan untuk diperlihatkan kepada kita secara polos, baik mereka itu dari kelompok bangsawan sehinggalah kepada kelompok pedagang Qarun betina yang luar biasa angkuhnya. Ramadan ini kita melihat tema-tema pokok yang disebutkan Ali itu berjejeran tersusun di depan mata.

Rahsia kecaman Ali terhadap kaum Muslimin Kayangan di eranya itu tidak begitu kedengaran dalam khutbah Jumaat atau aksi keinsafan Jejak Rasul. Islam ala Kayangan ini terus-terusan melindungi dan menyembunyikan nasib celaka yang menimpa marhaen. Malah lebih dahsyat ada kaum Murbawan yang menjilat kaum Kayangan ini dan mempertahankannya meskipun tidak beroleh apa-apa habuan.

Sudah tiba masanya perlawanan yang pernah diketuai Ali terhadap Kayangan itu dipugar kembali. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.