`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, April 30, 2021

Ketawa-ketawa lah lagi

 

Pada 90-an ada satu sitkom popular di televisyen yang dinamakan “Jangan Ketawa”. Ingat tak? Tidak tahu mengapa ia dinamai begitu. Pada hal tujuan atau matlamatnya ialah untuk membuat penonton ketawa. Oleh itu sepatutnya ia dinamakan “Mari Ketawa”. Tetapi penerbitnya memilih “Jangan Ketawa”. Begitulah orang seni yang nampak sesuatu yang umum tidak nampak.

Apa pun diakui nama itu “catchy” dan walaupun nama sitkom itu “meminta” supaya jangan ketawa, ramai yang ketawa hasil adegan lucu yang dipertontonkan.

Ketawa sememangnya bagus, sesuatu yang baik untuk jiwa. Khususnya pada waktu ini, ketika kita dicengkam kerisauan, kesedihan, kesusahan, dan bermacam lagi kepedihan akibat krisis kesihatan dan ekonomi yang menimpa. Bukan untuk melupakan terus kesengasaraan atau tidak menerima realiti. Cuma untuk menghilangkan tekanan dan bertindak sebagai terapi agar bangkit semula.

Lantas kita biasa dengar ungkapan “laughter is the best medicine” – ketawa ubat atau penawar yang paling baik.

Untuk ketawa perlu sesuatu yang melucukan. “Humour” datang dalam pelbagai bentuk atau format. Sitkom antaranya. Begitu juga “stand-up comedy”, pementasan mahu pun filem komedi, kartun, karikutur. Semuanya menghiburkan.

Namun apabila kelakar dan jenaka diselit dengan elemen perli atau “sarcasm” ia digunakan sebagai protes atau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu. Maka timbullah masalah buat orang yang membuat kelakar tadi. Terutama di negara ini.

Meski pun ramai termasuk saya berpendapat satira, karikutur, serta kartun politik bukan satu jenayah, pihak berkuasa berpandangan berbeza dengan alasan “humour” yang disajikan berunsur hasutan dan “melampau batasan”.

Pun begitu takrif hasutan dan melampau batas tidak dihuraikan jelas. Lazimnya, ia mengikut tafsiran pemerintah. Dalam lain perkataan, kerajaan. Lalu terjadilah apa yang terjadi ke atas pelukis politik Zunar dan pengarang sindiran Fahmi Reza. Sebagai contoh. Golongan yang sealiran dengan kerajaan pantas menuduh orang seperti Zunar dan Fahmi “kurang ajar” dan “biadab”.

Kata Zunar, ketawa sememangnya boleh menjadi satu bentuk protes. Kita tahu kritikan visual Zunar terhadap kerajaan kerap mengundang masalah kepadanya. Ketika artikel ini ditulis, beliau sudah dipanggil polis kerana kartunnya mengenai Menteri Besar Kedah berhubung cuti am perayaan Thaipusam yang dibatalkan beberapa bulan lalu.

“Jika anda tidak sukakan mereka, ketawakan mereka,” kata Zunar. “Mereka” merujuk kerajaan, dan “kerajaan tidak boleh membuat undang undang untuk mengharamkan ketawa”, kata Zunar pada kepada media beberapa tahun lalu.

Kartun hasil lukisan beliau, satira ciptaan Fahmi, serta “stand-up comic” pedih dan tajam oleh pelawak berbakat tanah air mampu mencetus ketawa.

Dalam keadaan sekeliling dan apa yang berlaku masa kini dalam arena politik negara tentunya membabitkan ahli politik, turut mencetus gelak ketawa umum.

Kata budayawan dan pengarah filem Sabri Yunus “politik itu sendiri suatu sitkom”. Saya setuju dengan Sabri. Beliau melahirkan pendapat itu semasa menyertai dialog atau “talk show” menerusi Facebook semalam berjudul “Satira politik – Biadab @ Kreatif”.

Mungkin ramai yang melihat politik sekarang bagai satu sitkom dengan adegan “lucu” dipersembahkan sang politikus terutama yang memegang kuasa. Timbullah pelbagai bahan lucu tetapi “sarcastic” yang diilhamkan rakyat biasa dan disebar melalui media sosial.

Keadaan telah menonjolkan bakat terpendam rakyat marhaen dan apa yang diperhatikan mencetuskan idea dengan menggunakan kreativiti masing-masing. Wujudlah grafik bangunan Parlimen untuk disewa yang jelas menyindir penggantungan sesi bersidang Dewan Rakyat.

Kita dihidangkan juga dengan grafik Menteri Kanan Azmin Ali mop lantai Masjidil Haram diiringi kata-kata mempersenda. Ada juga grafik kata-kata sindiran apabila kakitangan hotel di Pahang diberi suntikan vaksin Covid-19 sebagai persediaan menerima kedatangan pelancong ketika tidak ada pelancong yang datang.

Satu lagi bahan ialah memperli usaha mencari Nur Sajat yang masih tidak berjaya berbanding gerakan mencari kapal selam Indonesia tempoh hari yang berjaya dikesan dalam masa tiga hari. Banyak lagi yang anda sendiri sudah melihatnya lalu ketawa.

Jenaka dan kelucuan sedemikian lahir daripada rasa tidak senang terhadap perkembangan dalam negara masa kini. Tentunya pemerintah pula tidak senang dengan rasa ketidaksenangan itu.

Dikatakan bangsa yang boleh ketawa akan diri sendiri adalah bangsa yang hebat. Lalu timbul pandangan “to laugh at yourself is to love yourself”. Ketawakan diri sendiri bermakna anda sayang diri sendiri.

Ada baiknya kata-kata itu direnungi. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.