`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, May 26, 2021

Abang dikhuatiri lemas selepas selamatkan adik

 

Mangsa yang berusia 21 tahun bersama rakan-rakan dan adik lelakinya dikatakan mandi di Sungai Perak di Kampung Tebing Rebak, Hutan Melintang. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Seorang lelaki dikhuatiri lemas dihanyut arus deras semasa menyelamatkan adiknya dalam kejadian di Sungai Perak di Kampung Tebing Rebak, Hutan Melintang, Perak semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Ahmad Adnan Basri berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu mangsa yang berusia 21 tahun bersama rakan-rakan dan adik lelakinya mandi di sungai berkenaan.

Difahamkan, adik mangsa berusia 15 tahun dihanyut arus dan mangsa cuba menyelamatkan dengan menolak remaja terbabit ke permukaan sungai.

“Sebuah bot penduduk kampung yang kebetulan lalu di situ telah membantu remaja tersebut namun mangsa telah tenggelam dihanyutkan arus deras.

“Usaha mencari dan menyelamat mangsa digerakkan bermula pukul 6 petang semalam dan disambung lagi hari ini,” katanya menurut laporan Kosmo.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.45 petang, semalam.

Katanya, operasi pencarian yang disambung hari ini diperluaskan merangkumi jarak pencarian sejauh tujuh kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Seramai 12 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terlibat dalam operasi yang turut disertai pasukan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.